Bab 8

Romance Completed 4594

Petang kelihatan nyaman sekali. Langit cerah dan cuaca yang tidak terlalu panas mendamaikan suasana. Burung-burung kelihatan terbang bebas diangkasa. Sesekali terdengar siulan gagak yang yang jarang-jarang sekali menghadirkan diri. Setelah selesai menghantar buah kelapa yang di pungut ke rumah Pak Saad, Ikram singgah seketika di gerai Pak Tam untuk membeli cempedak goreng yang dipesan oleh Uminya. Mengapa dari semalam lagi orang tua itu beria-ia hendak makan goreng cempedak, Ikram sendiri tidak tahu. Biarlah, mungkin Umi mengidam cuma. Lagipun, sebentar lagi adik-adiknya bakal pulang ke kampung. Meriah sedikit suasana.

“Assalamualaikum Umi.” Ikram memberi salam sebaik sampai di rumah, namun Ikram pelik bila salamnya tidak bersahut. ” Umi?” Ikram pantas berlari menuju ke bilik Umi. ” Ya Allah, Umi!” Umi sedang terbaring di lantai bilik. Bagaimana Umi boleh terjatuh dari katil, dia sendiri tidak tahu. Segera Ikram memangku Uminya.

“Umi, kenapa ni Umi, kenapa badan Umi panas?” Umi kelihatan longlai dan tak bermaya. Wajah Umi pucat lesi. ” Umi rasa nak muntah. Umi nak cari bekas, tapi Umi…uwekk.” Ikram gelabah. Hendak dicari bekas, memang tiada di dalam bilik, melainkan di dapur sahaja. ” Umi sabar, Umi. Ikram cari bekas.” ” Umi tak larat.” Umi batuk dengan teruknya. Ikram tak jadi untuk meninggalkan Uminya. Dalam keadaan gelabah itu, Ikram terus menadah tangannya di bawah mulut Umi.

” Umi, Along tak sempat nak cari bekas.” Umi terus muntah di atas tapak tangan Ikram. Biarlah Umi muntah-muntah di atas tapak tangannya daripada Umi muntah di atas lantai.

” Along ” Ikram menoleh seketika ke arah belakangnya. Kelibat Izham, Irma dan Imran yang baru sampai di rumah mengisi ruang mata. Mereka seakan terkesima melihat akan apa yang berlaku di depan mata. Beg yang sedang dijinjing Irma terlepas dari genggamannya.

” Izham, Izham tolong Along ambil bekas dekat dapur. Along tak sempat nak cari tadi.” Pinta Ikram.

” Baik Along.”

Serta-merta Izham berlari ke dapur. Hati Izham tersentuh dengan apa yang dilakukan oleh Along sebentar tadi. Matanya yang berair dikesat dengan hujung baju. Izham teresak perlahan di pintu dapur.

” Bekas Along.”

” Terima kasih.” Sisa-sisa muntah dimasukkan kedalam bekas itu. Setelah itu, tubuh Umi dipindahkan ke atas katil. Umi kelihatan lemah sekali, namun Umi masih mampu tersenyum setelah melihat wajah anak-anaknya.
” Umi minta maaf, Umi dah menyusahkan anak-anak Umi.” Suara Umi sangat perlahan.
” Tak Umi, kami yang dah susahkan Umi. Umi rehatlah Umi. Umi nampak letih sangat.” Pinta Irma sambil menggenggam erat tangan Umi. ” Umi dah tak larat. Umi rasa mengantuk sangat. Umi nak minta izin anak-anak Umi, Umi nak tidur.”

Ikram, Izham, Irma dan Imran tergamam akan apa yang diucapkan Umi. Angin tiba-tiba bertiup dengan agak kuat sehingga langsir bilik berterbangan. Serentak dengan itu kedengaran burung gagak membuat bising. Imran membisikkan sesuatu ke telinga Along.

Ikram menggenggam erat tangan Umi. Dan perlahan-lahan mulutnya didekatkan ke telinga Umi. ” Umi, Umi ikut Along Umi.” Ikram melafazkan syahadah ke telinga Umi. Mulut Umi bergerak-gerak perlahan seolah turut mengikut apa yang dilafazkan oleh Ikram. Dan tak lama kemudian, mata Umi terus terpejam dalam tidur yang lena.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience