07 50 sen

Drama Series 1599

Kekecohan pada petang itu memeranjatkan Luth dan Mawar. Mereka pada awalnya duduk bercangkung di kaki lima sebuah kedai yang telah ditutup menoleh ke belakang. Luth tidak pasti sama ada itu perkara biasa atau apa. Jika diikutkan, dia memang telah terbiasa berjumpa dengan seorang perempuan yang suka menengking. Luth perlahan-lahan berdiri bagi melihat situasi di sebarang jalan. Matanya dipencilkan.

Gerai kecil-kecilan menjadi tapak sketsa antara seorang gadis dan kanak-kanak. Luth sudah lama mempunyai sangkaan bahawa kanak-kanak hanya untuk dimarahi. Bukan dia saja yang asyik ditengking, lihatlah kanak-kanak senasib dengannya itu.

"Kenapa tu?" Mawar mendongakkan wajah memandang Luth.

"Entah," jawab Luth. Gadis tidak bertudung di hadapan gerai pisang goreng berkenaan kelihatan amat marah. Dia bertindak memaksa kanak-kanak yang telah melanggarnya untuk memakan makanan berdebu dari jatuhan tadi.

Mujurlah seorang jejaka berbadan tegap hadir dan memberhentikan tingkah si gadis itu. Kanak-kanak yang berlinangan dengan air mata dibawa lelaki berkenaan. Mereka memboloskan diri ke dalam kereta lalu hilang dari pandangan mata Luth dan Mawar.

Liur diteguk Luth.

Goreng pisang itu jatuh sahaja, kan masih boleh dimakan? Jika ada paip di sekitar, nanti Luth boleh membasuh segala debu yang melekat pada makanan itu.

"Mawar lapar?" Seharian mereka merayap di sekitar bahu jalan. Masih tidak dijumpai orang yang mahu memberikan makanan secara percuma buat mereka.

"Lapar." Mawar melihat bunga loceng di tangannya. Hanya tinggal tiga kelopak kuning sahaja akibat dijentik Luth sepanjang permainan tadi. Memang seronok tiada pengasuh untuk memarahi mereka memetik bunga sesuka hati. "Nak balik," ujar Mawar perlahan.

"Tapi... Mawar kata ibu jahat? Mana boleh balik. Nanti ibu pukul Mawar lagi," hairan Luth. Berkobar-kobar mereka meneruskan hari kedua di jalanan, takkanlah Mawar sudah putus asa.

Mawar menghela nafas halusnya. "Lapar..."

"Tak apa. Sekejap ya Luth pergi minta pisang goreng dekat mak cik tu. Mesti dia baik." Segaris senyumam dihadiahkan untuk Mawar.

Sebenarnya Luth mahu cepat-cepat buat melihat keadaan pisang goreng yang terjatuh tadi. Kakinya membuka langkah sebesar mungkin. Kenderaan di kiri dan kanan tiada satu pun. Luth segera mendapatkan beberapa ketul pisang goreng di atas tanah. Senyuman pada bibirnya terbentuk. Mata-mata yang melihat diabaikan sahaja. Dia lebih suka membuat hal sendiri berbanding kisahkan pendapat orang lain.

Mujur kanak-kanak tadi terlanggar perempuan yang menjinjing pisang goreng. Pisang goreng itulah yang akan dikutip Luth.

Ada banyak juga yang tersadai di tanah. Dua tiga ketul pula masih berada di dalam beg plastik. Tangan Luth menyambar plastik itu terlebih dahulu lalu dia bercangkung di tengah-tengah laluan orang ramai.

"Dik, buat apa tu?"

Pisang goreng berdebu itu cepat-cepat dikutip kerana takut orang lain akan memijaknya. Dia harus selamatkan minum petang mereka berdua. Luth terkelip-kelip mendongak.

"Jangan ambil. Dah kotor tu. Sini mak cik bagi yang baru," ujar wanita tua bertudung litup. Langkahnya diperlahankan di hadapan kanak-kanak itu. Dia tersenyum nipis melihat kesungguhan Luth meniup debu pada pisang goreng.

Tulang kaki diluruskan. Huluran satu plastik merah disambut Luth penuh berhati-hati. Matanya membaca pandangan wanita tua itu. Dia takut kalau sekali lagi orang akan mempermainkannya.

"Ambillah. Nanti adik makan, ya?"

Luth mengangguk kecil. Sesaat selepas itu, wanita tua berkenaan mengusap ubun-ubunnya lalu berlalu pergi. Masih terkesima di situ, Luth berdiri kaku. Di kakinya terdapat pisang goreng berdebu manakala tangannya dihadiahkan pula seplastik pisang goreng yang masih panas.

Punyalah gembira sekeping hati yang menanti ihsan daripada sesiapa. Meleret senyumannya sampai ke telinga. Dia mahu segera mendapatkan Mawar di seberang jalan sana.

Luth mengatur langkah ke bahu jalan. Tiba-tiba, sebuah motorsikal laju melintasi di hadapan mata. Sipi-sipi tayarnya mahu merempuh badan Luth. Deruan darah panas menyerbu ke seluruh tubuh. Angin petang membelai helaian rambutnya yang tidak berikat. Setapak langkah mengundur.

Kaki Luth jadi terpaku di tanah apabila disajikan dengan wajah yang amat dikenali. Seorang gadis bertudung bawal sedang menghampiri Mawar di kaki lima sana. Hati Luth dihujani pelbagai perasaan. Dia mahu menyeberang jalan itu. Dia harus bawa Mawar jauh daripada Kak Dayang.

"Mawar!" panggil Luth. Malangnya Mawar tidak dengar.

Bebola mata hitam Luth ke kiri dan kanan. Pacuan beroda di jalan itu menghalang dia bagi mengambil langkah berani.

"Jangan... Mawar!" Sekali lagi Luth memanggil. Hatinya tidak betah berdiam diri sahaja lalu dia membuka langkah berani. Mawar hampir ditarik pergi oleh si pengasuh.

Bingit bunyi hon menyepikan dunia Luth buat seketika. Dia terpinga-pinga di tengah jalan. Langkahnya makin perlahan.

Kelopak mata dipejam erat. Air mata Luth hampir menitis di situ. Dia masih seorang kanak-kanak yang luluh walaupun berlagak berani selama ini. Segala bunyi bising itu benar-benar meletakkan dia jauh ke dasar ketakutan.

Satu haruman menusuk ke rongga hidung di saat kegelapan menyelubungi.

"Ibu?" ujar Luth separuh berbisik. Dia kembali membuka mata kedua-dua belah. Persekitarannya yang amat terang. Terbaringlah tubuhnya di atas jalan. Satu calar pun tidak sempat hingga pada kulit sawo matang itu. Perlahan-lahan Luth memasakkan tangannya pada jalan tar untuk menolak tubuh bangkit. Alunan nafas masih kencang.

Orang ramai sedang melihat mereka berdua yang terduduk di bahu jalan. Rasa pedih pada telapak tangan diabaikan Ibu. Keselamatan Luth lebih diutamakn ketika itu.

"Budak bertuah ni..." Dahi Luth dikucup sekilas. Bagai hendak tercabut jantung Ibu melihat Luth terhenti di tengah jalan. Kereta yang hendak melanggarnya terus meluncur tanpa memeriksa keadaan Ibu dan Luth.

Sekali lagi tubuh Luth menjadi kaku. Wajahnya sedang diusap Ibu bagi menenangkan hati. "Dah... Jangan takut."

"Ibu..." Tersebek-sebek Luth mahu memeluk tubuh wanita berkenaan. Dia mula mengalirkan air mata di dalam hangat dakapan.

***

"Lain kali jangan menyusahkan orang lain," herdik satu suara di muka pintu.

Luth yang termenung sejak tadi mengangkat wajah. Tangannya kekal memeluk bantal pisang pemberian Ibu. Senyuman ceria yang terkait di atas bantal dipandang Luth kembali. Itu hanya Kak Dayang dan mulut becoknya.

Reaksi Luth tidak memuaskan hati gadis berkenaan. Selagi Luth tidak menangis penuh penyesalan, selagi itulah dia akan terus memarahi Luth.

"Kau sedar tak apa dah jadi siang tadi?" Kak Dayang melangkah perlahan-lahan ke katil Queen di dalam bilik itu. Dia tahu Luth sedang menanggung penyesalan yang teramat setelah melihat luka pada telapak tangan dan lengan Ibu.

"Pergilah," geram Luth.

"Eh-" Kening Kak Dayang dikerutkan. Dia sedikit menunduk bagi mentafsir air muka Luth. Sengaja gadis itu berlabuh benar-benar di sebelah Luth. "Tahu pun nak sedih. Ingat ke selama ni keras sangat hati tu."

"Gila," balas Luth sepatah.

"Kau panggil aku gila?" Terus Kak Dayang tertawa halus. Wajah simpati ditayangkan pada Luth yang tidak keruan. Bantal pisang dalam pelukan Luth ditepuk-tepuk. Hati Luth makin ditusuk setiap kali bantal kesayangannya disentuh Kak Dayang.

"Kau yang gila. Ni semua salah kau! Ibu hampir mati sebab kau." Kak Dayang sengaja menghangatkan lagi situasi sedangkan Ibu hanya terluka sedikit. Luka itu pun telah diubati tanpa komplikasi serius.

"Lepas tu mengada-ngada nak duduk dalam bilik Ibu," sambung gadis itu. Kak Dayang memuncungkan mulut untuk mengajuk kata-kata Luth.

"Mana ada mati..." bangkang Luth. Matanya sudah berkaca-kaca. Dia tak mahu dianggap sebagai pembunuh.

"Yelah. Cuba bayangkan kalau tadi kereta tu betul-betul langgar ibu. Kau nak bertanggungjawab? Kau ada duit ke nak bayar kos rawatan hospital?"

Dada Luth bergetar menahan tangisan. Dia menggeleng lemah. Manalah budak kecil sepertinya ada wang pampasan. Sekeping syiling 50 sen dikeluarkan daripada poket seluar. Itu sahaja wang yang dia punyai.

Kak Dayang menutup mulut menahan ketawa. Geli hatinya apabila Luth seolah-olah ingin memberi wang itu kepadanya.

"Ni je duit yang kau ada? Simpan je lah buat beli gula-gula. Ibu takkan sayang kau dah lepas ni. Tahu menyusahkan orang je. Mawar pun satu..." sinis Kak Dayang berkata-kata.

Luth mengesat tubir mata. "Akak yang buat Mawar sampai lebam, kan?"

"Kau ni memang dah sah gila. Mawar tu kena pukul dengan ibu ayah kandung dia. Bila masa pula aku pukul? Mawar pun sama je macam kau. Menyusahkan orang. Tak reti nak bersyukur ke dah duduk rumah macam ni? Atau kau nak ada kolam renang dan banglo baru nak bersyukur? "

Syiling 50 sen itu dibawa Luth ke dalam sakunya semula. Dia masih tidak faham maksud Kak Dayang. "Mawar ada ibu dan ayah?"

"Ya. Kau patut ajar Mawar tu erti bersyukur. Ibu punyalah dah baik dengan dia, alih-alih menyusahkan orang je tahu. Malam ni kau tidur dengan kawan-kawan kau. Jangan nak naik lemak sangat." Seraya dengan itu kepala Luth ditunjalnya ke tepi gak semena-mena.

"Kau gigit jari aku lagi, aku tampar muka kau," ancam Kak Dayang. Jarinya ditunding pada batang hidung kanak-kanak lelaki itu. Anak mata Luth tak mahu menjeling kembali. Mata bundarnya menjatuh sedikit.

Puas hatinya dapat melihat drama air mata Luth. Kak Dayang melakar senyuman kemenangan pada bibir merahnya.

Ancamlah bagaimana pun, Luth akan memilih untuk membatukan diri. Gadis itu bingkas berdiri meninggalkan Luth sendirian di dalam bilik Ibu.

Berat sungguh untuk mengangkat wajah. Takungan air mata makin memenuhi empangan. Bibirnya tak mampu tersenyum walau bantal pisang itu sentiasa memandangnya dengan sajah ceria. Setitis air jatuh, kemudian diserap kain bantal berkenaan. Semua suka marah dia. Nanti Ibu pun akan membencinya.

Bulan purnama menyelinap di sebalik kepulan awan hitam di dada langit. Betapa ibu risaukan keadaan Luth dan Mawar yang tidak terurus tadi. Mata ibu telah ditenung Luth sedalam mungkin, wanita itu ikhlas menyanyangi Luth selama ini.

Kekuranya naik mengesat wajah. Nafas dalam ditarik Luth. Ibu tak jahat. Yang jahat itu ibu kandung Mawar. Ibu baik, bukan? Rambutnya sekali lagi telah diikat Ibu.

"Luth," bisik pula satu suara. Kepala Hakim terjegul keluar di sebalik dinding luar. Daun pintu dikuak lebih luas tanpa dipinta, Hakim mendapatkan Luth perlahan-lahan. Dia tersenyum kambing bagi meleraikan suasana tegang yang telah tercipta selama ini.

"Menangis ke?" sapa Hakim. Anak itu memerhatikan Luth dari hujung rambut hingga hujung kaki. Kesan cedera tiada satu pun. Lega sungguh hati Hakim.

"Tak," bohong Luth. Dia memalingkan wajah ke arah lain, tak mahu dipandang lemah oleh musuhnya.

"Kau okay?" Hakim tersenyum melihat bantal pisang Ibu dalam dakapan rakannya.

"Akim."

Sebelah kening sengaja diangkat Hakim. Namanya sedang disebut Luth. Pasti ada satu permintaan yang mahu diminta. Sebelum mendengar entah apa permintaan Luth, Hakim mendaki katil ibunya. Dia hanya duduk di sipi-sipi katil kerana takut cadar katil kedut nanti.

"Kau darjah tiga, kan?" Luth menyoal.

"Ya."

"Kalau darjah tiga dah pandai menulis ke?"

"Pandai. Baca pun pandai juga."

"Ada kertas?" Bantal pisang itu diusap Luth. Dia sayangkan barangan lembut. Begitu juga kasihnya pada orang yang melayannya dengan lembut.

"Ada. Kenapa? Nak kertas? Sekejap..."

Ibu hanya meminta Luth berehat di dalam bilik sejak petang tadi. Kanak-kanak lelaki itu diasingkan dari mereka yang lain demi ketenteramannya. Kanak-kanak lain sudah pasti sedang asyik bermain manakala Luth masih trauma menerima kejutan hampir dilanggar sebuah kereta.

"Tulis... Untuk ibu."

Hakim mendaratkan buku sekolahnya di atas riba. Mata pensel mula mencoret di atas kertas. Meski huruf 'b' dan 'd' Hakim kadang-kadang tertukar, ejaannya masih boleh dibaca oleh orang dewasa.

"Dari Luth." Luth mengeluarkan rantainya. Dia mempamerkan cara ejaan nama, biar Hakim tahu bagaimana nama 'Luth' tereja.

"Okay," akur Hakim. Hakim sendiri tidak pasti apa yang sedang bermain di fikiran kanak-kanak tujuh tahun di hadapannya. Niat asalnya hanya untuk melihat keadaan Luth bertukar pula kepada karangan sekeping surat.

"Terima kasih. Luth sayang ibu..." Jeda.

"Tu je," sambungnya. Air mata Luth sekali lagi menitis. Otak tepu Luth hanya mampu menceritakan segalanya dalam dua ungkap ayat. 'Terima kasih' dan 'Luth sayang Ibu'. Betapa dirasakan diri itu benar-benar telah menyusahkan semua orang. Malah tangisannya makin lebat di hadapan Hakim.

Hakim agak kaget akan perubahan drastik Luth. Luth yang selama ini dia kenal tidak sebegini. Tubuh kawannya didakap atas kerelaan sendiri. Belakang tubuh Luth diusapnya lembut.

"Luth, janganlah menangis," pujuk Hakim.

Luth menggeleng lemah. "I-ibu luka... Kesian i-ibu."

Wajahnya dikesat pada bahu baju Hakim. Tepukan pada belakang sedang memujuk gelodak jiwanya.

"Ibu okay je lah. Ibu keluar sebab ada urusan. Ibu kata nanti ibu balik." Dua tahun lebih tua berbanding Luth, Hakim tahu mana yang benar dan salah. Meskipun kadang-kadang fikirannya tidak matang mana.

"Tak," nafi pula si Luth. Pelukan itu dileraikannya. "Aku nak pergi."

"Pergi mana?"

"Balik tempat aku. Ni bukan rumah aku."

"Rumah kau dekat mana?"

"Mana-mana." Luth mana ada rumah di luar sana. Hidupnya merempat ke sana ke mari.

"Nanti ibu cari lagi macam mana?" Ini lagi mengejutkan Hakim.

"Tulis lagi... Jangan cari Luth," tekad kanak-kanak itu. Dia sedang bergelumang dengan tangisan sendiri.

Sedang Hakim mahu menyambung penulisan itu, Luth bersuara lagi. "Kau duduk sini tau... Nanti ibu takde kawan."

"Okay... Kau nak kawan dengan aku?" soal Hakim pula.

"Nak."

"Janji jangan tak nak kawan dengan aku lagi?"

"Janji. Ni upah sebab tolong tulis."

Sekeping syiling 50 sen diletakkan berdekatan tangan Hakim.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience