"Mawar?"
Luth mula tercari-cari keberadaan gadis kecil itu. Puas merangkak di bawah meja untuk melihat Mawar sejak 10 minit yang lalu. Malangnya Mawar tiada di situ. Kamar tidur kanak-kanak lelaki dan perempuan diasingkan pada waktu malam. Dek kerana itulah Luth terpisah dengan Mawar apabila hendak tidur.
Pagi menjelma, rutin hariannya adalah untuk berjumpa dengan Mawar. Benar kata Ibu, Mawar takut dengan semua orang buat masa ni. Hanya Luth sahaja yang berjaya memujuk Mawar untuk buat itu dan ini.
Luth memuncungkan bibir lalu kembali berdiri tegak. Dia baru hendak mengilas badan ke belakang tetapi hasilnya dirempuh pula oleh seorang kanak-kanak yang lebih tua daripadanya.
Berdetum kepala mereka terhantuk sesama sendiri.
"Aduh," Luth mengerangkan kesakitan. Berpinar pandangannya seketika.
"Tak nampak ke?" Nada geram si pelanggar memecah pendengaran Luth. Hakim agak terkejut dirinya dihentam oleh si keras kepala rumah itu. Baru seminggu duduk di rumah kebajikan, sudah berlagak putera raja. Makanan ringan pun banyak dicuri Luth buat mengisi perut Mawar. Luth dan Mawar sama sahaja di matanya, dua-dua menyusahkan Ibu.
Luth cepat-cepat membuka mata. Ahh, si Hakim rupanya. Kanak-kanak senior di situ. Jujur, sebenarnya Luth agak hairan kerana hampir separuh kanak-kanak di situ mempunyai parut yang entah dari mana. Ada yang berjahit pada dahi, kedan kelaran pisau, Mawar pula ada lebam di kaki.
"Jangan kacaulah." Pandangan helang berbalas. Luth hanya akan kisahkan hal sendiri dan sekarang ini dia sedang sibuk mencari Mawar. Tidak nampak kah?
Tidak semena-mena bahu Luth ditolak Hakim. "Hormat sikit aku. Kau tu darjah satu. Dah lah tak pandai baca buku. Tahu buat sepah je dalam rumah ni."
Hari ni ialah hari cuti hujung minggu. Semua kanak-kanak ada di rumah ini kerana tidak ke sekolah di waktu pagi. Untung Luth tidak dipaksa ke sekolah oleh Ibu, dapatlah dia bermain di rumah bersama-sama Mawar. Mawar juga tidak ke sekolah kerana dia masih berusia 5 tahun.
"Aku ni darjah tiga. Pendek! " Tak cukup bahu kanan, bahu kiri pula ditolak Hakim. Memang dia sedang menguji kesabaran Luth.
Tanpa banyak berbudi bicara, Luth menerkam tubuh Hakim hingga terlentang jatuh ke atas lantai. Dia bertindak menolak wajah Hakim apabila musuhnya turut menarik rambut.
"Aku beritahu Ibu," bengang Hakim.
"Ibu?" Luth tersenyum sinis.
Pergelutan itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Pipi Hakin ditumbuk Luth dengan mudah.
Sekali lagi dentuman kedengaran. Kali ini berpunca daripada hantukan kepala pada lantai marmar rumah.
"Ya Allah..." Kak Dayang membulat matanya apabila disajikan dengan dua orang kanak-kanak bawah umur sedang bergaduh di atas lantai. Gadis 20-an itu kaku di lorong yang menghubungkan dapur dan ruang tamu. Cawan pada tangannya segera diletakkan ke atas meja kopi lalu dia berusaha meleraikan Hakim dan Luth.
"Ibu!" Jerit Kak Dayang. "Luth, dah lah. Nanti ibu marah."
"Argh... Dia tu..." Kedua-dua belah lengan Luth dikunci dari belakang. Kak Dayang menjarakkan tubuh anak bertuah yang seorang ini daripada si Hakim.
Hakim tercungap-cungap nafasnya sambil memegang leher sendiri. Membulat matanya, ditambah pula dengan air mata yang menuruni lekukan wajah. "Dia nak bunuh Hakim," adu Hakim pada Kak Dayang.
Kaki Luth masih cuba menendang-nendang tubuh Hakim di atas lantai. Badannya telah terkunci erat dengan Kak Dayang.
"Luth! Berhenti," marah Kak Dayang. Tangannya menampar peha Luth yang akhirnya membuatkan Luth terdiam. Bukan kerana tamparan itu, dia menjadi cendana buat seketika kerana kehadiran Ibu yang sedang berada dalam salinan putih telekung. Wanita itu tidak pun terkejut melihat Kak Dayang yang sedang memeluk Luth manakala Hakim terbiar di atas lantai.
Ibu menghampiri Hakim setelah meletakkan lipatan sejadah di atas meja. Subuh-subuh pun rumah itu sudah kecoh bagai hendak runtuh. Wajah anak itu diperiksa terlebih dahulu disusuli keadaan anggota tubuh yang lain. Sempat rambut Hakim diusap kasih lalu dia membawa kanak-kanak itu untuk berdiri di sebelahnya.
"Hakim pergi mandi ya?" ujar Ibu. Hakim anak yang dengar kata. Dalam diri Hakim ada sikap kepimpinan melebihi yang lain. Dia hanya tidak suka seseorang yang melanggar peraturan dan menyusahkan orang lain. Contohnya, kanak-kanak bernama Luth ini.
"Mana Mawar?" soal Luth pada Ibu. Kedua-dua lengannya dilepaskan Kak Dayang.
"Luth bergaduh sebab Mawar? Mawar ada dalam biliklah dengan Kak Atin," jawab Ibu lembut.
Nafas halus dilepaskan kanak-kanak itu. Dia menegakkan tulang belakang. Wajahnya menekur lantai. "Bukan bergaduh sebab Mawar. Tapi sebab budak tadi cari pasal dulu."
"Tak boleh panggil 'budak'. Dia ada nama. Namanya, Hakim." Sekurang-kurangnya Luth sudah ada sikap serba salahnya. Air muka Luth jadi sayu melihat riak kecewa Ibu beberapa detik yang lalu.
"Dia panggil Luth, 'pendek', 'tak pandai baca'... Macam-macam lagi. Kak Dayang pula tampar peha saya. Patutlah Mawar takut duduk sini. Semua suka buat macam ni... "
Kak Dayang tersenyum senget. Gadis itu merapatkan kedua-dua belah tangan tanda maaf pada Ibu. Keadaan benar-benar mendesak hingga dia mati akal nak menenangkan Luth.
"Bukan macam tu, sayang. Jomlah kita masuk bilik ibu. Ibu nak tengok dahi awak ni." Ibu jari wanita itu mengusap di sekeliling benjolan lebam pada dahi Luth. "Kesian dia, ya?"
"Hm."
***
Luth diam membisu di atas katil bilik utama itu. Ini kali pertama dia memasuki ke bilik Ibu. Boleh saja dia memecah masuk ke sini bila-bila masa, tapi bazir tenaga pula kerana tiada makanan yang boleh mengeyangkan perut di bilik Ibu.
Sebuah katil bersaiz Queen membenarkan Luth berbaring dengan hati yang senang. Dia masih meliarkan mata ke sekeliling. Keempukan comforter dinikmatinya saat itu. Dia merasai tekstur lembut kain berkenaan dengan telapak tangan, penuh minat.
"Sakit?" tegur Ibu. Rambut Luth agak panjang separas bahu seperti kanak-kanak perempuan. Hitam beralun dan tidak terlalu panjang.
"Tak." Luth menggeleng. Rasa sejuk beg ais asyik menuam dahinya. Dia melihat wajah wanita berkenaan lama.
Masih ada rupanya manusia yang berhati mulia.
"Kenapa pandang macam tu?"
"Tak- Takde apa... Ibu marah ke?"
"Marah jugalah sebenarnya." Ibu tersenyum nipis.
"Sebab Luth buat masalah?"
"Pandai pun. Dah tu janganlah buat masalah lagi." Dahi Luth dibiarkan mengering dengan sendiri. Seketika, minyak gamat pula disapu lembut pada dahi itu. Layanan baik sang Ibu membelai jiwa Luth untuk berbaring diam di situ. Dia menurunkan kelopak mata menikmati hangat kasih sayang. Padanlah Hakim boleh angin semacam.
"Luth suka duduk sini?" soal Ibu pula. Sekadar ingin terus mendapatkan kepercayaan anak itu.
"Suka. Tapi ada yang tak suka Luth."
"Bukan tak suka. Cuma Luth belum berkawan elok dengan mereka lagi. Dengan Mawar pula, Luth okay kan dengan dia?"
"Okay... Mawar baik. Dia panggil Luth 'abang'." Laju Luth mengangguk.
"Abang? Wau dah ada adik angkat ya dekat sini?" kagum Ibu.
"Angkat apa?" Pelipis kirinya yang tidak gatal digaru hairan.
"Takde apa lah. Mawar pun budak baru dekat sini. Dia datang awal beberapa hari sebelum Luth. Luth tengok-tengokkanlah dia, ya?" Seutas getah rambut berwarna hitam dicapai Ibu dari laci meja sisinya. Dia meraup rambut panjang Luth ke belakang.
"Ibu suka ambil budak macam Luth ke rumah ni ke?" Soalan Luth itu tidak wajar ditanyakan oleh anak kecil yang hanya fikirkan keseronokan. Cuma, separuh jiwanya tahu realiti kehidupan sebenar.
Yang dimaksudkan budak sepertinya ialah anak-anak terbiar.
"A ah, ibu suka. Ibu sayang semua anak-anak ibu dalam rumah ni. Ibu nak Luth tahu, semua sayangkan Luth. Nanti beritahu juga pada Mawar yang... Semua sayangkan Mawar."
"Okay," akur Luth. Anak mata hitamnya digolekkan ke atas bagi melihat tingkah laku ibu. Rambut panjangnya sedang diikat wanita itu. Sepanjang tujuh tahun hidup di atas muka bumi ini, tidak pernah seorang pun yang hadir dan membelai rambutnya seperti ini.
"Rambut Luth cantik. Sayang pula kalau Ibu nak potong," puji Ibu. Dahi Luth diusap lembut. Benjolan itu surut sedikit berbanding tadi.
"Ibu suka?" Luth melangut ke atas.
"Suka."
Luth tersenyum-senyum sendiri mendengar pujian halus itu.
"Bangga la tu?" usik Ibu diselangi tawaan kecilnya. Dia makin sayangkan Luth meskipun huru hara di rumah itu makin menjadi-jadi sejak ketibaan hero malaya ini.
"Mana ada," dalih Luth. Bibirnya diketap bagi menahan senyuman syok sendiri.
"Luth suka tidur atas katil ni?"
"Suka."
"Tidurlah dengan ibu malam ni. Sampai benjol tu sembuh barulah Luth tidur dengan yang lain."
"Betul ke? Ibu tak marah?" Luth bagaikan tidak percaya. Dia segera bangkit dan duduk bertentangan dengan wanita dewasa itu.
"Ya. Tidurlah sini malam nanti. Tapi Luth sorang je tau. Jangan ajak yang lain pula." Helaian rambut hadapan Luth disisir ke belakang pula. Tidak mengapalah jika Luth dilayan manja begini kerana setiap anak yang hadir ke rumah itu akan disuapkan dengan kasih sayang terlebih dahulu.
***
Dentingan sudu besi dan mangkuk plastik mengisi benak. Kanak-kanak lelaki itu tekun melihat adik baharunya menikmati makan petang. "Mawar suka makan bubur ayam?"
"Suka."
"Nak abang punya?" Mangkuk Mawar habis licin kesemuanya.
"Nak." Mana ada istilah segan dalam diri Mawar. Dia hanya anak kecil yang lagi suka disuakan makanan kegemaran. Mangkuk Luth dihulur kepadanya.
"Kenapa dahi tu?" soal Mawar polos. Mangkuk kosongnya ditolak tepi bagi memberi ruang pada mangkuk berwarna biru muda milik Luth. Dia mula menikmati bubur ayam sekali lagi.
"Hm... Entahlah." Sempat mata dikerling ke arah Hakim di hujung meja makan. Dasar kanak-kanak kuat cemburu, Ibu lebihkan Luth sedikit pun dia hendak naik angin tak tentu pasal.
"Tak sakit ke?"
Sakitlah juga sebenarnya buat Luth. Nak sakit lebih-lebih pun tiada siapa yang mahu melayannya nanti. Langsung menganggap dia budak lemah. "Mawar makanlah dulu. Nanti kita boleh main lepas ni. Luth ada jumpa tanah liat baru dalam almari."
"Wah..." Satu lagi suapan masuk ke mulut sendiri. Mawar menguis-nguis suku bubur ayam yang tersisa.
"Mawar rasa takut lagi?" tanya Luth. Matanya tertancap pada luka di lengan Mawar.
"Tak. Mawar ada abang," geleng Mawar. Luth amat baik padanya.
"Kenapa luka ni?" Akhirnya Luth mengutarakan soalan itu. "Siapa buat Mawar?"
Kanak-kanak perempuan itu menelan liur kesat. Dia mengunci mulutnya sesudah menghabiskan bubur nasi berkenaan.
"Kenapa?" soal Luth lagi. Desakan yang diberikan menekan Mawar.
Mawar kembali menekur lantai. Dia menggeleng perlahan. Matanya jelas membiaskan kilauan ketakutan. Perubahan drastik Mawar disedari Luth agak lambat.
"Ja- Jangan menangis." Habis Luth kaget dengan mata Mawar yang mula berkaca. Dia mengusap bahu kanak-kanak perempuan itu lembut. Dipandang kiri dan kanan, anak-anak lain barangkali malas masuk campur urusan mereka. Melainkan sepasang mata milik Hakim yang sejak tadi memerhatikan tindak tanduk Luth.
"Abang kan ada?" Luth cuba menjual sebaris ayat bagi meredakan ketakutan Mawar. Nyata ayat itu dibeli Mawar dengan mudah. Mawar melilau mata ke sekeliling, tiada wajah yang akan memukulnya seperti sebelum ini. Dia terus dalam keadaan berjaga-jaga sebelum kembali menatap wajah Luth di hadapannya.
"Abang... Ja-jangan tinggalkan Mawar tau?" pinta si pipi merah. Telapak tangannya naik mengesat mata.
"Okay." Kepala dijatuhkan Luth beberapa kali tanda setuju. Ibu juga telah menyuruhnya untuk tengok-tengokkan Mawar tadi.
Perjanjian yang hanya dibuat satu pihak. Luth mungkin berjanji untuk setia di sisi Mawar, namun Mawar pula tidak pernah berjanji untuk melakukan perkara yang sama.
"Sakit lagi ke luka tu? Tadi kan... Ibu rawat Luth. Rasa macam main doktor-doktor. Kita jumpa ibu, nak?" cadang anak itu. Mungkin Ibu boleh buat sesuatu perihal luka dan lebam Mawar ini.
"Ibu jahat," bisik Mawar. Dia menaikkan lutut lalu mendakap lututnya rapat ke dada. Hanya meja kopi di ruang tamu yang melayar di fikiran setiap kali perkataan 'ibu' disebut.
"Mana ada. Ibu baiklah. Dia ajak Luth tidur dengan dia lagi," balas Luth tidak puas hati. Ibulah manusia paling baik dia pernah jumpa, senang-senang pula Mawar nak tuduh Ibu jahat?
Mustahil.
"Ibu marah... Pukul..."
"Mungkin sebab Mawar nakal macam Luth." Luth mengangkat kedua-dua belah bahu tanda tidak tahu.
"Tak..." potong Mawar.
"Abang ada. Janganlah menangis."
Dia mula tahu bagaimana hendak memujuk Mawar saat itu. Untuk menenangkan Mawar yang ketakutan hanya perlu usap kepalanya dan khabarkan bahawa dirinya sentiasa ada untuk Mawar.
Share this novel