08 Berkenalan

Drama Series 1599

18 tahun kemudian...

"Assalamualaikum."

Kedengaran satu suara garau dari kawasan halaman rumah. Terus berubah ekspresi wajah yang mendengar. Dia buat-buat tidur dan mengiring menghadap bondanya. Sofa tiga serangkai itu menjadi tempat melepaskan lenguh badan seusai pulang dari lapangan terbang asar tadi.

"Assalamualaikum."

Nampaknya pemberi salam masih tak mahu berputus asa.

"Assalamualaikum, Mahfuz?"

Nama sudah dipanggil. Mana Mahfuz nak lari kalau malam masih tidak sampai jam 10 lagi? Jika 10 malam, bolehlah dia beralasan bahawa walidnya tak beri keizinan untuk keluar lewat malam atau melepak di hadapan rumah hingga dua tiga pagi.

"Adik, tu suara Arif, kan?" tegur Puan Munirah. Wanita setengah abad itu mencuit pucuk hidung anak terunanya yang konon-konon sudah tidur. Usia 25 tahun tidak menghalang Mahfuz untuk terus menagih kasih sayang ibunya.

"Hm, suara dia. Kata adik tidur." Pipinya yang tidak gatal digaru perlahan. Mahfuz menyilangkan tangan ke dada. Jam di dinding ruang tamu rumah menunjukkan pukul 9 malam.

"Tipu dosa tau."

"Adik baru balik ni. Sibuk je dia tu nak kacau orang nak dating dengan ummi," keluh Mahfuz.

"Bangun-bangun." Puan Munirah tertawa halus. Bahu anaknya ditepuk lembut. Sedap sungguh jadikan ribanya sebagai bantal.

"Yela. Adik terpaksa korbankan masa bersama ibu untuk berjumpa dengan Arif. Ni semua salah Arif. Nak datang tak reti nak mesej dulu, main terjah je. Nanti macam mana nak manja dengan ibu dah? Nanti anak along datang, habis ummi ketepikan adik." Dengan malasnya Mahfuz terpaksa menegakkan tulang belulang. Air mata palsu dilap lelaki itu.

"Mengada sangat ni. Banyak lagi masa cuti adik. Adik tu bukannya cuti sebulan dua," jawab Puan Munirah. Kopiah putih di atas meja kopi diambil wanita setengah abad itu untuk disarungkan pada kepala anaknya. Kedutan wajah terlekuk sekali tatkala Puan Munirah menggulung senyuman.

Mahfuz biarkan sahaja dirinya dibelai bonda tercinta. Mata hazel itu sedang ralik membaca mesej yang tersiar pada skrin telefon. "Oh, Arif ada mesejlah. Sekejap ya, mi. Adik nak jumpa dia."

"Yeke sekejap je nak jumpa si Arif tu?"

"Ummi ni, kalau adik terbalik lewat pandai-pandai la ummi tolong back up adik depan walid. Tolong ya?" Satu kenyitan mata diberikan lalu Mahfuz bingkas berdiri. Sebelum dia bergegas keluar, satu kucupan pula menyinggah dahi Puan Munirah.

Dalam fikirannya hanya ada wajah Arif Danial. Mahfuz menolak pintu hadapan rumah dengan penuh teruja.

"Nak aku berkampung depan rumah kau ke baru nak buka pintu?"

Seorang lelaki seusianya sedang terpacak di kawasan parkir kereta. Matanya mencerlung ke arah Mahfuz yang masih terkial-kial di muka pintu.

"Kau tahu kan... Aku baru balik ni. Jadi macam lemau sikit sebab tak rehat lagi. Aasif, abang Arep." Sengih Mahfuz seperti kerang busuk. Belakang leher diusap tanda bersalah. Dia mendapatkan tubuh sahabatnya lalu bersalaman dengan lelaki itu. Tubuh Arif dipeluk Mahfuz seperti kebiasaan. (Aasif= saya mohon maaf)

"Sihat?"

"Alhamdulillah, kullu tamaam. Bang Rep sihat?" Mahfuz tak lekang dengan senyuman di wajah. Manisnya senyuman terbentuk di wajahnya yang elok ditumbuhi jambang. "Eh, nak duduk rumah aku ke atau nak keluar? Lepak mana-mana?" (Alhamdulillah kullu tamaam = Alhamdulillah baik-baik saja)

"Luarlah. Seganlah ada ummi kau. Aku ada banyak benda nak cerita ni," jawab Arif. Wajah Arif sejak dahulu tidak pernah berubah. Masih kekal baby facenya.

"Aiwah... Mana kereta baru kau tu? Boleh aku test drive nanti." Mahfuz jadi teruja sekali lagi. Setiap kali keterujaan Mahfuz, keningnya akan ternaik sekali. Ini tabiat yang Arif cukup kenal mengenai sahabat baiknya.

Percampuran bahasa pasar Arab yang diguna pakai oleh Mahfuz dalam dialog hariannya sudah menjadi kebiasaan Arif meski Arif hanya memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Aiwah atau أَيْوَه maknanya okay atau ya. Ada juga yang berpendapat ia bahasa fushah. Di Syria jika hendak menyuruh bas berhenti pun orang Arab gunakan aiwah tetapi nadanya kuat dan panjang.

"Boleh, sheikh. Minta berkat sikit kalau kau drive."

"Ya rabbi, budak ni. Jangan panggil macam tu. Aku tak layak nak dipanggil ustaz apatah lagi sheikh." Mahfuz berkerut tidak selesa.

"Okay, nak panggil apa? Ana, akhi?" sakat Arif. Dia telah terkekek kerana tak sanggup mendengar Mahfuz memanggilnya begitu. Bukan bersikap racist, cuma dia agak geli dengan panggilan yang dianggap terlalu islamik. Bukan salah Arif, persekitarannya yang sosial di kolej.

"Alahai akhi Arep nak berana-ana pula ya? Ana tak kisah pun. "

"Aip... Jangan. Geli." Mata Arif membulat. Sejak kecil, mereka hanya berbahasakan diri aku-kau.

Berdekah ketawa Mahfuz. Kali ini air matanya bukan palsu, dia memang terhibur dengan rakannya. Lengan direhatkan pada bahu Mahfuz. "Aku rindu kau."

"Aku risau setiap kali kau nak balik sini. Aku selalu fikir nanti kapal terbang kau terhempas ke apa. Macam budak-budak kan fikiran aku ni?" Arif tersenyum nipis. Malam itu juga dia mahu menatap wajah Mahfuz setelah setahun lebih tidak berjumpa. Atas pergolakan politik di Mesir, ramai pelajar Malaysia yang dihantar pulang. Mahfuz kekal di sana untuk menyudahkan pengajian terlebih dahulu dalam bidang Usuluddin.

Usuluddin atau nama yang mungkin orang awam biasa dengar ialah ilmu Tauhid.

"Sayang juga kau dekat aku, ya?" Nafas dalam ditarik Mahfuz. Atmosfera malam bertukar seketika.

"Gila tak sayang? Hutang aku bukan main banyak lagi kau tak bayar," potong Arif. Dalam hatinya ada sayang buat Mahfuz.

"Oh, aah. Kan? Aku dah lupa nak bayar hutang kau. Nasib baik kau ingatkan."

"Tak payahlah bayar. Aku halalkan. Jom minum dekat kedai." Arif menggeleng sahaja lalu belakang Mahfuz ditepuknya. Kunci kereta berlogo H dihulurkan pada lelaki itu.

"Tapi... Aku dah lama tak main dekat jalan Malaysia ni, dah lupa dah macam mana nak bawa. Apa kata kau je yang bawa, nanti memori aku tentang jalan raya Malaysia dia datang slow-slow."

Dua sahabat.

***

MASA yang ada tidak cukup buat Arif menceritakan segalanya pada Mahfuz. Keterujaannya untuk mengkhabarkan berita yang bakal mengejutkan Mahfuz tak dapat dikawal lagi. Pegangan tangan kejap di stereng kereta, tidak sabar ingin melihat reaksi Mahfuz.

"Serius la?" Lensa hazel Mahfuz menjadi bulat disebalik samar lampu jalan. Lelaki itu berpaling ke arah Arif tidak percaya.

"Ya, aku tak main-main."

"Ish, aku tak percaya," geleng Mahfuz.

"Pernah ke aku tipu kau?"

Ayat itu mendiamkan Mahfuz. Agak sukar untuk dihadamkan berita pertunangan sahabatnya. Jika benar, Mahfuzlah orang yang paling gembira. Daripada rasa syak wasangka, Mahfuz tukarkannya kepada rasa syukur.

"Tahniah, Arif. Barakallahufeekum. One step further, ya?" (Barakallahufeekum= semoga Allah memberkati kalian)

Arif ketawa halus. "Tak further mana pun. Sekarang ni kau macam mana? Takde calon makmum?"

"Aku ni... Kau tahu, kan? Aku tak ramai kawan perempuan. Kau lainlah. Kau aktif dalam macam-macam program. Petik jari je beratur orang nak hantar resume."

"Mana ada lah. Aku yang mengorat dia. Bukan dia datang pada aku."

"Tambahan, kau pandai mengorat." Satu perwatakan yang amat kontra dengan Mahfuz. Hujung ayatnya tidak seteruja tadi.

"Nak aku ajar?" Ekor mata Arif melihat wajah sedih Mahfuz. Ada sesuatu yang tidak kena, pasti.

"Cakap pasal mengorat ni... Aku ada cerita sedih sikit," ujar Mahfuz mendatar. Dia buat-buat lupa tentang hal bulan lepas itu. Namun, hingga kini hati sukar untuk berganjak. Pandangan dilontarkan ke luar tingkap.

"Kau kena reject?"

"Muka aku ni memang muka rejected ke?" Pantulan wajah sendiri di cermin gelap kereta ditatap Mahfuz. Rupanya elok sahaja, masih punyai segala sifat manusia yang mencukupi. Mungkin inilah wajah rejected.

"Kau confess terus dekat dia?" tebak Arif.

"Ya." Mahfuz menekur. "Aku ajak dia kahwin."

"Kau ni memang tak pandai nak mengorat," balas Arif selamba.

"Janganlah marah. Aku tak pandai bab-bab ni." Mahfuz semakin sedih.

"Siapa perempuan tu? Yang buat kawan aku ni monyok macam ni... Haih, perempuan tu pun satu. Kasi chance la sikit dekat kawan aku yang tak pandai nak mengorat ni." Tangan kanan Arif naik menongkat wajah. Dia tidak suka Mahfuz berputus asa sedangkan strategi belum diatur lagi.

"Dia kawan satu kulliyah dengan aku. Tapi biar je lah. Dia tak nak dekat aku." Berat sungguh mulut Mahfuz untuk menceritakan rasa hati.

"Bro, kita lelaki. Kita tak boleh menyerah sebelum berjuang."

"Entahlah, Rep. Aku ni nak berjuang pun tak pandai." Mahfuz menggenggam telefon pintarnya. Mahfuz tahu dia agak bodoh bila masuk hal percintaan. Dia kan anak manja ibu dan ayah? Yang hanya tahu berkepit dengan ummi dan akur segala arahan walid.

Nak cakap soal cinta pun dia belum layak lagi. Malah apa bezanya cinta, sayang dan suka? Kerana itulah Mahfuz pilih untuk membisukan diri setelah ditolak si gadis kesukaannya.

Pacuan empat roda itu semakin perlahan tatkala tiba di sebuah stesen minyak.

Nafas berat dilepaskan Mahfuz. "Abaikan drama air mata aku ni."

"Kau ni bukannya setakat tak pandai mengorat. Nak berkawan dengan perempuan pun tak pandai, kan?"

"Tak. Aku tak tahu apa-apa. Dan aku tak nak tahu."

"Senang je, sayang. Aku ajar cara nak buat kawan dulu." Mata Arif melilau ke sekitar stesen minyak berkenaan. Sementara menanti giliran untuk ke kawasan pam minyak, Arif menyempatkan diri mengajar rakannya yang terlalu naif ini.

"Ada budak perempuan dekat sana. Cuba kau jadi friendly sekadar untuk berkawan."

"Nak cakap apa?" Pelbagai kemungkinan mula menerawang di fikiran Mahfuz. Wajah seorang gadis di kaunter pembayaran diperhatikan mereka berdua.

"Beri salam dulu. Tanya nama dia. Sembang sikit pasal cuaca hari ni atau apa-apa dalam satu ayat je. Lepastu ucap terima kasih. Come on, bro. Simple je nak buat kawan."

"Tak dikira playboy ke?" polos Mahfuz.

"Mahfuz, kau hanya friendly. Bukannya flirting. Kau tahu flirting tu apa? Yang bagi ayat sweet-sweet tu... Siap bagi pick up line la apa la. "

"Okay. Aku cuba," akur Mahfuz.

"Practice make perfect. Goodluck ma boy." Tubuh Mahfuz dipeluk Arif buat salurkan secebis semangat.

"Janganlah lebih-lebih. Aku nak berkawan dengan perempuan je pun." Wajah putih Mahfuz bertukar merah pipinya. Pintu kereta dikuak kecil bukaannya.

"Aku tahu betapa sukarnya untuk buat perkara yang jarang kita lakukan. Aku tahu kau boleh."

Memang begini perangai Arif sejak dahulu. Terlalu supportive terhadap Mahfuz ini. Jika tidak kerana sokongan Arif, Mahfuz tidak mahu dan tidak akan sambung pengajian di Mesir selepas ambil STAM.

Nafas dalam ditarik Mahfuz. Dia menoleh ke belakang. Arif di tepi kereta melambai kecil padanya. Langkah harus diteruskan juga. Rasa debaran  dapat dirasakan empunya diri.

Telapak tangan dilekapkan pada dada.

"Ya Allah... Nak tegur orang pun berdebar ke, Mahfuz?" bisik sang hati.

"Ya?"

Darah panas Mahfuz tersebar ke seluruh badan. Rasa gementarnya dikawal sebaik mungkin dengan secalit senyuman. Awalnya, Mahfuz mahu menundukkan pandangan sahaja. Namun, mengenangkan sokongan moral Arif, dia mengangkat wajah.

"Nak isi RM50, yang belah sana tu." Jeda. "Besarkan bulan malam ni? Terang pula tu."

Not RM50 diletakkan Mahfuz ke atas kaunter.

"Em, aah. Saya tak perasan sangat," jawab gadis berkenaan. Untaian tudung bawalnya yang terjatuh ke hadapan dibawa ke belakang kembali. Wajah lelaki berkopiah di hadapannya itu dilihat sesaat dua.

"Sebab esok hari putih. Hari yang mana sunat untuk berpuasa," sambung Mahfuz. Keberanian untuk bertanyakan nama tidak ada lagi. Maka, matanya memilih untuk membaca tag nama si dara.

"Terima kasih, Fatihah," ucap Mahfuz lalu beredar pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience