Sebagaimana yang dijanjikan, dia bertemu Zariz Fattah di sebuah taman permainan yang tidak berapa jauh daripada rumah Zariz Fattah. Sebaik mereka berdua sampai, Zariz Fattah sudah berada di situ. Sebaik Nurin Natasya melihat papanya, pantas dia mendapatkan papanya. Kedua-dua beranak itu berpelukan dan bertalu-talu Zariz Fattah mencium anaknya. Liza yang memandang sebak hatinya. Tapi seboleh mungkin dia cuba berlagak tenang di hadapan Zariz Fattah.
“Awak berhak menjaga Nurin. Mulai hari ini saya serahkan semula Nurin pada awak. Jagalah Nurin dengan sebaiknya sebagaimana awak menjaga dia saat saya tinggalkan dia dulu. Terima kasih kerana sudi membesarkan dia dan menyayangi dia setelah saya tinggalkan dia pada awak.”
Sebaik mengucapkan perkataan itu, dia berpaling hendak meninggalkan dua beranak itu. Sudah selesai tugasnya dan dia perlu segera beredar dari situ sebelum hatinya mula berubah.
Tapak kaki Liza berhenti sebaik mendengar ucapan terima kasih tapi dia tidak berpaling. Air matanya sudah menitis saat itu.
“Terima kasih atas segala-galanya.”
Dia hanya mengangguk bersama deraian air mata. Kakinya melangkah dan terus melangkah meninggalkan dua manusia itu tanpa sekalipun menoleh ke belakang.
Sejak memisahkan Nurin Natasya daripada Zariz Fattah, barulah dia sedar kebahagiaan seorang anak terletak pada siapa yang menjaganya. Kebahagian Nurin Natasya hanyalah pada Zariz Fattah. Kebahagiaannya pula adalah membenarkan anaknya terus bersama-sama dengan papanya. Itulah makna kebahagiaan hidup baginya. Dan dendam yang dulu jelas membara di matanya kini perlahan-lahan beransur hilang. Demi orang yang dia sayang, dia harus melupakan dendam walau ia menyakitkan.
“Papa… Nanti kita pergi shopping yer papa…”
Ujar Nurin Natasya masih dalam dukungan papanya.
Zariz Fattah hanya menjawab.
“Iye sayang!!!”
“Hoorey!!!”
Dia bersorak gembira sambil bertepuk tangan.
Nurin Natasya mencium pipi papanya dan Zariz Fattah turut mengucup mesra pipi gebu itu. Mereka berdua berjalan-jalan dan terus berjalan meninggalkan taman permainan itu. Langit sekejap tadi cerah kini mula bertukar warna kemerah-merahan.
Share this novel