Bab 2

Romance Series 5815

Enam tahun yang lepas…

“Maaf Encik. Jika pihak kami tidak menerima bayaran dalam tempoh sebulan, kami terpaksa sita rumah ni,”.

Itulah ayat yang dilepaskan oleh seorang pegawai bank ketika menyampaikan notis peringatan kepada Abah. Ia adalah notis tegas selepas surat kuning Abah tiba minggu sebelumnya di rumah. Abah ada buat pinjaman bank dua tahun sebelum itu waktu bekerja sebagai pengawal keselamatan. Rumah kayu kami yang lama agak usang dan hampir roboh. Pinjaman itu Abah gunakan untuk membina rumah batu yang baru dan membayar yuran persekolahan aku dan Adik. Tapi sejak Abah pencen, Abah cuma bergantung kepada tanah getahnya. Waktu itu, harga getah menurun. Abah menghadapi kesulitan untuk bayar hutang bank. Lama-kelamaan hutang Abah makin bertambah dan tertunggak.

Aku ada tiga beradik. Aku dengan Adik masih bersekolah lagi. Kak Long dah bekerja tapi tidaklah besar gajinya. Kak Long pun sedaya upaya cuba bantu Abah bayar hutang dengan buat dua kerja namun tetap masih tidak cukup. Semua simpanan Abah dan Umi dikeluarkan tapi hutang bank terlalu banyak kerana interestnya yang meningkat naik kerana tunggakan masa. Beban Abah dan Umi semakin bertambah apabila aku dan Adik juga menerima peringatan dari pihak sekolah kerana tunggakan yuran kami yang belum dijelaskan. Peringatan itu diterima apabila aku diminta menyampaikan surat dari pengetua sekolah kepada Abah. Begitu juga apa yang berlaku pada Adik. Adik masa itu mentah lagi umurnya yang baru mencecah 11 tahun. Aku pernah terfikir untuk minta bantuan Kak Long. Tetapi menyedari yang Kak Long sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan, aku tak mahu menambah bebannya.

Pernah satu hari kami sekeluarga kecuali Kak Long terpaksa makan ubi kayu saja kerana hasil jualan getah sangatlah sedikit. Segala keperluan dapur hanya tinggal sisa, yang ada cumalah ubi kayu yang ditanam di belakang rumah. Masa itulah Umi membuat aku sedar, yang kehidupan kami adalah sangat miskin. Saat itulah, aku mula belajar solat dengan lebih betul dan khusyuk dan tekun belajar agama bersama Umi dan Abah. Aku mulai sedar akan kenakalan aku yang dulu yang adakalanya membuatkan Umi rasa sedih. Umi pernah menangis sekali kerana aku melawan katanya. Bila aku teringatkan hal itu, serta merta aku disapa air mata insaf dan bersalah. Tapi Umi tidak pernah memarahi aku.
Tapi sebaliknya ilmu dan kasih sayangnya yang berterusan memandikan aku agar aku jadi insan yang berguna. Itulah harapannya dengan Abah. Solat aku tidak lagi seperti solat yang waktu aku nakal sebelum ini. Kali ini, solat aku adalah solat berair mata. Tapak tangan ini menjadi saksi bagi setiap titisan air mata yang ditadah. Siang malam aku berdoa agar Allah membuka jalan keluar bagi semua permasalahan yang kami sekeluarga hadapi.
Namun, apa yang berlaku adalah jauh berbeza dari apa yang aku harapkan. Dugaan yang menimpa bagaikan tidak akan pernah berhenti. Tidak lama selepas itu, motosikal EX5 aku pula hilang dicuri di garaj sekolah. Itulah satu-satunya motosikal yang sering aku gunakan untuk berulang alik ke sekolah bersama dengan Adik.
Kebetulan pula pada hari yang sama aku menerima surat diberhentikan sekolah oleh pengetua kerana gagal untuk menjelaskan yuran sekolah mengikut tempoh yang diberikan. Surat itu disampaikan oleh Cikgu Zakiah yang merupakan guru kelas aku. Bukannya beliau tidak tahu akan masalah yang dihadapi keluarga aku. Beliau sangat memahami keadaan aku, tetapi beliau juga tidak mampu lakukan apa-apa. Beliau hanya menasihatkan aku agar tabah dan bersabar dengan cubaan ini. Itulah kali terakhir langkah aku terhenti di sekolah dan terpaksa aku pulang berjalan kaki selama sejam untuk sampai ke rumah. Arfanlah kawan aku yang paling sedih bila dapat tahu berita itu. Tapi dia tidak mampu lakukan apa-apa untuk membantu aku kerana dia sendiri juga terlibat dengan masalah kewangan. Tetapi aku tidak mengharapkan apa-apa daripada dia. Dia menerima aku sebagai sahabatnya adalah sudah memadai bagi aku.

Nasib yang sama juga hampir menimpa Adik. Dia juga hampir diberhentikan sekolah tetapi syukur kerana guru besarnya membenarkannya untuk tamatkan persekolahan untuk tahun itu. Semestinya Umi dan Abah sangat sedih dengan berita yang aku bawa. Namun mereka tidak mampu berkata apa-apa. Umi hanya mampu menangis tanpa kata. Abah pula berulang kali meminta maaf dari aku kerana rasa bersalah. Hati aku memang sangat sayu waktu itu. Aku berjanji dengan Abah untuk mencari kerja supaya aku boleh bantu melangsaikan hutang Abah dan menyambung pengajian aku semula. Aku memberi harapan kepada mereka bahawa aku pasti akan tamatkan persekolahan dengan baik walaupun dalam hati, aku sendiri buntu untuk tindakan aku yang seterusnya. Mata Abah waktu itu berkaca. Sehinggalah jatuh titisan pertama dari dalam matanya. Itulah air mata pertama Abah yang aku lihat pertama kali.
Ujian kami tidak berhenti di situ saja. Adik disahkan oleh doktor menghidapi kanser kepala tahap tiga apabila di rumah Adik secara tiba-tiba diserang demam panas dan muntah tanpa henti. Adik terpaksa dirawat di dalam bilik kecemasan. Kerana itu, Adik terpaksa tidur beberapa minggu di wad untuk rawatan susulan. Insan yang paling sedih untuk mendengar berita itu semestinya adalah Umi. Adik adalah anak bongsu dan antara yang paling ceria dalam keluarga kami. Kos pembedahan Adik mencecah puluhan ribu.Tanpa kos sebanyak itu, pembedahan adik tidak dapat diteruskan.
Adik hanya dirawat di rumah selepas keluar hospital.Abah mengupah orang kampung yang pandai mengubat untuk rawat Adik. Tapi sakit Adik masih tidak pulih. Sebulan telah pun berlalu, rumah kami disita oleh bank. Kami sekeluarga terpaksa berpindah sementara ke rumah Pak Su yang terletak di daerah berdekatan. Kak Long berkeras meminta kami untuk tinggal di rumahnya, tetapi Abah menolak kerana katanya tidak ingin menyusahkan Kak Long.
Pak Su dan Mak Su menyambut kami dengan mesra. Mereka hanya tinggal berdua saja. Mereka tahu masalah yang kami hadapi kerana itu mereka membenarkan kami untuk tinggal di rumah mereka. Rumah Pak Su tidaklah besar tetapi ianya cukup luas untuk memuatkan kami sekeluarga.

Siang dan malam, aku mendengar Umi menangis dalam biliknya setiap kali berdoa. Aku rasa sangat terharu dan sayu apabila Umi mendoakan untuk anak-anaknya lebih dari dirinya.Air mata Umi waktu itu sangat berharga. Abah mungkin kelihatan seperti sudah putus harapan tetapi sebenarnya tidak.
Al Quran dan doa jadi harapan terakhir Abah. Jarang sekali aku melihat Abah beralih dari sejadah. Tangannya tidak pernah berhenti menadah dan bibirnya tidak henti mengungkapkan kalimah suci.
Pernah sekali aku mengeluh di hadapan Abah kenapa semua ini terjadi kepada keluarga kami.
“Biarlah dari luar orang nampak kita seperti pengemis. Tapi jangan sesekali biarkan hati ni kosong. Kita dah banyak lalai dengan kesenangan. Kita dapat apa yang kita nak, tapi kita lupa beri apa yang patut kita beri. Abah percaya ada hikmah di sebalik apa yang kita hadapi ini. Abah akan pastikan Angah dapat bersekolah balik suatu hari nanti. Angah tak perlu berhutang lagi dengan sekolah. Abah nak tengok Angah capai cita-cita Angah.Tapi Abah perlukan sokongan Angah. Abah dah tua dan tak larat lalui ujian ini sorang-sorang. Percayalah cakap Abah. Ujian adalah sementara, tapi hikmahnya adalah selamanya.”
Itulah semangat dan nasihat yang Abah tunjukkan kepada aku. Menjadi seorang pengeluh bukanlah penyelesaiannya. Aku sedar akan kekuatan muda dan kudrat aku yang masih lagi kuat. Saat itu, aku bertekad untuk mengubah kehidupan keluarga.
Dan aku bermula sebagai seorang penjual kuih membantu Pak Su dan Mak Su. Setiap pagi, aku mengikut mereka ke gerai untuk menjual nasi dan kuih di tepi jalan. Umi dan Abah tinggal di rumah menjaga Adik. Gerai Pak Su tak jauh pun dari rumah. Kerja aku cuma membungkus kuih muih dan nasi kepada pelanggan. Kadang-kadang aku menggunakan motor Pak Su untuk menjaja di sekitar kawasan taman perumahan. Aku sering terima upah daripada Pak Su kerana membantunya. Upah yang aku terima, aku simpan dengan baik untuk kegunaan masa depan. Begitulah hari-hari aku setiap pagi membantu mereka di gerai. Alhamdulillah kuih dan nasi yang Mak Su buat sangat laku dijual. Ramai pelanggan yang datang membeli di gerai kami. Boleh dikatakan setiap hari kuih muih dan nasi lemak kami habis dibeli. Pak Su gelar aku sebagai pelaris gerai mereka.
Aku sangat bersyukur kerana dapat membantu Pak Su dan Mak Su. Setidaknya aku ada kerja untuk dibuat daripada aku membuta di rumah. Wang simpanan hasil upah yang diberikan oleh Pak Su semakin bertambah. Adik pula waktu itu mulai aktif sedikit dan berselera untuk makan. Adik mula menunjukkan sinar harapan kepada kami bahawa dia akan pulih. Suatu malam, aku melakukan solat sunat hajat untuk menyampaikan rasa syukur aku dan memohon petunjuk jalan keluar dari masalah.

Ada satu hari Allah telah aturkan satu pertemuan yang cukup besar bagi aku. Hari yang membuka ruang untuk aku mengubah kehidupan kami. Itulah waktu ketika aku mengenali Dato Ramzan, atau aku panggilnya sebagai Uncle Zan. Uncle Zan ialah pelanggan setia di gerai kami. Mula-mula aku kenal dia aku fikir beliau hanyalah orang yang biasa-biasa seperti pelanggan aku yang lain. Tetapi selepas diceritakan oleh Pak Su barulah aku tahu bahawa beliau ialah sebenarnya seorang Dato pengarah syarikat besar. Memang aku tak sangka juga amsa itu. Uncle Zan memang seorang yang sangat mesra dan peramah. Dari gayanya, beliau sangat sederhana sampai aku sendiri pun tidak percaya beliau ialah seorang pengarah besar. Setiap kali beliau membeli di gerai, setiap kali itulah beliau ajak aku berborak. Dan biasanya beliau datang membeli ketika waktu matahari hampir naik puncak. Hubungan aku dengan beliau agak rapat sejak dari hari beliau datang membeli kuih di gerai aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience