Setelah enam tahun, dia kembali ke tanah air. Kini, dia telah berjaya menggenggam segulung ijazah dari Seoul University, Korea. Sebulan selepas dia balik, dia berjalan-jalan di sekitar MidValley. Semasa dia sedang membelek buku-buku di MPH Bookstore dia terserempak dengan Zana yang kebetulan sedang mencari buku. Zana yang menegurnya dahulu.
“Eh… Liz bila kau balik? Tak cakap pun dengan aku yang kau dah balik Malaysia. Sampai hati kau.”
Zana terus buat muka kecewa. Liza pula hanya tergelak kecil dengan wajah buat-buat kecewa Zana.
“Sorry, bukan aku tak nak beritahu kau. Sengaja nak beri kejutan buat kau. Aku baru je balik sini.”
“Iyalah kejutan. Eh… Jomlah kita lepak dulu. Dah lama kita tak berbual kan?”
“Bolehlah.”
Liza bersetuju.
Mereka singgah sebentar di restoran dalam MidValley itu.
“Macam mana kehidupan kau kat sana? Okay? Kau ada tersangkut mana-mana mamat korea tak?”
Liza tergelak kecil dengan pertanyaan Zana. Zana memang peminat fanatik korea. Dia ingat lagi, dalam simpanan Zana berpuluh-puluh keping VCD dari negara itu.
“Kehidupan aku kat sana okay je. Ada jugak tersangkut tapi nak buat macam mana tak ada jodoh.”
“Serius eh kau ada tersangkut dengan seseorang kat sana?”
Zana buat muka tidak percaya.
“Tak adalah aku gurau je.”
Sekali lagi dia tergelak kerana dapat mengenakan Zana. Tapi memang betul, dia ada tersangkut pada seseorang. Kacukan Korea-Melayu. Tapi apa daya mereka berdua tiada jodoh.
“Kau datang dengan apa?”
Soal Liza.
“Aku datang dengan train. Malaslah nak drive. Dahlah hujung-hujung minggu macam ni. Sesak dengan kereta tu semua. Nanti bolehlah kau hantar aku? Nanti kita sambung berbual kat rumah aku.”
Ajak Zana bersungguh-sungguh.
“Boleh. Tak ada masalah.”
Liza mengangguk.
Dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu. Selama enam tahun dia menyimpan dendam. Selama itu, dia mengumpul kekuatan agar bila dia berhadapan dengan Zariz Fattah lagi, dia tidak akan takut walau Zariz Fattah menggugutnya seperti dulu. Dia kini sudah menjadi orang baru. Liza yang dulu telah terkubur seiring dengan waktu.
Share this novel