Dua hari kemudian, dia bercadang untuk keluar dari rumah usang itu. Dia ingin pergi dari situ. Di tengah-tengah malam dia keluar dari rumah itu. Dia berjalan-jalan di lorong gelap. Dia ingin mencari sebuah rumah untuk meninggalkan bayinya itu. Dia terpaksa tinggalkan anaknya sebab dia tidak mahu sesiapa pun tahu tentang kelahiran anak luar nikah itu.
Dia berjalan-jalan lagi. Setelah mengenal pasti sebuah rumah banglo yang tersergam indah itu, dia meninggalkan anaknya di situ. Dia mencium anaknya buat kali terakhir. Dengan hati yang berat dia meninggalkan bayinya di depan pagar. Dia melangkah dan terus melangkah tanpa berpaling sekalipun ke arah anaknya. Dia pasti anaknya akan dijaga dengan baik oleh orang dalam rumah itu. Sekian kalinya air matanya tumpah setitik demi setitik.
Tuan rumah yang lena tidur, akhirnya terjaga sebaik terdengar raungan bayi. Kedua-dua pasangan suami isteri itu pantas keluar dari banglo dan menuju ke arah suara itu. Mereka terus membawa masuk bayi itu ke dalam rumah mereka. Anak itu semakin galak menangis sehingga mengganggu lena seorang lagi lelaki yang masih tidur dengan pulas. Sebaik mendengar suara menangis, dia terus turun ke bawah dengan matanya yang masih belum terbuka sepenuhnya.
“Mama, papa. Siapa pulak yang menangis ni? Orang nak tidur pun tak bolehlah. Mengganggu saja.”
“Kamu ni kenapa? Tak ada belas kasihan langsung. Cuba kamu tengok ni siapa dalam kendongan mama ni?”
Puan Fatihah menunjukkan bayi dalam kendongannya pada anak lelakinya. Zariz Fattah terkejut melihat bayi ini. Mata yang tadi tertutup kini sudah terbuka luas.
“Bayi? Anak siapa pulak ni? Macam mana bayi ni boleh berada dengan mama papa?”
Soalnya bertubi-tubi dengan wajah yang pelik.
“Manalah mama tahu. Papa terjumpa depan rumah tadi. Entah siapa yang membuangnya. Dahlah comel. Mama rasa mama nak jadi kan dia sebagai cucu angkat mama la. Bolehkan abang?”
Tiba-tiba Puan Fatihah membuat keputusan untuk mengambil anak itu sebagai cucunya. Tuan Zain hanya mengangguk. Dia pun suka kalau ada bayi dalam rumah ni. Bertambah meriahlah rumah dia nanti. Zariz Fattah pula tidak bersetuju.
“Mama papa. Apa semua ni? Kita tak tahu anak siapa, lepas tu pulak nak jadikan cucu angkat. Zariz tak setuju.”
Zana yang baru tersedar, terus bertanya sambil kakinya melangkah turun tangga.
“Mama papa, abang. kenapa bising-bising ni? Eh… ada bayi. Anak siapa ni mama. Comellah.”
Zana terus mengambil bayi itu daripada kendongan mamanya. Dia mencium bayi comel itu yang sedang tidur.
“Mama nak angkat bayi ni sebagai cucu mama. Zana setuju tak?”
Soalnya pada anak bongsunya pula. Kalau semua tak setuju, dia tetap juga mahu mengambil bayi itu sebagai cucunya. Nak tunggu Zariz kahwin, tak mungkin. Zariz tak suka kahwin awal. Kalau boleh umur 30 tahun ke atas baru nak kahwin. Kalau dia tak ambil cucu angkat yang dah ada depan mata ni, nampak gayanya lambat lagilah dia hendak bercucu.
“Zana setuju je mama. Zana pun suka kalau ada baby dalam rumah ni.”
“Semua dah setuju kecuali abang kamu. Tapi tak pa, mama tetap nak ambil bayi ni sebagai cucu mama. Kalau Zariz tak puas hati dengan keputusan mama ni, ada mama kisah.”
Bila semua bersetuju, wajah Zariz Fattah berubah kelat. Kalau semua dah setuju, apa dia boleh buat. Terima ajelah.
“Abang tak nak tengok ke? Zana tengok baby ni macam ada iras-iras abang la. Macam anak abang je.”
Terkejut Zariz Fattah apabila adiknya berkata begitu.
“Kau jangan nak mengarut. Abang kesayangan kau ni masih belum kahwin. Macam mana tiba-tiba boleh dapat anak pulak?”
Zariz Fattah tiba-tiba naik angin bila adiknya berkata begitu.
“Nak bergurau sikit pun tak boleh. Itu pun nak marah.”
Zana menjelirkan pada abangnya. Zariz Fattah juga membalas dengan jeliran juga.
Share this novel