BAB 7

Romance Completed 14511

Ya Allah! Sakitnya tak tertahan Ya Allah! Lutut aku sakit lagi. Sakit yang teramat sangat. Setiap kali berhadapan dengan Sham dan kedua orang tuaku termasuk kedua ibu bapa mertuaku, aku berlagak selamba dan pura-pura ceria. Hakikatnya sejak aku menjaga Sham di hospital selepas sebulan Sham kemalangan doktor mengesahkan aku menghidapi kanser tulang. Memang terkejut menerima berita itu. Patutlah aku selalu sakit-sakit, dan lebam ditubuh aku akibat dipukul Sham sebelum ini lambat sembuh. Tadi aku terpaksa tipu Sham bahawa aku period, sebenarnya aku baru lepas solat. Aku dah tak boleh bersolat secara normal. Aku cuma mampu bersolat sambil duduk di atas kerusi. Lutut aku dah tak boleh nak dibengkokkan lagi. Ah! Kenapa aku terus-terusan menipu Sham? Berdosakah aku? Kan senang kalau aku bagitau saja aku dah solat? Aku jadi serba salah pula.

Aku mula tahu penyakitku bila suatu hari aku pengsan di surau hospital selepas menunaikan solat asar. Sebelum ni kalau sakit sikit-sikit aku selalu megambil ubat tahan sakit di farmasi. Memang sembuh rasa sakit itu walau tak lama. Aku ingatkan hanya kesakitan biasa-biasa saja. Aku tak pernah buat pemeriksaan pun hinggalah lututku mula membengkak dan ada lebam kehitaman. Bila aku membuat pemeriksaan, ianya sudah terlambat kerana doktor mengesahkan kanserku sudah berada di peringkat empat. Doktor menyarankan agar aku melakukan kimoterapi dan fisioterapi. Kadang-kadang saja aku mencuri-curi masa untuk melakukannya. Itu pun puas aku berdalih dengan Sham bila dia menyoal. Bila sakit, aku hanya mampu menangis seorang diri di bilik air. Bila makan ubat kesakitannya hanya berkurangan sedikit. Doktor cakap, kanser aku sudah mula merebak ke paru-paru.

Itulah yang paling membimbangkan aku. Bagaimana harus aku berterus terang kepada Sham dan kedua ibu bapaku? Sakitku mungkin takkan sembuh lagi. Aku pun jarang pergi membuat pemeriksaan. Sham baru dua hari keluar wad, takkan aku pula nak mengantikan tempatnya? Aku tak mahu menyusahkan Sham untuk menjaga aku, apatah lagi menyusahkan ibu dan abah. Aku tak mahu orang-orang yang aku sayangi susah hati kerana keadaan aku sekarang ni. Bagaimana pula kalau aku bakal dijemput Ilahi?

Air mataku terus bercucuran laju bila menbayangkan jasadku yang sudah kaku. Aku bayangkan juga wajah ibu dan abah andai aku pergi dulu. Aku nampak wajah Sham yang murung menghantar pemergianku. Semakin deras air mataku mengalir. Aku juga tak sanggup meninggalkan Sham seorang diri. Sham sudah menjadi seorang suami yang baik. Sejak dia melayan aku dengan baik, aku pula rasa berdebar setiap kali ada di sisinya. Entahlah! Walau pun Sham meminta maaf berkali-kali padaku kerana tak mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami tapi aku rasa bersyukur kerana aku juga tak perlu berbuat dosa kerana tak perlu menolak ajakannya.

Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Saat aku tak berdaya untuk menjadi seorang isteri yang sempurna Sham pula 'hilang upaya' untuk menjadi seorang 'suami' untukku.

“Leha! Buka pintu ni Leha!” aku tersentak bila namaku dipanggil dan pintu bilik air diketuk bertalu-talu. Aku mengesat air mata hingga kering namun ia tetap gugur jua tanpa pintaku. Sebak hatiku bila mendengar suara Sham yang sedang menyuruh aku membuka pintu. Kedengaran suaranya yang begitu risau. Aku cuba mengatur langkah ke arah pintu tapi rasa sakit yang semakin berbisa menyukarkan pergerakanku. Aku mengheret kaki sedikit demi sedikit, dalam masa yang sama tanganku masih cuba mengesat air mata yang masih gugur ke pipi.

Sebelum tombol pintu aku pulas aku cuba menarik nafas untuk meredakan tangisku. Sebaik nafas dilepaskan dadaku pula yang tak semena-mena sakit. Aku sukar bernafas. Tombol pintu ku pulas pantas agar Sham dapat menolong aku.

“Abanggg,..tooo,.too,..longgg Lehaa!” Sham memaut kejap bahuku. Nafasku mula tercunggap-cunggap dan aku tak mampu lagi bersuara. Aku nampak wajah abah, wajah ibu, wajah kedua ibu bapa mertuaku dalam samar-samar. Aku nampak wajah Sham yang sudah lencun dengan air mata. Sham meriba aku yang sudah rebah ke lantai. Perlahan kalimah Shahadah aku dengar menyusup masuk hingga ke hatiku.

“Leha,.ikut abang sayang! Ash-Hadu An-La Ilaha Ilallah-Wa Ash-Hadu Anna Muhammadur Rasulullah,..” suara Sham kedengaran perlahan bercampur sendu membisikkan dua kalimah Shahadah ke telingaku. Aku hanya mampu melafazkan dua kalimah Shahadah di dalam hati. Sebaik aku melafazkan kalimah Shahadah nafasku semakin semput. Aku lelah. Aku penat dan letih. Penglihatanku semakin kabur dan berbalam-balam. Allah hu Akhbar! Dari-Mu aku datang kepada-Mu aku kembali!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience