04 Ibu atau Mawar

Drama Series 1599

Hujan menimpa ke bumi pada malam itu dengan lebatnya. Bunyi derapan telapak kaki tikus pun dapat membangunkan Luth daripada lena apatah lagi lantunan air hujan di atas atap. Dia tersentak lalu membuka mata seluas mungkin. Dipandang kiri dan kanan dalam samar-samar cahaya. Sekali lagi dia tersenyum kecil.

Tidurnya di atas katil bersaiz Queen yang empuk gebu. Comforter hangat pula membaluti tubuh. Masih tertanya-tanya adakah ini mimpi atau dia sedang berada di syurga?

Luth menggosok kedua-dua matanya. Masih awal lagikah? Tiada matahari pun di luar sana. Wajah ibu yang sedang tidur membelakangi Luth tidak dapat dilihat. Benjolan pada dahi disentuh-sentuh Luth dengan jari telunjuk. Rasa sakitnya tidak sehebat dua hari yang lalu. Barangkali sudah sembuh.

Jika sudah sembuh, adakah itu bermakna dia perlu tidur bersama rakan-rakan kembali? Mungkin begitulah apa yang dimaksudkan Ibu beberapa hari yang lalu.

Keluhan halus dilepaskan Luth. Dia suka benar dengan katil empuk itu. Sebelum membuat keputusan ingin beredar, kanak-kanak itu menurunkan separuh wajahnya dan disembamkan pada cadar katil. Dia tersenyum sendiri, kalau sakit lagi bolehkah dia tidur bersama Ibu lagi?

Satu demi satu kaki dijejakkan ke atas lantai. Luth turun perlahan-lahan, tak mahu mengganggu Ibu. Langkahnya dibawa keluar bilik. Daun pintu ditutup penuh cermat.

Lebatnya hujan merundum satu jiwa. Bukan buat jiwa berani seperti Luth tetapi buat sekeping hati yang menanti gugur bagaikan kelopak bunga yang asyik disentuh orang.

"Jangan bisinglah. Pergilah menyorok bawah meja tu," ujar satu suara sebelum tubuh seorang kanak-kanak perempuan ditolak keluar dari kamar tidur.

Luth tidak berganjak di muka pintu Ibu. Dia perlukan masa beberapa detik untuk mengecam itu Mawar. Yang sedang dihalau keluar dari bilik tidur itu Mawar!

Mulut Luth diam terkunci. Kakinya berlari mendapatkan adik angkat baharunya. Dia agak terkejut melihat wajah Mawar yang sedang dibasahi air mata. Badannya menggigil ketakutan di tepi dinding.

Sebelah tangan menggenggam pergelangan tangan Mawar, manakala tangan kiri menolak daun pintu kamar tidur yang diinapi Kak Dayang.

"Nak apa, Luth?" Baru sahaja hendak melelapkan mata, Kak Dayang disapa dengan figura kerdil di muka pintu. Remaja perempuan itu makin serabut waktu tidurnya terganggu. Dia bingkas berdiri dan menuju ke arah Luth.

"Kenapa akak halau adik Luth?" soal Luth tidak puas hati.

"Adik?" Kak Dayang hampir tergelak di situ. "Baru duduk sini seminggu dah ada adik angkat. Siapa ajar ni? Kecil-kecil dah nak jadi buaya darat. Besar nanti? "

"Ibu yang kata Mawar ni adik Luth," balas Luth. Ini akan menjadi perdebatan hangat kerana Luth sedang merasakan dirinya dipandang rendah.

"Jangan merepek, budak." Gadis itu melihat jam pada skrin telefonnya.

2 pagi.

"Ibu kata jangan panggil 'budak'. Semua orang ada nama." Kerana seminggu tinggal di situlah Luth mula belajar beberapa perkara berkisar tentang adab. Tabiat lamanya memang sukar ditinggalkan namun Ibu tidak pun berlaku jahat padanya.

"Nampak tak pukul berapa? Dua pagi. Pergi tidur." Kak Dayang masih menahan geramnya. Pagi-pagi buta dan terpaksa berdebat dengan kanak-kanak bawah umur.

"Bagi Mawar masuk. Mawar nak tidur dekat dalam bilik." Luth masih memegang tangan Mawar. Hatinya turut sayu melihat titisan air mata Mawar. Sukarnya untuk menguatkan Mawar jika dia sendiri masih samar-samar akan asbab ketakutan Mawar ini.

Benarkah ibu jahat?

"Adik awak ni tak nak tidur dalam bilik. Dia nak duduk bawah meja dekat sana. Pergi bawa dia tidur bawah kayu berhabuk tu. Biar nanti semut, kala jengking dan lipan datang teman dia," sindir Kak Dayang disusuli jelingan tajam. Daun pintu cuba ditutup kasar.

"Buka," marah Luth. Dia masih berdegil ingin menolak pintu kayu itu. Kaki kanannya naik menolak ke arah daya bertentangan yang dikenakan Kak Dayang. Hasilnya pintu itu tidak dapat ditutup si pengasuh muda berkenaan.

"Ya Allah, apa masalah kau ni? Aku penatlah. Asyik nak tengokkan kau je." Wajah diraup kasar. Kaki Luth yang berhampiran dengannya dikuis dengan kaki.

Gadis itu membongkokkan badan sedikit sambil menunding jari ke arah wajah Luth. "Dengar sini, jangan buat bising. Nanti semua orang bangun, penat aku nak jaga dorang. Dah lah sorang-sorang buas macam binatang liar. Nak-nak lagi kau ni perangai asyik nak menyusahkan orang je."

"Nak beritahu ibu." Ringkas Luth menjawab dengan wajah kosongnya. Dia mengilas badan ke arah Mawar. "Jom, Mawar. Ibu ada dalam bilik."

Ibu sahaja yang baik dengannya. Selama ini dia suka melawan cakap Kak Dayang adalah kerana mulut becok gadis itu sendiri. Luth seorang kanak-kanak yang mudah. Apabila orang melayan dia dengan baik, dia akan cuba hargai setiap dari mereka. Tetapi kalau ada seorang buat sampah dengannya, layanannya juga akan bertukar sampah.

"Kau ni... Nak jadi kaki adu pula? Aku suruh tidur kau tak nak." Jari runcing Kak Dayang lantas menarik kolar baju Luth yang mahu mengatur langkah ke bilik Ibu. Budak seperti ini perlu diajar betul-betul, asyik dimanjakan sahaja. Silap hari bulan habis satu rumah ini di bawah telapak kakinya.

"Lepaslah!" bentak Luth lalu menggigit jari Kak Dayang.

"Arghhhh." Mata Kak Dayang membulat luas. Dia meniup jari telunjuknya yang kemerahan. Sempat kepala Luth diteleng serentak dengan gigitan tadi.

Jeritan gadis itu ditenggelami bisingnya jatuhan air hujan. Makin menjadi-jadi perangai Luth di matanya. "Kau nak jadi binatang ke main gigit orang ni. Kau sabar jap..."

Kesabaran Kak Dayang tidaklah setebal Ibu untuk melayan karenah anak-anak terbiar seperti Luth. Kali ini Kak Dayang menarik telinga Luth dan Mawar dengan kuat. Tangisan Mawar sudah lali kedengaran di gegendang telinganya. Kakinya dihayunkan menuju ke ruang tamu rumah. Dua tubuh anak kecil itu ditarik kasar bagi mengikut langkahnya.

"Kau tak nak tidur sangat, kan? Yang sorang ni kerja menangis je. Yang kau ni nak jadi binatang? Ha?" Nada akhir ayat Kak Dayang naik seoktaf.

Tersebek-sebek Mawar menangis ketakutan. Wajah Luth kelihatan tegang di sebelahnya. Tidak tahu apalah nasib mereka berdua selepas ini.

Gugusan kunci berhampiran pintu utama dicapai Kak Dayang. "Kau keluar sekarang."

Benarkah ibu jahat?

Soalan yang sama berlegar-legar di fikiran Luth saat itu. Dia sedang berada dalam dunia sendiri untuk menentukan baik dan buruk Ibu. Gadis di hadapannya ini sudah tentu jahat.

"Pekak ke?" Tunjalan pula dikenakan pada dahi Luth yang berbenjol. Tubuh dua orang anak itu ditolak keluar tanpa simpati. Puas hati Kak Dayang saat itu.

Kuakkan pintu utama terkatup erat, hilanglah Luth dan Mawar daripada pandangan mata.

"Aku tak rugi apa-apa kalau kau hilang," bisik Kak Dayang. Gugusan kunci dilontar ke udara kemenangan.

***

Tangisan kanak-kanak perempuan di sebelahnya makin reda. Dada langit masih gelap seperti tadi. Hidup ini agak sukar untuk ditafsirkan. Tadi dia terbaring di atas katil empuk, sekarang ini sebuah meja di kedai makan menjadi teduhan.

Luth mengetap bibirnya. Dia mengintai wajah Mawar yang sudah terlelap di bahu. Lama wajah itu dipandang.

Kenapa ya?

Nafas halus dihela Luth. Baju yang tersarung pada tubuh habis basah lenjun dek kehujanan. Kasihan Mawar. Sudahlah tangan Mawar luka, kakinya pula lebam. Mereka terpaksa berjalan sedikit jauh untuk mencari kawasan berteduh.

Kelipan mata Mawar menjongketkan kening Luth.

"Tak tidur lagi?" bisik Luth.

Kawasan kedai makan itu sunyi sepi. Lampu perang di tepi jalan memberikan mereka sedikit cahaya untuk terus memerhatikan kawasan sekitar demi keselamatan. Segala kerusi telah ditelangkupkan ke atas meja. Lantai meja yang berdebu dengan kesan pijakan menjadi tempat silaan dua anak itu.

Mawar menggeleng. Mata sembapnya menurunkan pandangan. Lengan kecil Luth dipeluk erat. Di situ dia berasa selamat dalam kedinginan malam walau selepas dimarahi Kak Dayang.

"Mawar jujur tau dengan Luth. Betul ke ibu jahat?" soal Luth sedikit tenang berbanding selalu. Dia tak mahu menakutkan Mawar dengan panggilan 'ibu'.

"Ibu pukul Mawar. Dekat sini." Mawar memaksudkan kakinya yang berlebam. "Ibu suka marah."

"Kenapa?" soal Luth penuh serius.

"Ibu benci Mawar. " Suara Mawar makin perlahan. Takungan matanya mula dipenuhi air.

"Ta-tapi..." Luth terkilan. Mana satu dia harus percaya? Mawar atau ibu?

Jelas ketakutan terpancar pada wajah Mawar. Dia mengecilkan diri di sebelah Luth. Ruang di bawah meja makan itu menjadi pilihan Luth kerana Luth tahu Mawar selesa di tempat sebegitu.

Itu pun masih menjadi tanda tanya buat Luth. Kenapa meja?

Kenapa ibu yang ditakutkan?

Logik juga kalau yang ditakuti itu Kak Dayang. Betapa lebatnya hujan yang mereka redah hinggakan tangisan Mawar tersorok di sebalik titisan air hujan.

Pipi Mawar yang basah dengan air mata dikesat telapak tangan Luth. Kanak-kanak tujuh tahun itu membiarkan Mawar bersandar di sebelahnya bak abang dan adik.

Senyuman nipis terkoyak di bibir tatkala menyedari kelopak mata Mawar yang semakin menurun. Luth menepuk lengan Mawar lembut untuk melenakannya. Kawasan luka jahitan di tangan Mawar pula diusap setelah memastikan kanak-kanak itu terlelap ke alam tidur.

Sama lukanya.

Luth memeriksa kulit leher sendiri. Ada beberapa garisan jahitan kerana suatu ketika dia pernah dicederakan oleh pemabuk di tengah kota. Ini membawa makna bahawa Mawar juga telah dicederakan dengan objek yang tajam. Pada bahagian lebam itu pula mungkin dipukul dengan objek tumpul seperti lebam pada pipi Hakim.

Bukankah Hakim itu budak baik? Mengapa badannya juga ada parut luka.

Begitu banyak persoalan yang bermain di minda seorang anak tujuh tahun. Dia bingung dan keliru.

Wajah Mawar dilihat sekali lagi.

"Ibu sayang semua anak-anak ibu dalam rumah ni. Ibu nak Luth tahu, semua sayangkan Luth. Nanti beritahu juga pada Mawar yang... Semua sayangkan Mawar."

Di lorong, kadang-kadang Luth diperbodohkan dengan mudah. Mereka umpan Luth dengan apa-apa demi manfaat sendiri. Akhirnya, Luth akan jatuh ke lembah masalah.

Tidurlah, Luth. Nanti mungkin esok hari dia bakal dilayan seperti putera raja lagi.

.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience