Tangannya menggeliat kecil lalu dibawa memeluk tubuh sendiri. Sebelah kelopak mata dinaikkan manakala sebelah lagi kekal terkatup. Suasana hujan semalam benar-benar meletakkan dia jauh ke alam mimpi. Dapat pula toto dan bantal yang empuk, hingga tengah hari pun dia mampu tidur.
Dalam mencari keberadaan rakan-rakannya yang lain, kening Luth bertaut seketika. Dia memasakkan tangan ke lantai lalu bingkas duduk di tengah-tengah bilik tidur itu. Toto semalam yang dibentangkan sederetan dengannya telah hilang.
"Mana semua orang?"
Susunan bantal dan toto yang terlipat pada rak menaikkan hujung bibir kanak-kanak tujuh tahun itu.
Sudah pagi rupanya. Jam dinding dikerling ekor mata. Nak teka sudah pukul berapa, Luth masih tidak pandai membaca jam. Namun jika dilihat pada ketinggian matahari dan bayang-bayang objek yang terbentuk di atas lantai marmar bilik...
Hampir waktu tengah hari. Tebak si kecil itu. Dia sudah terbiasa hidup tanpa jam, hanya matahari yang diperhatikannya sejak dari kecil. Kalau hari hujan, susah juga nak berteka teki pukul berapa nanti.
Kedua-dua belah mata ditenyeh perlahan. Langkahnya terhuyung hayang ke pintu bilik. Tiba di hadapan tombol pintu, Luth menggeliat sekali lagi. Tangannya cuba memulas beberapa kali tombol besi berkilat itu.
"Kunci?" Luth memasukkan sebelah tangan ke dalam poket seluar. Tak sampai satu minit pintu itu telah terbuka kerana dia mengubah punat kekunci pada tombol ke lawan arah jam.
Dengan penuh berhati-hati, Luth menapak keluar bilik dan segera ke ruang tamu bagi memeriksa keberadaan semua rakan-rakan baharunya.
Hampa, tiada satu pun yang ada. Kemudian dia melihat-lihat pula kawasan parkir di luar sana. Juga tiada pacuan beroda empat yang dikesan semalam. Dia tidak kisah andai dikurung dalam rumah ini asalkan ada makanan dan tempat teduhan. Bahu kecilnya diangkat, malas ingin ambil tahu perihal yang sedang berlaku.
Langkah dihayun ke meja kopi semalam. Hampir terlupa soal Mawar. Luth menjatuhkan lutut ke lantai seiring membongkokkan badan. Sisi wajahnya hampir mencium lantai. Dia tersenyum kecil.
"Mawar?" panggil Luth perlahan.
Mawar yang sedang termenung agak terkejut. Matanya berkaca kerana khuatir jika orang lain sudah menyedari keberadaannya di situ selama ini.
"Mawar, keluarlah. Mana ada orang dalam rumah ni," pujuk Luth. Entah kenapa gadis kecil itu suka memencil di bawah meja. Apalah imaginasinya sedang mengorak cerita.
Wajah Luth yang agak terurus berbanding semalam dipandang Mawar lama. Luth masih di situ dengan senyumannya. Luth mengangguk kecil bagi meyakinkan Mawar.
Sebelum tidur semalam, Luth secara senyap telah menyelinap masuk ke bawah meja. Betapa hairannya kerana Mawar masih di situ tidak berganjak.
Buat pertama kali, mata Luth disapa dengan wajah gadis itu. Separuh wajah manis kemerahan itu kelihatan, tangan kanak-kanak perempuan berkenaan ditarik Luth agar keluar dari tempat persembunyian.
Mawar. Wajahnya putih kemerahan. Mungkin kerana merah, nama Mawar diberi. Kata orang mawar itu berduri, takut nanti dari indah merah yang samalah akan menyucuk jiwanya hingga berdarah.
Kedua-dua kanak-kanak itu terduduk di atas lantai bersebelahan meja.
"Kenapa takut?" soal Luth. Matanya tidak teralih daripada lengan Mawar. Ada satu luka jahitan. Kaki yang terlunjur keluar disebalik gaun separas lutut menayangkan kesan lebam kebiruan di betis.
Mawar termenung sendiri.
"Siapa buat Mawar ni?" Luth meraih tapak tangan Mawar. Dia menepuk kekura tangan mawar dengan tujuan memujuk. Kecil sahaja Mawar ini.
"Mawar jangan takut. Umur Mawar berapa?" Keadaan yang tegang sejak semalam cuba dileraikan Luth lagi dan lagi. Kesan lebam di kaki Mawar pasti ada 1001 peristiwa gelap yang tak mampu diceritakan oleh anak kecil yang muda darinya.
Barangkali Mawar berusia 4 atau 5 tahun.
Kanak-kanak lain langsung tidak endahkan si Mawar ini. Mereka lagi suka bermain sesama sendiri. Lihat sajalah semalam, bukannya tempat persembunyian Mawar tidak diketahui ramai.
"Nama saya Luth." Sekeping plat besi kecil dijadikan loket rantai di leher Luth. Luth mengeluarkan loket itu lalu mempamerkan pada Mawar.
"Tengok ni. Ini Luth. Luth tu saya." Pahatan huruf-huruf di atas plat cuba dibaca Luth. Memang pun dia tak pandai baca. Berlagak pandai baca depan kawan baru tidak ada salahnya. Untung orang di lorong biasa memanggil dia dengan panggilan Luth, jika tidak sampai bila-bila dia tidak tahu nama sendiri.
"Put," sebut Mawar.
"Luth..." Luth menggeleng.
"Ut." Mawar perlahan-lahan cuba menerima kanak-kanak lelaki berkenaan. Dia tersemyum kecil dengan wajah pasrah Luth itu.
"Senang je la nak sebut. Luth. Luth. Luth."
"Abang?" cadang Mawar tiba-tiba.
"Ab- apa?" Kening Luth terjongket sebelah.
"Abang."
"Abang? Ikutlah apa-apa."
Kerelaan Luth dipanggil sedemikian menyenangkan Mawar. Dilihat saja tingkah laku Luth yang menyimpan kembali loket besi itu disebalik baju t-shirt lusuh di tubuh.
"Mawar dah makan?" soal Luth.
Gadis kecil itu menggeleng sambil memegang perut sendiri. Dia terkebil-kebil apabila Luth menarik tangannya buat berdiri. Wajah Luth yang berada di aras ketinggian melebihinya dikerling sekali dua.
Mereka sama sahaja. Dua jiwa yang mempunyai kisah permulaan yang tidak baik mana. Jodoh membawa mereka untuk bertemu di sebuah rumah asuhan.
"Mawar nak makan apa?" Soalan Luth menyedarkan Mawar. Rasa takut dan trauma ada di dalam sanubari. Agak sukar untuk Mawar bergerak untuk buat apa-apa.
Luth terlebih dahulu menarik kerusi plastik ke kabinet almari. Dia lincah memanjat dan berdiri di atas meja dengan kedua kakinya. Dawai sepanjang 7cm menjadi kegunaan kanak-kanak lelaki itu untuk menyah kunci apa-apa pintu. Dia cuba membuka pintu kabinet, sekali sahaja cubaan sudah berjaya.
Mawar di bawah pula menepuk teruja.
***
Selipar baharu yang dibelikan dua hari lepas tidak disentuh Luth. Dia sudah lama selesa berkaki ayam begini.
"Luth," tegur Ibu.
Langkah Luth termati di muka pintu.
"Ibu dah beli selipar, pakailah. Nanti kaki awak luka kalau main dekat luar dengan kawan-kawan." Ibu menghampiri kanak-kanak lelaki tujuh tahun itu dengan kerutan di wajah.
"Tak nak," balas Luth. Selipar baharu itu dipandang sepi. Dalam diri Luth masih lagi ada sisi berterima kasih apabila orang berbuat baik padanya. Memang dia hanya anak jalanan.
Satu keluhan terbit di bibir Ibu. Dia membawa selipar itu lalu disarungkan pada kaki Luth.
"Tak nak," ujar Luth sambil membuang selipar itu. Dia tidak suka ada orang memaksa dirinya bagi melakukan apa-apa.
Ibu memandang sahaja wajah tegang Luth. Seakan-akan tahu punca kehilangan banyak barang di dalam rumah itu adalah kerana anak itu. Tangan Luth dipegangnya lalu dia mengunci gril pintu hadapan rumah.
Mata Luth membulat terkejut. Hasrat untuk bermain pada petang itu telah disekat?
Makin Ibu menariknya melangkah, lagilah dia beratkan kaki. Itu tanda protes. Ditambah pula dengan deruan nafas Luth yang kencang kedengaran.
Destinasi mereka berdua tiba di ruangan dapur rumah. Luth buat tidak endah sahaja apabila Ibu menyuruh dia untuk duduk di atas kerusi.
"Luth, duduk."
"Tak nak. Jangan kacaulah. Luth nak pergi main."
Tiga hari Luth duduk di teduhan percuma itu, memang belangnya sudah kelihatan. Keras kepala, tak mahu mendengar arahan orang lain apatah lagi pujukan. Dia hanya akan buat apa yang dirasakan betul pada mata sendiri.
"Luth berkawan dengan Mawar ya?" Soalan kali ini berjaya menarik perhatian Luth. Matanya memandang redupan pandangan Ibu.
"Ibu tahu Mawar selalu duduk bawah meja tu," tambah Ibu lagi. "Kalau Luth tak nak dengar cakap Ibu, Ibu buang meja tu nanti."
"Eh- Mana boleh," potong Luth. Meja itu tempat dia dan Mawar berbaring. Konon-konon terpisah dari rakan-rakan yang lain. Lagi pun, Mawar memang takut untuk bergaul dengan orang lain. Hanya meja itu sahaja dapat meredakan rasa takut Mawar.
"Jadi, Luth kena buat apa?" Wanita itu menjongketkan sebelah kening.
"Buat apa? Luth nak pergi main."
"Luth kena dengar cakap Ibu."
"Okay." Mahu tidak mahu, iyakan sahajalah. Kanak-kanak lelaki itu naik duduk di atas kerusi berdekatan Ibu.
"Pertama, ibu nak tanya. Siapa curi makanan dalam dapur ni?"
"Entah." Luth melukis kosong di atas meja makan.
"Kenapa Luth tak kemas apa-apa lepas buat sepah? Luth ni tahu ambil barang je, habis bersepah. Kesian kak Dayang nak kena kemas. Ibu suruh Luth pakai selipar supaya lantai rumah ni tak kotor."
Dia menjuih bibir. Jentikan pada telapak kaki menyentak Luth. Terus kanak-kanak itu mengangkat wajah dan menjeling ke arah Ibu.
"Bila Ibu cakap, pandang Ibu. Ibu tak suka Luth buat perangai macam ni. Mencuri tu dosa. Ibu tak tahulah macam mana Luth boleh pandai sangat buka semua jenis pintu dalam rumah ni... Jangan sampai Ibu potong tangan Luth, baru Luth nak duduk diam." Amaran telah diberikan.
Luth mengguling biji mata ke atas. "Potonglah," bisiknya.
Wanita itu menarik nafas dalam. Dia menongkat wajah dan memandang Luth atas dan bawah.
"Ibu buat apa dekat Mawar?" Kini giliran Luth pula untuk menyoal seperti polis.
"Buat apa?" balas Ibu.
"Kenapa Mawar takut dengan Ibu?" Serta merta kedua-dua kening Luth terjongket.
"Mawar takut dengan semua orang."
Jawapan itu tidak memuaskan hati Luth. "Mawar kata Ibu pukul dia."
"Luth, dalam rumah ni Luth lah yang paling nakal. Ibu tak pernah marah anak-anak ibu. Mungkin Luth yang jadi orang pertama yang kena jentik dengan ibu. Nakal sangat..." Ibu menarik pipi Luth di hadapannya. Dia tersenyum kecil.
"Jangan," marah Luth. Dia menggeleng kepala berkali-kali. Rimas barangkali.
"Kalau Ibu buat apa-apa dekat Mawar, siap Ibu nanti," ujar Luth. Deruan Nafas Luth makin kedengaran.
"Sini." Bahu Luth dielus Ibu. Wanita 30-an itu menarik tubuh Luth dan mengabaikan bentakkan anak yatim berkenaan. Dia bertindak memeluk tubuh Luth.
"Ibu sayang Luth. Luth ada Ibu," bisik Ibu. Dia masih tersenyum sambil mengusap kepala Luth.
Luluh Luth jika dipujuk begitu. Bibirnya diketap. Lama dia berfikir untuk melembutkan badan buat dipeluk wanita itu. "Luth sayang ibu juga."
"Luth dengar cakap ibu ya? Jangan bergaduh dengan kawan-kawan. Kena cakap dengan kak Dayang baik-baik."
Luth menjatuhkan kepala beberapa kali.
please support ! new story here
Share this novel