10 Tasik

Drama Series 1599

Tekaknya yang berpasir meminta bilasan air. Mata dililaukan kiri, kanan, atas dan bawah. Luth tersedar di biliknya lagi. Sebuah bilik yang tersedia katil bujang dan rak baju, cukup memadai untuk anak teruna seperti dia.

Perkara pertama yang perlu diperiksa ialah masa.

9.00 pagi.

Daya menolak badan bangun dari pembaringan. Tika melangkah ingin ke tingkap bilik, dia terhenti di hadapan sebuah cermin dinding. Wajah sendiri menjadi tatapan diri.

Luth tersenyum kecil. Perlahan-lahan jemari meraup rambut ke belakang buat diikat. Tabiatnya memakai getah rambut pada tangan kanan tidak terubah sejak kecil. Seutas getah rambut mengemaskan wajah mengantuk itu.

Lelaki itu termenung di birai tingkap.

Lembap udara pagi dihirup memenuhi dada. Hijau pokok jauh di sana menjadi penenang setiap kali hatinya galau. Bibir mulut terkatup rapat.

"Bangun dah?"

Luth tidak pun menoleh ke pintu.

"Mawar bawa abang balik ke semalam?" soal Luth. Kilauan mentari pagi terbias di lensa mata. Dia memilih untuk kekal menghadap tingkap. Ingatannya pada waktu itu kabur sahaja. Yang pasti Mawar ada setiap kali dia mabuk begitu. Entah kenapa selepas minum segala air kencing syaitan, Luth masih memikirkan Mawar. Waktu semalam juga begitu, dia risaukan Mawar yang masih tidak pulang walhal sudah jam 2 pagi.

"Ya." Si gadis pun tak mahu menapak ke dalam bilik Luth.

"Nak pergi kerja?" soal Luth.

"Ya."

Dingin hubungan mereka atas kekhilafan Luth sendiri.

Luth berpusing ke arah Mawar. Dia menurunkan ego untuk seorang gadis yang telah dianggap seperti adik sendiri. "Ambil la duit ni buat makan tengah hari."

Masih cuba membaiki di mana silapnya. Hubungan akrab dahulu agak sukar untuk kembali terjalin setelah apa yang terjadi.

Sekeping wang kertas RM100 dikeluarkan daripada dompet kulit yang tersadai di tepi bantal. Luth mengangkat wajahnya, segaris senyuman menyambut Mawar. Merah pipinya tidak padan dengan wajah mencuka, kan lebih baik jika Mawar mengurangkan marahnya pada Luth.

"Tak payah, Mawar ada duit sendiri," tolak Mawar.

"Ambillah," pujuk Luth. Dia benar-benar berharap Mawar akan cuba mengisi lompong kosong dalam hubungan mereka yang kian retak. Selangkah lebih dekat, tubuh Luth berdiri tegak di hadapan gadis manis itu.

Perempuan lain akan berdebar jika serapat itu, Mawar tidak akan punya apa-apa rasa. Sejak kecil mereka akrab seperti adik beradik, bergaduh bagaimana pun tetap akan berbaik kembali bak kata orang air dicincang tidak akan putus. Namun, peristiwa Luth mahu mencabulnya masih segar dalam ingatan, telah meletakkan Mawar setapak menjauhi Luth.

"Tak nak. Jangan paksa, Mawar. Mawar tak suka," ujarnya senada. Tangan gadis itu menolak lengan abangnya menjauh.

Terus lelaki itu terdiam. Not RM100 tadi dimasukkan kembali ke dalam saku. Sebaris ayat yang tidak bernada menghimpit rasa hati.

"Sampai bila?" ujar Luth separa berbisik.

"Mawar boleh cari duit sendiri."

"Abang tak kisah pasal duit atau apa... Tapi sampai bila Mawar nak layan abang macam ni?"

"Sampai abang berubah."

"Abang cuba," akur Luth. Matanya terpejam erat.

"Tapi Mawar tak nampak apa-apa perubahan. Kenapa dengan lebam dekat pipi abang tu?" Topik hangat pagi itu mahu dikupas Mawar. Semalam elok sahaja abangnya keluar rumah, tiada satu pun lebam di tubuh.

Luth hampir terlupa mengenai perbalahan semalam. Dia menggeleng sahaja bagi menjawab soalan Mawar. Kesan biru pada tulang pipi itu ditutupnya dengan telapak tangan.

"Kena pukul sebab mencuri? Padan muka," sambung Mawar. "Mawar pergi dulu. Sarapan ada dalam kuali."

Tidak sempat mematahkan kata-kata Mawar. Lelaki itu melangkah lemah ke katil. Badan dihenyak sekuat hati. Hati Luth benar-benar tergores akan perbuatan Mawar.

Dompet kulit dilepaskan dari pegangan tangan lalu jatuh mencium lantai.

Masa sedang menjauhkan Mawar darinya. Silap hari bulan, Mawar akan pergi buat selamanya. Itulah hari yang Luth takuti.

"Memang pun padan muka kau, Luth. Kena belasah dengan pakwe orang, kena palau dengan adik sendiri... Apa lagi nak jadi? Apa lagi benda buruk yang boleh jadi? Aku penatlah," geram Luth. Bantal yang mengalas tubuhnya dicampak ke lantai. Tubuh kekar itu terlentang di atas katil bujang dengan deruan nafas tidak setenang tadi. Alunan dada makin laju, naik dan turun di sebalik helaian kain baju.

Dia tidak kisah dipukul orang lain asalkan Mawar ada menunggu di rumah untuk merisaukannya. Bukannya seperti ini. Semua jadi serba tidak kena. Kalaulah malam itu dia tidak pulang ke rumah dan kekal bersama rakan-rakannya, pasti itu tidak akan terjadi.

Deringan telefon pintar menyentakkan Luth. Ditahan rasa marah itu agar tidak terhambur pada sesiapa. Skrin telefon dilihat terlebih dahulu sebelum jari meluncur ke bahagian kanan skrin.

Luth memandang siling biliknya kosong. Kusut benar kerana asyik memikirkan Mawar.

"Nak apa?" soal Luth.

Panggilan yang baru diterimanya menggoyahkan lagi kesabaran. Luth bingkas bangun dan duduk tegak. Keningnya berkerut sebelah.

"Dengar sini elok-elok. Pakwe kau baru belasah aku semalam sebab kau kantoikan aku. Pandai-pandailah kau nak hidup dengan dia. Dia baik sangat, kan? Dah tu terima je lah kau yang dah terlanjur ni," hamburnya.

Cubaan memujuk daripada pihak pemanggil menghiburkan hati Luth. Luth tersenyum simpati sepanjang menunggu gadis itu menghabiskan ayat.

"Salah kau lah yang main kayu tiga padahal dah ada boyfriend. Aku boleh jadi baik dengan kau bila aku nak jadi baik. Tapi bila kau buat sampah dengan aku, kau tunggulah sampah dari aku juga."

Panggilan terus dimatikan Luth. Membazir masa dan tenaga. Dia tidak akan memasuki rumah yang terkatup elok buat mencuri. Sama juga dalam hubungan antara dua jiwa, Luth tidak akan masuk mencelah kecuali ada pintu yang terbuka.

***

Mahfuz melekapkan telapak tangan pada dada. Jam Xiaomi Mi Band 5 yang terlingkar pada pergelangan tangan dikerling. Lantas jarinya meluncur ke kiri bagi mencari satu pilihan yang disediakan. Sementara kaki terus melangkah, lelaki itu mengawal alunan nafas dengan baik.

Arif yang berseluar trek tiga suku memecut bagai Usain Bolt meninggalkan Mahfuz yang semakin perlahan langkahnya.

Jumpa sahaja sebuah bangku berdekatan trek joging Tasik Bandar, terus Mahfuz berlabuh di situ. Dia tercungap-cungap setelah membuat dua pusingan trek joging di tasik. Peluh merenik pada dahi dibiarkan mengering dengan tiupan angin senja.

"Haih, baru dua round dah pancit?" sindir Arif. Baju digibas-gibas sambil mendekati bangku yang sedang diduduki sahabatnya.

Mahfuz ketawa sahaja. "Aku takdelah stamina tinggi macam kau. Asal boleh keluar peluh, okay la."

"Seronok juga kan keluar petang-petang? Lama tak buat macam ni."

Bentangan tasik di hadapan mata diamati mereka berdua. Kadang-kadang ada kanak-kanak melintasi bangku itu dengan basikal sewaan. Kepulan buih belon bertiupan dibawa angin membawa mereka jauh ke memori lama.

"Ya." Mahfuz merehatkan lengannya di bahu bangku. Dia tersenyum sendiri.

"Nanti kalau aku dah kahwin, mungkin susah sikit kot nak jumpa kau," seloroh Arif. Dia turut duduk di bangku yang sama.

"Amboi, kau. Kahwin je pun." Jeda Mahfuz. Bibid tidak lekang dengan senyuman jika mahu berbicara tentang kenangan. "Tapi tu lah, aku rasa sayang dekat tasik ni. Ni kan tempat kita lepak petang-petang dulu lepas habis sekolah menengah."

"Yang kau kena marah dengan walid kau sebab balik lambat tu?" celah Arif.

"Hahaha. Kena nakal sikit lah kalau nak hidup. Walid bukan apa, dia cuma sayang aku. Aku kan anak bongsu? Tambah pula dengan sakit aku... Hm, lagi susah nak keluar rumah jawabnya."

"Kau sihat je, kan?" Niat untuk persendakan Mahfuz lagi termati. Arif sepatutnya mengambil kira tahap kesihatan sahabatnya.

"Apa yang kau nampak, macam ni lah. Aku okay je. " Mahfuz mengangkat bahu. Segala pada tubuhnya elok pada pandangan mata. Badan yang membahang kepanasan telah disejukkan angin, hasil mekanisma rembesan peluh untuk mengawal suhu tubuh.

Perbuatan Mahfuz yang sedang menanggalkan kasut sukan diperhatikan Arif. "Janganlah mati awal. Aku ni... Ada hajat nak minta kau jadi pengapit aku. Aku dah reserved tempat untuk kau masa makan beradab nanti."

"Kau harapkan aku hidup untuk jadi pengapit je?"

"Hm, tu salah satu." Arif tersengih kecil. Hujung bibirnya yang tidak gatal digaru.

"Malas aku," cebik Mahfuz. Itu sahaja harapan Arif padanya?

"Wallahi, aku nak kau ada masa aku akad nanti. Kalau kau takde, aku takkan kahwin masa tarikh tu." Tangan diangkat seakan bersumpah. Arif memandang lelaki disebelahnya serius agar tidak menganggap itu sekadar gurauan.

"Jangan bermain dengan sumpah." Mahfuz menggeleng tidak setuju. Tangan ikrar Arif ditarik turun.

"Aku nak kau ada pada hari aku gelabah nak jadi suami orang. Kau je yang dapat tenangkan aku. Kalau kau takde, lagilah aku gelabah. Nanti masalah kecil habis jadi besar atas kebodohan aku sendiri. Aku tak nak... Lagi satu aku nak kongsi kebahagiaan dengan kau." Jujurlah Arif dari lubuk hati. Wajahnya menekur ke arah lain. Melampau sangatkah permintaan itu?

"Aku gurau je la. Bab kau, automatik aku jadi rajin," tutur Mahfuz. Mata hazelnya tidak berkelip melihat. Di tambah pula dengan jongketan kening, dia memang teruja nak lihat Arif berbaju Melayu serba putih.

"Walaupun kelmarin kau malas nak keluar rumah untuk jumpa aku, masih menabur janji manis ya?" Mata dipencilkan Arif, menanti jawapan manusia di hadapannya ini.

Tawa Mahfuz terledak begitu sahaja. "Kau kena faham, kalau ummi aku ada... Perasaan nak bermanja aku ni akan menolak tepi hal-hal berkaitan kau. Jangan terasa, eh?"

"Aku chill-chill je. Orang nak kahwin, kan? Kena relaks."

"Kahwin la, Rep. Dah ada calon, jaga elok-elok," tambahnya. Jodoh masing-masing telah ditetapkan Allah sejak azali lagi, begitu jua dengan rezeki. 

"Usahalah nak dapatkan Balqis." Seorang gadis bertudung labuh yang telah berjaya mencuri hati Mahfuz. Di kedai makan semalam, masa berlalu dengan cerita Balqis. Mahfuz nampak begitu teruja buat menceritakan segalanya tentang Nurul Balqis.

"Susah," geleng Mahfuz.

"Aku dah ajar kan cara nak buat kawan?"

"Ya, aku dah whats app dia... Tiba-tiba profile picture dia hilang dan mesej seterusnya tak dapat dihantar. Dia dah block aku."

"Tak gentle la kau ni. Orang kalau nak berkawan cuba face to face. Ini main mesej-mesej apa barang?" Akhir ayat Arif ditemani tepukan pada bahu Mahfuz. Mahfuz kekal membatukan diri di tempat duduknya. Matanya memandang kanak-kanak yang sedang berlari ke sana ke mari di kawasan berumput.

"Kalau mesej pun dia tak layan... Inikan pula nak jumpa? Jangan suruh aku bermimpi di siang hari." Itulah yang mematahkan hati Mahfuz.

Seronok benar mereka bermain buih sabun. Apabila sesuatu berupa raket badminton dibawa ke udara, berpusu-pusu belon terbentuk dibawa angin. Seketul buih yang hadir ke arahnya disentuh Mahfuz lalu pecah. Senyuman nipis pun membentuk.

"Aku boleh tolong kau untuk berkenalan dengan dia," balas Arif.

"Hm... Agak-agaknya walid ada carikan aku calon tak?" Malas terus menyebut nama Balqis , Mahfuz mengubah topik perbualan. Dagu ditongkatnya untuk terus melihat buih-buih belon di udara.

Arif menggeleng sahaja. Perangai Mahfuz memang tidak berubah. "Tengoklah nanti aku boleh buat apa. Siapa pun Balqis tu... Kita akan cuba tarik perhatian dia."

Seketika lensa hazel Mahfuz statik pada satu wajah. Anak mata hitamnya membulat, fokus pada satu arah. Sepasang mata sedang memandangnya juga.

"Jom balik," pintanya cepat-cepat pada Arif.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience