Bab 6

Romance Completed 4594

” Saya minta encik sabar banyak-banyak. Ibu encik diserang angin ahmar menyebabkan separuh daripada badannya dari pinggang ke bawah tidak dapat bergerak.” Terang seorang doktor muda di hospital itu.

Ikram tidak dapat membendung air matanya daripada terus mengalir. Bukan kerana selama ini dia tidak pernah menangis, namun dugaan kali ini maha hebat bagi dirinya.

” Umi..” Ikram membelai lembut wajah Uminya. ” Jangan nangis nak.” Umi menyeka air mata di wajah Ikram. Ikram lantas mencapai tangan Uminya lalu diciumnya berulang-ulang kali. ” Mengapa sampai begini sekali Tuhan menduga kita Umi?” ” Jangan salahkan Tuhan nak, Tuhan menduga kita kerana Dia sayangkan kita.” ” Tapi mengapa mesti kita? Mengapa bukan orang lain?” ” Lagi sekali Along, jangan salahkan Tuhan. Umi minta Along istighfar banyak-banyak. Tuhan tak akan menduga hambaNya kalau Dia tahu hambaNya tak mampu untuk menghadapinya. Percayalah nak, setiap dugaan yang diberi, pasti akan ditebarkan dengan inti-inti kekuatan untuk manusia menghadapinya. Umi redha.”

Ikram beristighfar berkali-kali di dalam hatinya. Dia hampir hilang pedoman jika bukan kerana diingatkan oleh Uminya sebentar tadi. Dalam hal seperti ini, sepatutnya dia yang harus lebih tabah dan mententeramkan Uminya, namun sebaliknya yang berlaku. Ikram insaf. Tidak akan sekali-kali dia meragui ‘kerja’ Tuhan yang pasti ada hikmah di sebaliknya.

Pintu bilik hospital tiba-tiba dikuak. Izham, Irma dan Imran yang baru tiba terus menuju ke katil untuk bersalaman dengan Umi mereka. Mengikut kata Izham, dia yang menjemput Irma dari UKM dan Imran dari UPM setelah dimaklumkan tentang keadaan Umi. Isteri Izham sendiri tidak dapat ikut serta kerana sedang berkursus di Putrajaya.

” Along, Iz tak boleh lama-lama dekat sini. Banyak lagi kerja Iz dekat pejabat tu. Irma dengan Imran pun rasanya tak boleh lama-lama dekat sini. Rasanya mereka tengah ada peperiksaan akhir tahun sekarang ini.” Kata Izham kepada Alongnya di luar bilik hospital. ” Jadi bila nak balik?” Soal Ikram sedikit kecewa. ” Mungkin pagi esok kami bertolak balik sana.” “Okeylah kalau macam tu.”

Derap langkah terus diatur menuju ke kantin hospital. Perut yang sedikit memulas sebentar tadi perlu diisi juga. Izham terkial-kial membontoti langkah Ikram, sedangkan difikirannya, ada perkara yang bernari-nari. Keraguan disingkirkan, selajur, mulut mula mengatur bicara.

” Along..” Langkah Ikram diperlahankan. ” Apa hal?” Soal Ikram ” Iz rasa, bila tengok keadaan Umi macam tu, lebih baik rasanya kita hantar Umi ke rumah penjagaan. Senang sikit. Along nak pergi kerja dekat kilang pun tak payah nak risaukan pasal Umi.” Ikram menoleh dengan pantas. ” Izham ?”
” Maksud Iz, dekat situ Umi akan lebih terjaga.” ” Dekat mana?” Mata Ikram sudah mencerlung. ” Rumah orang tua hospi…”

Praaaap!

Belum sempat Izham menghabiskan butir bicaranya, tangan Ikram lebih laju dihayun ke muka Izham. Amarahnya bagai dilapah ketika ini, geramnya bukan kepalang.

” Izham ! Kita ada Umi seorang saja dekat dunia ni ! Kita dah tak ada sesiapa. Kita hanya ada Umi sahaja.” Menggigil-gigil suara Ikram menahan marah. Air hangat yang bergenang di kelopak mata dibiarkan laju menuruni pipi.

” Setelah Walid meninggal, Umi mampu jaga kita empat beradik dengan baik. Takkanlah setelah kita besar dan berjaya, kita yang empat orang ni tak mampu nak jaga Umi seorang?”

Ikram memusingkan badannya membelakangi Izham. Matanya dipejam erat bagi membendung air mata daripada terus keluar dan juga bagi membendung rasa marah yang masih bersarang di dalam dirinya.

” Maafkan Iz, Along. Maafkan Iz.” Ikram terasa jemarinya diraih dan digenggam erat. Namun dia masih membatukan dirinya.” Along, Iz silap Iz minta maaf.” Izham memeluk pula Ikram, namun Ikram masih kaku di situ. Matanya masih dipejam erat. ” Iz minta maaf, Iz minta maaf.”Rayu Izham penuh sayu. Kedengaran tangisan kecil mengiringi rayuannya. ” Iz minta maaf.” Ikram mengumpul kekuatan diri. Akhirnya dibalas juga pelukan itu. Perlahan-lahan tangannya mengusap belakang Izham.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience