Pada satu hari waktu hujung minggu,aku membuka gerai seperti biasa. Uncle Zan juga datang seperti biasa membeli kuih di gerai aku. Kami bersembang seperti yang kami lakukan kebiasannya.
“Uncle nak Naufal sekolah semula. Sayang kamu ni budak bijak. Soal yuran jangan risau. Uncle akan tanggung semua sampai kamu tamat SPM,” itulah antara kata yang diucapkannya menawarkan dirinya untuk membiayai persekolahan aku. Terkejut dan gembira pada masa yang sama, itulah apa yang aku rasakan saat itu. Aku melihatkan masa depan aku kembali cerah. Tapi, semestinya aku tidak mendapatnya semudah itu.
Uncle Zan menyatakan hasratnya memerlukan orang seperti aku dalam syarikatnya. Beliau tahu aku masih muda dan mentah lagi untuk kenal dengan dunia bisnes. Tapi beliau bersungguh berkata akan mengajar dan melatih aku menjadi usahawan berjaya. Katanya beliau juga akan ajar aku tanpa mengganggu waktu akademik aku. Itulah peluang yang aku lihat sebagai satu batu loncatan untuk aku bantu keluarga aku. Namun aku tidak mampu memutuskan keputusan sendirian waktu itu. Uncle Zan faham akan aku yang pastinya ingin berbincang dengan keluarga. Beliau memberikan masa untuk aku membuat keputusan.
Aku memberitakan tawaran dari Uncle Zan kepada keluarga aku. Aku tak perlukan masa yang banyak untuk mendapatkan persetujuan mereka kerana sebaik saja aku cerita, mereka terus menyokong setuju. Agaknya mereka kenal dengan kebaikan dan niat baik Uncle Zan. Malam itu jugalah aku menelefon beliau untuk mengkhabarkan keputusan aku. Apa yang aku tahu, beliau cukup gembira mendengar khabar berita dari aku itu.
Fight back to school. Akhirnya, selepas lima bulan meninggalkan medan pendidikan, aku kembali mencari aura yang pernah aku wujudkan di sekolah yang sama. Semestinya kehadiran semula aku ke sekolah adalah perkara yang paling menggembirakan bagi ibu bapa aku, guru-guru dan rakan-rakan, terutama Arfan. Mana tak melompat dia bila tahu aku dapat kembali ke sekolah. Cikgu Zakiah menzahirkan rasa bangganya kerana baginya aku ialah pelajar yang paling tabah, padahal akulah yang paling banyak mengeluh. Apapun waktu itu, aku tebus semula waktu yang aku pernah hilang kerana hutang dengan mengutip pelbagai anugerah dalam akademik. Waktu yang pernah terkorban, dibangkitkan semula dengan sedikit demi sedikit kejayaan yang aku lakar hasil restu dari ibu bapa.
Setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah, aku terlalu sibuk meluangkan masa bersama Uncle Bai dan stafnya yang membantu aku untuk mempelajari ilmu bisnes. Uncle Zan menaruh harapan yang tinggi kepada aku, disebabkan itulah aku serius belajar. Aku akui belajar bisnes bukanlah benda yang mudah ditambah pula dengan komitmen yang aku patut agihkan dalam pembelajaran. Tapi aku dah bertekad ingin mengubah hidup keluarga aku, jadi pengorbanan sebesar mana pun yang perlu aku lambungkan, aku hanya ada keyakinan yang boleh menyambut jasa pengorbanan itu sebagai sebuah kejayaan.
Pada usia aku yang mencecah seawal 17 tahun, aku sudah memliki syarikat sendiri. Uncle Zan lah insan yang banyak mencurahkan ilmu dan membantu aku untuk berjaya dalam perniagaan. Pengorbanan yang bermula ketika aku 14 tahun kini terbalas selepas 3 tahun mengenali dunia perniagaan. Siapa sangka, penjual kuih di tepi jalan boleh menjadi seorang usahawan yang berjaya dalam media pasaran. Latihan yang bertubi-tubi aku jalani, membuahkan hasil sehingga syarikat yang bernaung di bawah kelolaan aku mendapat nama dalam senarai dunia.
Tiada lagi orang yang mampu aku ucapkan terima kasih jikalau bukan ibu bapa aku dan juga Uncle Bai sendiri. Rumah kami yang pernah disita dulu, dibeli kembali, malah diperbesarkan lagi untuk keselesaan kami sekeluarga. Impian ibu bapa aku untuk menapak di Bumi Mekah akhirnya tercapai waktu aku menduduki percubaan SPM.
Doa Umi dan Abah yang menginginkan aku tamat pengajian dengan baik termakbul jua. Aku memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM membolehkan aku mendapat tempat dalam bidang yang sudah aku impikan sejak kecil lagi, iaitu perubatan. Rezeki kami tidak berpatah balik, bahkan makin mendatang. Jasa Uncle Zan aku ingat sampai bila-bila. Dan Umi pesan pada aku supaya tidak sesekali lupa untuk berhubung dengan beliau. Kerana beliaulah, aku dapat berdiri semula di atas kaki ini. Dan juga sudah pastinya juga berkat doa Umi dan Abah dan didikan mereka yang mengajar aku supaya kenal erti bersyukur. Itulah yang aku sematkan di hati sekarang. Kalau aku tidak beryukur dengan apa yang aku terima, bererti apa yang aku lakukan sebelum ini hanyalah sia-sia yang tiada redha dariNYA.
Share this novel