"Hoi!"
Daripada aturan langkah, gadis itu dapat meneka tahap kewarasan si dia yang sedang mencerlung bersama-sama cebisan senyuman. Sekali dua terdengar batukan daripada lelaki berbadan tegap itu. Jari jemarinya sengaja dipatahkan pula.
"Balik," bisik Mawar pada jejaka di sebelah. Anak mata si dara benar-benar menyuruh kekasih pengubat laranya beredar dari kedai makan itu segera.
Lelaki dalam tshirt kelabu berkenaan menggeleng tidak mahu. Atas mejanya masih terdapat separuh roti canai panas yang masih belum terusik. "Relakslah."
"Pergi." Mawar mengetap gigi kegeraman. "Kalau sayang tak nak kena belasah dengan abang saya, baik pergi."
"Kenapa pula dia nak belasah tak tentu pasal? Sayang bukan buat apa-apa dekat Ros pun." Reza mencebik sahaja. Roti canai dicarik kepada beberapa bahagian dengan tenang.
"Awak ni... Ish!" Untaian rambut hitam yang bermain di bahagian wajah diraup ke tepi. Ini bukan kali pertama rakan lelakinya diancam oleh abang sendiri. Mawar menarik gelas minumannya lebih dekat. Air minuman disedut sekali dua tidak tenteram.
"Relaks." Reza mengeluarkan ketawa kecil. Hairan betul dengan sikap teman wanita baharunya ini. Wajah boleh tahan lawa, perangai sahaja tidak boleh ditebak lagi. Secebis roti canai dimasukkan ke dalam mulut sambil mata menikmati wajah cemberut Mawar.
Mencuka sudah wajah Mawar. Bibir delima gadis itu terkumat kamit membebel dalam bahasa yang hanya dia sendiri fahami apabila deorang lelaki berkulit sawo matang hadir menyertai meja makan itu. Tingkah lakunya yang tiba-tiba berlabuh di sebuah kerusi di hadapan mereka berdua membuat Reza kagum.
"Luth?" Reza menolak tepi pinggan makanan. Kini fokusnya hanya pada lelaki itu.
"Abang, jom balik," ujar Mawar pada Luth.
"Apa? Balik?" Luth berdecit kecil. Tangan kirinya menyerahkan jaket jeans biru ke riba Mawar lalu dagu ditongkat. Pada badan itu hanya tersarung sleeveless hitam. Seluruh kulit lengannya kelihatan pada kaca mata Reza.
Mawar menggeleng lemah melihat perangai abangnya.
"Kau siapa?" Luth sedikit berkerut.
"Reza." Teman lelaki Mawar menjawab senada. Isyarat mata yang cuba diberikan Mawar tidak dilayannya.
"Ada apa-apa urusan lagi ke dengan budak ni?" 'Budak' yang dimaksudkan itu ialah Mawar. Luth melingkarkan lengannya pada belakang Mawar, menanti jawapan Reza.
"Tak. Nak ajak makan-makan je-"
"Jadi, kau boleh balik dah lah. Takde jam eh?" Layanan dingin Luth bukanlah satu petanda yang baik buat Reza meneruskan sesi ramah mesranya. Riak wajah Luth pun beku sahaja. Ini kalau tersilap kata, penumbuk yang akan memakan wajah jambunya.
"Abang, jom balik." Gadis berambut panjang hingga ke siku itu mengusap lengan Luth. Dengan itu, perhatian Luth akan kembali pada Mawar. Bau arak tidak terlalu kuat kali ini. Deria bau Mawar amat sensitif dengan bau minuman haram berkenaan.
"Abang Mawar, kan?" celah Reza.
"Hm?" Luth merehatkan kepalanya pada bahu Mawar. Mata dipejam buat seketika.
"Reza, pergi balik." Geram pula Mawar dibuatnya. Nak melayan perasaan tapi dalam masa yang sama perlu diuruskan si abang, gadis itu asyik-asyik harus beralah sahaja.
"Okay. Abang, saya gerak dulu." Teman lelaki Mawar tidak ada pilihan lain. Luth pun tak mahu bersembang dengannya.
Kedai makan yang dibuka hingga lewat pagi ini acap kali menjadi destinasi buat kaki bola atau kaki lepak. Sudah satu pagi pun kebanyakan pelanggan masih ada memenuhi setiap meja. Meja yang Mawar pilih ialah meja di bahagian jalan bertar, tidak berbumbung dan jauh sedikit dari kaunter.
"Minum lagi... Minum banyak-banyak biar mati cepat sikit," omel Mawar. Jaket jeans Luth dibawa ke dalam dakapan.
"Serius la Mawar nak abang mati?" Lelaki itu menggeleng simpati. Sebelah mata dibuka sedikit bagi mencari raut Mawar. Hanya sebahagian wajah yang terlihat kerana Mawar sedang memaling ke arah yang bertentangan. Jarinya menarik dagu Mawar, memaksa si adik berubah arah.
"Asyik menyusahkan je. Pergilah mati tu." Mawar terus menolak tubuh kekar Luth menjauh.
"Serius ni? Kalau abang mati, siapa nak jaga awak?" Daya tolakan Mawar tidak memberi kesan buat Luth. Cuma Luth sendiri yang meleraikan lingkaran lengannya.
"Ramai je," jawab Mawar selamba sambil memeriksa saku jaket jeans Luth. Masuk ke poket kedua, jari telunjuknya bertemu dengan satu kunci motor.
"Macam tu..." Kerdipan mata Luth semakin perlahan. Reaksi cecair di dalam badannya sedang menampakkan kesan semenjak tadi lagi. Pandangan lelaki itu menjadi berpinar.
"Dah, jangan nak merepek. Jom balik." Jaket jeans disarungkan pada tubuh Luth kasar.
"Janganlah marah..."
"Abang minum banyak mana tadi?" Bab ini Mawar kurang sedikit budi bicaranya.
"Sikit je. Tahu nanti kena marah. Jadi sikit je la," ujar Luth dengan bangga.
PAPP
Luth mengerang kesakitan. Pehanya pijar ditampar Mawar. Mujurlah meja mereka sedikit jauh dari kelompok ramai.
"Sikit ke banyak sama je. Buat lagi macam ni, Mawar tinggal abang tepi jalan. Malas dah nak jadi tukang papah balik rumah. Ingat Mawar ni kuli abang?"
"Sakit la," adu Luth. Rintihannya tidak pun dilayan gadis manis itu. Jelingan maut pula menjadi hadiah buat Luth.
***
PINTU bilik tidak terkatup rapat. Terang benderang biasan cahaya lampu kalimantang di ruangan itu di saat empunya bilik telah jatuh ke lembah lena.
Perlahan-lahan langkah diatur Mawar. Tak mahu mengejutkan Luth yang baru melelapkan mata. Hasratnya hanya untuk mematikan suis lampu dan kipas meja. Rasa kasihan terbutir di hati melihat Luth sedang memeluk tubuh sendiri dalam kedinginan malam.
Mana pula selimut dia pergi?
"Abang nak pergi mana?" Mawar berkerut Hairan. Tingkah laku Luth yang memeluk dia secara tiba-tiba tidak dapat ditafsirkan akal kanak-kanaknya.
"Nak pergi dari sini," bisik Luth.
Waktu 9 malam adalah waktu di mana kanak-kanak di rumah Saadah akan masuk ke kamar tidur. Mawar dan Luth masih duduk bersandar ke dinding ruang tamu.
"Ha?" Mawar tidak mengerti. Mulut gadis kecil itu terbuka sedikit. Dia benar-benar tidak faham.
"Luth tak nak duduk sini. Kak Dayang asyik marah. Kesian ibu pening nak jaga Luth," terang Luth. Semoga Mawar dapat tangkap penerangan ringkasnya.
"Pergi?"
"Ya."
"Nak ikut?" pinta Mawar.
"Tak boleh. Nanti Mawar menangis nak balik rumah." Luth tak mahu pisang berbuah dua kali. Dia ini sejenis bergerak solo. Jarang sekali mahu membawa pasangan ke dalam perjalanan kehidupannya.
"Mawar nak ikut."
"Mawar tahu ke Luth nak pergi mana?"
Mawar menggeleng. Bibirnya dijuihkan meminta simpati.
"Luth... Pun tak tahu nak pergi mana. Tapi kita boleh jalan-jalan macam semalam lagi. Betul ke nak ikut?" Kepastian harus diterima dahulu.
"Betul."
"Betul ni?"
"Tapi... Tak payahlah," putus Luth. Risau pula dia kalau di jalanan tiada makanan yang mencukupi.
Betapa terkilannya Mawar di situ. 'Pergi' membawa maksud dia akan ditinggalkan berseorangan bersama-sama kawan yang lain. Paling teruk, tika hari hujan dia tidak akan mempunyai peneman di bawah meja.
Wajah kecewa Mawar menunduk. "Abang dah janji..."
"Apa?" Bila masa pula dia ada buat janji.
"Janji tak nak tinggal Mawar."
Segeram mana pun Mawar pada perangai Luth yang kini, lelaki di hadapan matanya jugalah yang telah menjaga dia sejak dahulu. Tubuh dilabuhkan bersebelahan katil. Tulang belakangnya bertemu penghadang kanan katil bujang Luth.
Bila berdua, pelbagai benda nak ditengkarkan. Mawar ada pendirian mahu bina hidup yang lebih baik di saat Luth mahu kekal dengan kehidupan begini.
Yang dimaksudkan itu kehidupan jalanannya. Hati Luth sudah luntur kepercayaan pada orang luar apatah lagi mahu hidup seperti mereka. Dia lagi suka hidup bebas ke sana ke mari.
Separuh wajah Luth ditutupi rambutnya yang kekal panjang separas bahu. Satu perkara yang membuatkan Mawar tak akan lupa tentang si kecil Luth ialah rambut ikalnya yang cantik. Padan dengan bentuk wajah Luth dan rahangnya yang boleh terlihat dengan sekali pandang.
Kedua-dua belah kelopak mata terkatup rapat mengenangkan penatnya tubuh. Luth tidak terganggu dengan tindakan Mawar mengusap kepalanya.
"Abang memang tak nak berubah, kan?" bisik Mawar. Rambut Luth diselitkan ke belakang telinga. Kesan lebam pada pipi kanan Luth diusap gadis itu lembut.
"Nanti kalaulah Mawar kahwin, kesian pula abang duduk sorang-sorang dalam rumah ni." Kain selimut yang terlipat di sisi Luth dibentangkan Mawar buat menutupi tubuh lelaki itu. Dia tidak bermaksud untuk meninggalkan Luth setelah apa yang berlaku sepanjang 18 tahun ini. Mawar tahu Luth akan kekal melindunginya walau apa pun yang berlaku. Namun, hidup tidak akan selamanya sama.
Sedangkan umur mereka pun berganjak dewasa, mustahil buat Mawar kekal menjadi adik kecil Luth. Mawar ada hasrat lain untuk dicapai.
Pandangan gadis itu dipalingkan ke sekitar bilik tidur kecil Luth. Awal-awal lagi Luth telah menyerahkan bilik yang sedikit besar pada Mawar sewaktu mereka menyewa rumah flat itu. Katanya, barang dia sedikit sahaja. Mungkin Mawar perlukan lebih banyak ruang.
"Abang, Mawar sayang abang," ungkap Mawar. Segaris senyuman nipis tercalit pada bibir si bunga.
Bau minyak wangi wanita melekat di jaket jeans tadi. Mawar tahu saja apa yang Luth buat di belakangnya. Luth tidak akan pernah serius dalam hubungan yang terjalin dengan perempuan lain. Dia hanya hadir untuk bermain, setelah puas pergilah Luth mencari yang lain pula. Setiap hentiannya dianggap sebagai penghibur, tak lebih dari itu.
Perempuan-perempuan bodoh itu pun terlalu senang memakan kata-kata manis Luth. Mawar jadi buntu nak nasihat bagaimana lagi. Alih-alih pergaduhan pula yang akan tercipta antara dia dan Luth. Ketahuilah, dia tidak suka setiap kali Luth meninggikan suara padanya.
"Selamat malam." Pintu bilik Luth dikatup gadis itu setelah suis lampu dimatikan.
Pada pintu bilik Mawar pula ada kunci tambahan pada bahagian dalam. Hanya boleh dibuka orang dari dalam, demi keselamatan Mawar sendiri. Mawar tak mahu sikap pelindung Luth memakan dirinya apabila Luth hilang kesedaran tika mabuk.
Pernah sekali Luth betul-betul bukan dirinya, cubaan melakukan sesuatu pada Mawar tidak berjaya apabila Mawar melarikan diri keluar rumah. Setelah reda barulah gadis itu kembali buat melihat abangnya.
Kunci bilik dipasang Mawar. Dua dan tiga kunci. Setiap malam ini rutinnya. Ya, dia tahu Luth pandai menceroboh mana-mana pintu kerana itulah perkerjaan Luth selama ini. Dengan duit hasil curian mereka membesar di jalanan.
Itu satu asbab kuat untuk Mawar membenci minuman haram. Seteguk dua masih boleh dikawal Luth, sebotol dua akan memudaratkan tahap kesedaran lelaki kacak berambut ikal mayang itu.
Share this novel