05 Hilang

Drama Series 1599

Hampir setiap sudut rumah telah dijejak, batang hidung milik seorang kanak-kanak lelaki berambut panjang tidak juga kelihatan. Ketenteraman pada waktu subuh sebegitu agak asing buat Ibu. Dia melabuhkan punggung di kerusi dapur sambil menongkat dagunya. Satu demi satu kanak-kanak yang melintasi dihadiahkan segaris senyuman. Mata itu masih menunggu kehadiran Luth yang suka melihatnya solat pada waktu Subuhnya.

Hari ini tidak seperti selalu.

Jari diketuk-ketuk pada permukaan meja kayu.

"Ibu."

Tubuh wanita itu didekati seorang kanak-kanak lelaki yang tinggi melebihi paras meja. Rambut basahnya menandakan bahawa dia telah mandi pagi. Hakim meletakkan tangannya pada penjuru meja.

"Ya?" jawab Ibu.

"Mana Luth?" Hakim turut tercari-cari musuhnya. Hairan Luth tiada pada pagi itu. Tiada jugalah orang yang mahu bergaduh dengannya nanti.

Hati Ibu makin tidak sedap. "Nanti ibu cari. Kim pergi tengokkan kawan-kawan, ya?"

Malah Hakim pun sedar perihal kehilangan Luth pada pagi itu. Lebih baik ditanya pada pengasuh yang lain sebelum membuat apa-apa andaian. Kain telekungnya disinsing dan di bahu ke bahu.

"Atin, mana Luth?" Ibu mematikan langkah seorang gadis yang mahu ke pantry dapur.

"Luth? Dia tidur dengan ibu kan semalam?" Hujung kening yang tidak gatal digaru Kak Fatin.

"Ya, memang. Tapi pagi tadi bila ibu bangun tidur, dia dah takde dekat sebelah. Hakim pun tengah cari Luth tadi."

Dua cawan mug seramik hitam dicapai Kak Fatin. Wajahnya menoleh sedikit ke belakang bagi membalas pandangan Ibu. "Aik, dah berkawan dah?"

"Budak-budak, biasalah tu. Hari ni bergaduh, esok berkawan. Lagi satu... Nampak Mawar?" Ibu mula mengingati lagi satu perkara. Mawar. Namun, itu kanak-kanak terakhir yang akan dicari kerana Ibu yakin Mawar hanya akan menyorok di bawah meja. Acap kali terjadi, isu kehilangan Mawar sudah lali dalam kalangan pengasuh.

" Bawah meja?" tebak Kak Fatin. Sudu besi digunakan buat melarutkan serbuk Milo 3 in 1 yang baru diletakkannya tadi.

"Boleh jadi juga Luth ada bawah meja dengan Mawar." Wanita itu terangguk sendiri. Dia bingkas berdiri ingin memeriksa anak-anaknya sebelum bersiap untuk ke pejabat pengurusan.

"Ibu, air?" Gadis itu memaksudkan dua cawan air milo panas yang baru dibancuhnya.

"Takpe, bagi Dayang ya air tu?" tolak Ibu baik. Langkahnya dilajukan ke ruang tamu. Dia tersenyum sendiri melihat meja kopi yang agak lebar di penjuru sudut. Entah apa yang Luth dan Mawar sering bincangkan di bawah meja ini di saat yang lain sedang bermain.

Kepalanya diturunkan setelah lutut mencium lantai. Kening hitamnya berkerut hairan.

"Luth? Mawar?"

Kosong sahaja ruang bawah meja. Rasa tidak sedap tadi makin mencengkamnya.

"Kenapa Mawar takut dengan Ibu?"

"Luth takde bawah tu," ujar Hakim sambil terjenguk-jenguk akan perbuatan ibunya. "Kim dah tengok tadi lagi."

Sampukan Hakim menarik Ibu untuk duduk elok di tepi meja. Tangan kanak-kanak lelaki itu dipegangnya. Wajah Hakim dipandang serius. "Hakim memang betul-betul dah cari Luth satu rumah ni ke?"

Hakim menjatuhkan kepala satu kali lalu diangkat kembali. "Bawah meja, dapur, bilik air dan bilik tidur," terangnya.

"Luth tak nak kawan Kim ke?" soal Hakim polos.

"Ish, takdelah sampai macam tu." Ibu menggeleng. Butang baju sekolah putih Hakim dipasangnya satu per satu bermula dari leher.

Rasa bersalah menjerut Hakim sejak perbalahan tempoh hari. Keluhan halus dilepaskan kanak-kanak itu. "Dahi dia dah okay?"

"Dah. Ibu yang jaga, kan? Mestilah okay," balas Ibu bagi melayan karenah anak jagaannya. Tali leher bergetah pada tangan Hakim diambil dan dikalungkan pada leher Hakim. Kolar baju dibaiki terlebih dahulu agar tampak kemas apabila ke sekolah nanti.

"Nanti kalau dah jumpa Luth, beritahu saya," pinta Hakim.

"Iya, ibu beritahu nanti. Mana beg sekolah awak?" Sempat bahu baju sekolah Hakim dibetulkan.

"Ada dekat loker."

Deruman enjin van di luar pagar rumah menerpa ke gegendang telinga Ibu. Senyuman manisnya terbentuk elok di atas bibir delima. Pemandu van sekolah khas yang membawa anak-anak ini telah tiba.

"Pergi ambil beg," bisik Ibu. Pipi kanak-kanak itu ditepuknya lembut, menyalurkan hangat kasih sayang. Terus Hakim berlari anak terkocoh-kocoh dengan ceria. Hatinya penuh dicas bekalan kasih sayang sebelum ke sekolah.

Gugusan kunci utama rumah diambil wanita 30-an itu. Bertelekunglah dia ke mana-mana selagi hal anak-anak tidak selesai. Dalam rumah itu terdapat lebih kurang 10 orang kanak-kanak termasuk Mawar dan Luth.

"Assalamualaikum. Lebatkan hujan semalam?" Ramah mulut seorang lelaki tua.

"Waalaikumsalam. Itu yang seronok tidur sampai jam loceng pun tak dengar. Pak Teh, dah sarapan?" Kunci pagar rumah dibuka Ibu yang berdiri tegak di bahagian dalam. Dia menguak pintu pagar hitam itu. Udara pagi dihirupnya senang.

"Dah. Luth bergaduh lagi pagi ni?" Pak Teh juga tahu perihal anak-anak jagaan di situ. Rumah Saa'dah, operasinya diam-diam saja tanpa hebohan kepada penduduk setempat. Dana yang disalurkan adalah daripada badan bukan kerajaan.

"Pak Teh, saya tak tahu Luth dekat mana sekarang ni," keluh Ibu. Riak kesirauan jelas terpampang tak dapat disorokkan lagi.

"La... Mana budak bertuah tu pergi?"

"Mawar pun takde. Saya risau kalau ibu bapa Mawar jumpa Mawar."

***

Kopiah putih pada kepala anak itu dibaiki lalu dia melabuhkan sebuah kucupan pada dahi yang menanti.

"Adik duduk diam-diam ya dekat walid. Jangan buat bising," ujar Puan Munirah sedang tangannya sibuk membaiki leher jubah anak bongsunya itu.

"Okay, ummi." Turuti sahaja si kecil. Boleh dikatakan dialah yang paling kecil di rumah itu dek abang dan kakaknya masing-masing telah naik ke bangku sekolah menengah. Dua orang di atas telah tinggal jauh di negeri lain, bersekolah di sekolah berasrama penuh. Masing-masing sedang mengambil aliran agama dan bakal terbang ke negara orang.

"Ummi duduk belakang dengan kawan-kawan ummi ya? Kalau nak apa-apa, beritahu walid," pesannya lagi buat Mahfuz.

Kanak-kanak itu pun menjuihkan bibir sambil mengintai sudut belakang rumah pengajian yang dimiliki walidnya ini. Boleh tahan besar juga ruangan rumah dua tingkat yang baru dibeli Ustaz Khairi. Malah lagi besar daripada kediaman mereka di taman perumahan.

Puas mata Mahfuz mengamati keluasan binaan itu, dia tersentak apabila pucuk hidungnya dicuit Puan Munirah.

"Nak duduk dengan ummi?" soal bondanya.

"Tak naklah. Malu. Adik kan lelaki? Situ semua perempuan." Cepat-cepat Mahfuz menggeleng.

Balasan anak bongsu itu membuatkan Puan Munirah terangguk sendiri. "Dah tahu malu rupanya."

Kata suaminya, cahaya aqal Mahfuz makin kelihatan yang mana menunjukkan kefahaman kemuliaan dan kebaikan. Sebahagian perkara memang nyata Mahfuz malu untuk lakukan atau sebutkan. Dengan aqal tersebut dia dapat menentukan yang mana baik dan buruk.

Ustaz Khairi duduk di hadapan sana bersama-sama tetamu asatizah yang diundang jauh beribu batu. Pakaian tetamunya berjubah putih atau daripada material kain kapas. Air muka setiap ustaz di situ tenang bagai air di kali.

Hakikatnya agak sukar untuk mereka menerima pelawaan kerana kesibukan amanah masing-masing. Undangan untuk pembukaan rumah pengajian itu tak lain tak bukan daripada Khairi, rakan seperjuangan mereka dalam medan dakwah. Dengan izin Allah, ada kesempatan waktu untuk menjejakkan kaki di rumah baharu itu.

"Mahfuz?"

Mahfuz memperlahankan langkah apabila tiba berhampiran ayahnya. Dia bersila elok di sebelah Ustaz Khairi dalam jubah putih. Matanya yang berwarna hazel memandang wajah pemanggil.

"Tujuh tahun?" tebak rakan walidnya.

"Ya," jawab Ustaz Khairi.

"Hari tu di Mekah rasanya Mahfuz baru berusia tiga tahun. Sekarang dah tujuh tahun? MasyaAllah, dah besar." Lelaki berserban itu mengusap-usap kepala Mahfuz sambil membuat doa agar anak itu diberkati. Kebiasaannya Ustaz Khairilah yang akan ke Mekah dan Madinah buat berjumpa rakan-rakannya. Sejak bayi lagi Mahfuz dibawa berjumpa dengan murabbi dan rakan-rakan seaqidah di tanah Arab.

Agak terkial-kial juga Mahfuz ingin bersalaman dengan rakan-rakan ayahnya. Dia tidak biasa bertemu wajah yang bukan Melayu di situ. Yakin di hadapannya ini berasal dari tanah Arab. Walaupun agak hairan bagaimana mereka ini mampu berbicara Bahasa Melayu dengan agak fasih, Mahfuz kembali membekukan diri di sebelah ayahnya.

"Ini air untuk Mahfuz." Ustaz Khairi menoleh ke arah anak bongsunya. Persekitaran Mahfuz cuba dijaga baik oleh si ayah. Biarlah anaknya dikelilingi orang-orang alim, biar nanti Mahfuz akan belajar soal kehidupan daripada mereka. Baik adab mahupun akhlak serta cara permikiran.

"Terima kasih," balas Mahfuz. Air kosong itu diambilnya dengan tangan kanan. "Walid sibuk lepas ni?" Ada satu hasrat hati yang terbuku.

"Hm?" Soalan Mahfuz bagai sudah diduga. Ustaz Khairi sentiasa memberi sepenuh tumpuan apabila anaknya mahu bersuara. "Tak pun."

"Kita main lagi petang ni, boleh?" Terkelip-kelip kelopak mata anak itu. Bertaut pula dengan sepasang mata hazel milik walidnya, memang anak ayah sungguh.

"Insya Allah. Nanti kita pergi tangkap burung lagi."

Kerehatan bagi kanak-kanak selepas belajar ialah bermain. Hati kanak-kanak memang sangat sukakan keseronokan. Pada usia seperti Mahfuz ini seeloknya tidak diberatkan dengan belajar lagi kerana belajar yang banyak akan bertentangan dengan fitrah kanak-kanaknya. Dikhuatiri banyak belajar itu akan mematikan hati.

Kedua-dua hujung bibir Mahfuz terangkat membentuk senyuman. Dia memeluk lengan walidnya penuh kasih. "Terima kasih."

Ada satu ketetapan yang tidak boleh diubah yakni daripada keluarga mana kita dilahirkan. Tak boleh diubah tak bermakna tak boleh disyukuri.

"Sama-sama."

Ini pula kisah Mahfuz. Di saat anak-anak lain teruji dengan cabaran, dia dibelai penuh lengkap dari segala aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi.

***

Mata bulat Mawar menurun ke bawah dek kepalanya yang menunduk. Dia berjalan di sisi Luth semenjak tadi. Suasana asing bercampur gaul dengan masyarakat bukanlah kebiasaan buat Mawar.

"Nanti kita minta makanan dekat pak cik tu," ujar Luth.

"Okay," jawab Mawar.

Ikatan getah rambut hitam telah terlerai. Rambut separas bahu Luth masih lembap kerana air hujan semalam. Dia menyarungkan getah rambut pemberian Ibu itu pada pergelangan kanannya.

"Mak cik."

Seorang penjual nasi lemak di tepi jalan dipandang Luth. Kebiasaan tenungan Luth memang jauh ke dalam anak mata hitam. Mawar tidak seberani Luth untuk meminta dari orang yang tak dikenali.

Kenderaan sama ada beroda dua mahu pun empat silih berganti melalui simpang itu. Kesibukan pada waktu pagi menjadikan deretan kedai makanan di situ menjadi pilihan destinasi untuk mendapatkan sarapan murah sebelum ke tempat kerja.

"Nak apa?" Jawab si penjaja dingin. Tangannya ligat mengira hasil keuntungan buat hari itu. Di atas meja hanya berbaki sebungkus nasi lemak, laku benar hasil jualannya.

"Saya lapar," jujur Luth. Matahari yang terpacak di atas sana memancarkan sinaran cahaya permai. Masih tidak terik, maka ini menandakan belum masuk lagi waktu tengah hari.

"Nah. Pergi main jauh-jauh. Aku tak nak beli tisu ke apa. Ni mana mak ayah kau? Tak kerja ke ajar anak merempat? " Wang syiling 50 sen diletak ke dalam telapak tangan Luth.

Layanan wanita tua itu seolah-olah menghalau kehadiran Luth dan Mawar. Kepingan besi yang tidak bernilai di tangan digenggam Luth. Bibirnya sudah naik muncung. Luth tahu orang lebih memandang wang kertas berwarna hijau dan merah.

"Nak tu," ujar Luth sambil menunjuk ke arah sebungkus nasi lemak yang berbaki di atas meja. Ketinggian Luth tidak seberapa tetapi aras matanya mampu melihat apa yang di atas meja dengan jelas. Aroma nasi lemak santan mengecurkan liur kanak-kanak berkenaan.

"Tak boleh. Ni untuk aku makan." Mak cik penjual itu mengerling pandangan helang Luth kembali.

"Nak juga," bentak Luth kegeraman. Tangannya dipanjangkan bagi mengambil bungkusan nasi lemak pisang sepantas kilat.

"Hoi, mencuri!" Betapa mak cik itu terkejut akan perbuatan Luth. Dia bingkas berdiri lalu menyinsing lengan baju kurung Kedahnya.

Lidah merah Luth sengaja dikeluarkan bagi menghangatkan hati si penjual. Hilaian tawa Luth kedengaran apabila dia melihat muka merah padam di hadapannya.

"Jom lari," ujar Luth pada Mawar.

Anak-anak itu ibarat kain putih. Tiadanya ibu bapa, siapa yang akan menjaga kesucian hati? Takut nanti terjatuh pada mana-mana lopak dan terus kotor hingga ke akhir hayat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience