Majlis konvokesyen Universiti Teknologi Mara, Shah Alam berlangsung dalam suasana yang sungguh meriah. Seluruh warga universiti yang berjaya menamatkan sesi pengajian mereka, pasti tersenyum penuh bangga. Tidak kira daripada apa jua latar belakang keluarga, bangsa dan seluruh ceruk Malaysia, bersatu hati berkongsi kejayaan yang diusahakan mereka saban tahun.
Tidak ketinggalan, aku, An-Nur Natasya Binti Mutalib. Aku bangga, berjaya juga menyarung jubah graduasi dan sukses menamatkan pengajian dalam tempoh yang sepatutnya.
Bagaikan mimpi, aku kini pemegang segulung ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Awam. Terasa bagaikan ingin melompat mencecah ke langit.
Percaya atau tidak? Ijazah kelas pertama ya. Tidak kunafikan, bukan mudah untuk berjaya dalam bidang yang tidak langsung aku diminati. Semuanya bermula dengan paksaan ibu dan ayahku.
"Ibu percaya Tasya tidak akan hampakan harapan ibu dan ayahkan. Kami tahu Tasya mampu melakukannya." Puan Aisyah memujuk An-Nur Natasya. Bahu Natasya dipeluk erat. Ibu cuba menyalurkan semangat buat diriku.
"Masalahnya ibu, Tasya memang tak berminat dengan kejuruteraan, Nanti hitamlah kulit anak ibu yang putih melepak ni. Tasya minat dengan bidang farmasi, ibu. Ayah, tolonglah berilah peluang Tasya belajar bidang yang Tasya minati." Encik Mutalib dengan laju mengeleng-ngelengkan kepalanya.
"Kami kalau ada anak yang lain, kami takkan minta kamu ikut saranan kami. Kamu satu-satunya pewaris yang kami ada. Memang kami tahu syarikat kita bukanlah sebuah firma yang besar. Namun ayah percaya masih mampu berdaya saing." Encik Mutalib sudah mula bercakap seperti pakar ekonomi.
"Banyak produk kecantikan dekat luar sana, yang boleh memutihkan kulit. Nanti papa akan taja kos untuk Tasya cantikkan kulit. Paling murah pakai 'Clorox' sahaja." Puan Aisyah dan Encik Mutalib berdekah-dekah ketawakan aku. Sabar sahajalah.
"Baiklah ayah kena janji taja kos walaupun Tasya sudah berkahwin nanti." Natasya cuba berseloroh dalam suasana yang sedikit tegang tadi.
"Jadi anak ayah setujulah?" Tanya Encik Mutalib lagi.
"Tolonglah ibu, jangan paksa Tasya." An-Nur Natasya masih berharap ibubapanya berubah fikiran. Memang dia tidak meminati bidang kejuruteraan awam. Walaupun kedua ibubapanya memiliki kelulusan dalam bidang itu.
"Siapa lagi yang ingin menjadi pewaris syarikat yang kami bina jika bukan kamu, Macam yang ayah katakan tadi, Tasya. Ayah tiada anak lain. Lainlah jika Tasya dapat carikan ayah menantu seorang jurutera juga." Lagi bertambah muncung Tasya dibuatnya. Belajar pun masih belum habis, ayahnya sudah bercerita tentang jodoh pula.
"Ibu, tengoklah ayah tu. Dia kenakan kita lagi." Akhirnya ibu dan ayah Tasya tergelak.
"Haish...abang ni sudahlah tu. Cuma betul juga kata ayah, dapatkan kami menantu jurutera. Senang kerja sikit. Anak tidak mahu, menantu ada sebagai pewaris." Nampak ibupun bersuhabat sama. Memang tidak akan menang perdebatan percuma ini.
"Baiklah, jika Tasya terkandas, ayah dan ibu jangan salahkan Tasya." Aku cuba mengugut ibubapaku.
"Insya Allah berkat doa kami, kamu akan berjaya." Ibubapa siap mengaminkan lagi kata-kata mereka. Tidak sampai hati hendak kecewakan hati mereka.
"Termasuk menantu jurutera awam yang hebat sekali tau. Amin." Encik Mutalib berbisik ke telinga An-Nur Natasya. Terasa sahaja ingin digeletek ayahnya sepuas hati, namun pantas Encik Mutalib melarikan diri sambil ketawa gembira.
"Jauh termenung Tasya" Terkejut tiba-tiba disapa oleh Encik Mutalib dan Puan Aisyah yang datang entah daripada mana.
"Terkenangkan kisah lalu, ibu, ayah. Tak sangka sekarang segulung ijazah sudahpun di tangan." An-Nur Natasya memeluk erat kedua ibubapanya.
"Terima kasih ibu, ayah. Tidak jemu-jemu doakan kejayaan saya." Air mata mula menitis. Air mata kegembiraan.
"Kami hanya berdoa, nak. Kamu yang berusaha. Allah yang menggerakkan. Jika tiada semua ini pasti kejayaan tidak mampu dikecapi. Betul tak sayang?" Natasya mengangguk laju.
"Ada satu lagi yang belum termakbul, doa kami!" Encik Mutalib berkata bersungguh-sungguh.
"Apa dia lagi ayahku sayang?" Natasya tidak berpuas hati.
Menantu jurutera awam ayah mana?" Puan Aisyah sudah ketawa lepas. Tidak sangka suaminya benar-benar memaksudkan perkara itu.
"Ayah biar betul? Mana nak tangkap seorang ni?" Natasya menggaru-garukan kepalanya.
"Takkan dalam fakulti Tasya tiada seorangpun yang sangkut. Ramai ibu tengok jejaka-jejaka tampan idaman Malaya." Puan Aisyah menambahkan rencah perasa sakatan suaminya.
"Ayah, ibu yang kemaruk hendak bermenantukan. Pilih sahaja siapapun. Tasya terima. Malas hendak fikirkan persoalan jodoh sekarang ini. Tasya ingin fokus pada Gagasan Mutalib Berhad dahulu." Tersenyum lebar kedua ibubapaku.
Sememangnya aku tidak perlu berfikir panjang untuk mencari pekerjaan selepas memiliki ijazah. Jawatan besar sudah sedia menanti dalam syarikat keluargaku. Masa untuk berjasa kepada syarikat yang selama ini punca rezeki keluarga kami. Syarikat yang menyara kehidupan aku daripada kecil sehinggalah dewasa.
"Insya Allah, mesti ada jodoh jurutera juga untuk Tasya. Amin."
"Apapun tahniah, Tasya. Kami bangga dengan kejayaan Tasya. Tak sia-sia ayah paksa kamu ambil jurusan nikan." Encik Mutalib tersenyum sambil mengusap-usap kepala anak perempuan tunggalnya. Dicium ubun-ubun kepala An-Nur Natasya.
"Hish...Ayah ni janganlah buat macam ini dekat Tasya. Kawan-kawan Tasya ramailah memandang. Malu Tasya." An-Nur Natasya memang anak manja. Suka merengek dan menghibur hati Encik Mutalib dan Puan Aisyah.
"Assalamualaikum, Encik Mutalib dan Puan Aisyah? Pemilik syarikat Gagasan Mutalib Berhad." Terkesima kedua ibubapaku setelah disapa oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dan berpakaian segak.
"Ya, saya. Anak ni sapa?" Encik Mutalib bertanya sambil bersalaman dengan lelaki itu.
"Saya Reza Arshad. Pembantu peribadi kepada Encik Nafiz Hamidi Bin Faris. Beliau adalah Ketua Pengarah Kumpulan Bersatu Holdings. Ini kad perniagaan beliau. Encik Nafiz, berminat untuk bertemu dengan Encik Mutalib, isteri dan anak perempuan encik sekali." Kata-kata itu bukan aku terpinga-pinga.
'Kenapa hendak jumpa dengan aku sekali? Bukan aku kenalpun siapa makhluk bernama Nafiz.' Rungut Natasya dalam hati.
"Ooo...Kumpulan Bersatu Holdings. Kami ada bekerjasama, cuma belum pernah saya bertemu dengan pengarahnya. Bila beliau ingin bertemu dengan kami?" Encik Mutalib tersenyum mesra. Sama juga dengan ibu, Puan Aisyah amat menyenangi pelawaan itu.
"Jika tidak keberatan sekarang. Pengangkutan sudahpun disediakan. Nanti pemandu Encik Nafiz akan bawa Encik Mutalib sekeluarga ke rumahnya. Silakan." Reza menunjukkan ke arah kereta MPV berwarna kelabu yang menanti mereka.
"Kereta saya?" Encik Mutalib bertanya.
"Encik berikan kunci kepada saya. Biar saya pandu dan ikut dari belakang." Encik Mutalib memberikan isyarat kepada isteri dan anaknya turut serta.
"Ayah ini bukan kena culikkan. Entah siapa gerangan yang ajak kita. Ayah main setuju sahaja." Natasya mula bersikap prejudis.
"Kamu ni, mulut celupah. Jangan fikir bukan-bukanlah. Bagus apa dapat pelawaan daripada pengarah Kumpulan Bersatu Holdings. Untung-untung ayah dapat bermenantukan pemiliknya." Mahu sahaja aku melenting. Mujur masih ingat yang bercakap tadi ialah ayah kandungnya.
An-Nur Natasya sekeluarga hanya berdiam diri di dalam kereta milik Encik Nafiz. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Entah apa yang bakal berlaku nanti. Mohonlah yang baik-baik sahaja. Amin.
Share this novel