"Jadi... Macam mana Luth pandai buka semua kunci yang ada dalam rumah ni?" Bantal berbentuk pisang diberikan pada Luth buat menjadi pelukan. Dari tadi Luth masuk ke bilik, memang tak lepas mata memandang pisang bermata yang tersandar di tepi papan seterika.
Kanak-kanak itu mengambil bantal berkenaan dan memeluknya sekuat hati. Memang lembut. Pertanyaan Ibu tadi hilang dibawa atmosfera malam.
"Luth suka benda lembut?" soal Ibu.
"Suka," jawabnya.
Reaksi Luth apabila bertemu dengan sesuatu yang lembut dan gebu sentiasa mencuit hati Ibu. Sekeras-keras Luth, dia masih sukakan sesuatu yang lembut. Begitu juga layanan yang diberikan, diharapkan lembut.
"Luth pandai buka kunci?" Gaya soalan ditukar Ibu kepada skop kecil. Luth hanya akan menjawab ya atau tidak. Begitu caranya untuk menyelesakan yang sedang disoal.
"Pandai." Bantal kuning itu kekal dalam pelukan Luth di bahu katil. Dia bersandar seperti ibu apabila disuruh.
"Pandainya awak ni. Siapa ajar?" Keterujaan yang dibuat lagi mendorong Luth untuk membuka mulut.
"Kawan yang ajar," ujar Luth.
"Oh... Hebat. Nanti kalau ibu terlupa kunci dekat mana bolehlah Luth tolong ibu buka pintu, kan?"
"Boleh." Luth setuju saja. Lagilah dia suka jika khidmatnya diperlukan.
"Tapi Luth tak boleh buka kunci sesuka hati. Macam ambil barang dekat dapur tu. Ibu tak marah tau kalau Luth nak makanan atau apa tapi... Tapi Luth mesti minta pada ibu dulu." Ikal rambut Luth dimainnya dengan jemari. Dia mengusap ubun-ubun anak itu.
"Ibu tak marah?" Kepala Luth menekur riba sendiri. Rata-rata mereka yang menjumpai Luth akan memarahi saja.
" Tak. Kenapa ibu nak marah kalau anak ibu nak makan? Ibu suka tengok awak makan. Tapi ibu marah kalau Luth ambil makanan tanpa kebenaran."
"Kawan Luth kata... Bukan ambil, pinjam je. Jadi dia kata tak apa kalau nak ambil barang yang kita nak. Tapi... Tapi Luth ambil makanan je sebab lapar," terang Luth pula. Dia terkebil-kebil untuk pertahankan pendiriannya.
"Macam tu ya? Salah tu... Kalau nak pinjam pun masih perlukan kebenaran, sayang. Kalau Luth lapar, beritahu ibu. Ibu pandai masak macam-macam tau."
"Betul ke ibu tak marah? Hari tu ibu jentik kaki Luth." Anak-anak akan ingat segala yang penjaga mereka buat atau ungkap. Kadang-kadang ia akan dipendam dan menunggu masa sahaja untuk diguna sebagai senjata pada suatu hari nanti.
"Ibu jentik perlahan je. Sakit ke? Maaflah. Ibu yang salah." Tanpa segan, Ibu memohon maaf pada kanak-kanak itu. Apabila buat salah, harus diajar untuk meminta maaf. Tak kiralah sekecil mana pun kesalahan itu.
"Tak pun." Luth hampir tertawa kerana Ibu menyentuh telapak kakinya secara tiba-tiba. "Tak sakit."
"Lupa pula awak ni lelaki. Mestilah tak sakit, kan?" usik Ibu.
"Tak." Luth menggeleng. Baru kali ini senyuman manisnya terbentuk di hadapan orang asing. Bibirnya dikemam beberapa ketika lalu dia mengangkat wajah.
"Cuma kadang-kadang Luth sedih sebab orang suka tengking. Tak ada pun yang cakap elok-elok. Semua nak marah. Memang kalau jadi budak-budak ni asyik kena marah ke?" Ada juga orang yang mahu mendengar luahan hati Luth. Kebanyakan hari Luth asyik menyorok kepetahan lidahnya.
"Mana ada. Ibu ada marah Luth ke?"
"Tak."
Wanita itu menepuk-nepuk ruangan kosong di sebelahnya. Lama juga Luth berkira-kira untuk duduk lebih dekat. Anak itu mengesot perlahan-lahan bersama-sama bantal pisangnya.
"Kalau Luth sedih lagi, beritahu ibu." Kekura tangan Ibu mendarat di bahu Luth. "Tau?"
"Okay." Laju Luth mengangguk. Bantal empuk itu dipeluknya erat ke dada. Kepalanya sudah bersandar pada sebelah ibu. Kedua-dua kaki mereka terlunjur ke hadapan.
"Bila nak tidur, buka getah rambut ni." Seraya dengan itu, Ibu meleraikan ikatan simpulan getah rambut. Rambut ikal Luth jatuh ke bahu. Dia menyarungkan getah itu pada tangan kanan kanak-kanak itu. "Ini kena letak dekat tangan, nanti hilang."
"Terima kasih, ibu. "
Ibu masih mengingati detik-detiknya bersama Luth. Budak itu anak yang baik namun masih terkial-kial di dunia fana ini.
***
LENGGOK tubuh seorang gadis yang menutup kembali pintu bilik dengan cermat ditenung Ibu tak mahu lepas. Mendung wajah Kak Dayang adalah kerana perbuatannya telah ketahuan.
"Dayang, awak sedar tak Luth tu anak lorong? Apa yang awak expect daripada dia? Nak dia bertatatertib macam budak-budak lain?"
Ibu memejam matanya erat. Tangan tak henti mengurut pelipis sendiri setelah mengetahui cerita yang sebenar. Dia bersandar pada bahu sofa di dalam ruangan bilik kecil itu. Tiupan pendingin hawa menyejukkan setiap jemari.
"Luth gigit tangan saya." Kak Dayang masih mahu mempertahankan diri. Lipatan kain baju kurung dibaiki susunannya lalu dia berlabuh berdekatan Ibu. Bukan dia yang memulakan isu ini. Ini semua salah Mawar yang suka menangis tak tentu pasal dan suka menyorok bawah meja. Malam-malam pun sibuk suruh dia bukakan pintu untuk ke meja kopi di ruang tamu. Lama-lama, Kak Dayang sendiri boleh mengalami tekanan perasaan.
"Dan awak tampar kaki dia hari tu. Ibu tahu bukan sekali dua awak buat macam tu dekat dia. Budak-budak akan ikut perbuatan kita. Kenapa awak tak cuba untuk berhemah dengan dia?"
"Ibu, berhentilah manjakan budak-budak dekat sini. Saya penatlah nak layan perangai pelik dorang. Saya pun anak yatim juga tapi takdelah nakal macam dorang. Nak-nak lagi si Luth tu," keluh Kak Dayang. Dia menarik nafas sedalam mungkin lalu melarikan anak matanya daripada ditangkap Ibu. Gadis itu tahu Ibu sedang menahan sabar. Dari tegang urat pelipis sahaja dapat menceritakan betapa kusutnya fikiran Ibu.
Ibu memandang wajah Kak Dayang meskipun si gadis tak mahu memandangnya. "Mereka bukan anak yatim." Jeda.
Ibu sendiri tak cukup kudrat untuk mengawal kesemua kanak-kanak di rumah itu. Wanita 30-an yang tidak mempunyai anak kandung dan merelakan diri bagi mengasuh anak-anak istimewa. Gajinya tidak seberapa. Namun, setiap kali mereka memanggil dia dengan panggilan 'ibu', penat lelah pasti beransur pergi.
"Mungkin separuh daripada mereka masih lagi ada ibu dan ayah. Tapi ibu dan ayah mereka jadikan mereka tempat lepas geram. Contoh paling dekat ialah Mawar. Tengoklah luka dan lebam yang masih baru lagi dekat kaki dan lengan dia. Atau Dayang boleh tengok Hakim, pun ada beberapa parut. Tapi Hakim dah lama duduk dekat rumah ni, dia dah mampu kawal trauma dia dan hidup macam kanak-kanak lain," sambung Ibu. Dia tersenyum hambar mengenangkan kehilangan Mawar dan Luth pada hari ini. Jelas pada pandangan mata yang Mawar masih trauma akan penderitaan yang dihadapinya sebelum ini hinggakan si manis itu takut pada semua orang.
" Luth pula anak lorong. Ada orang yang usulkan pada ibu untuk jaga dia. Ramai lagi budak-budak jalanan dekat luar sana yang tak bernasib baik. Sekurang-kurangnya Ibu cuba untuk jaga salah seorang daripada mereka dan Ibu harap orang lain pun sedang buat perkara yang sama. Dan ya, ibu bapa Mawar tak tahu anak mereka ada di sini. Ayah saudara Mawar yang letak Mawar di rumah pelindungan kita. Ibu tak tahu apa yang Dayang fikir bila nak jadi pengasuh dekat sini. Dari awal lagi ibu dah kata, kanak-kanak dekat sini istimewa. Mereka nakal tapi bukan jahat. Cuma perlukan kasih sayang dan didikan."
Terdiamlah Kak Dayang setelah dihamburkan kata-kata. "Ta-tapi..."
" Cukuplah. Kalau Dayang nak kerja dekat sini, silakan. Kalau nak berhenti, silakan juga. Ibu tak pernah paksa orang untuk ada dengan ibu." Kedua-dua bibir diketapkan. Tekaknya berpasir.
Ibu menyudahkan ayat sebelum bingkas berdiri. Kesabarannya untuk terus menatap wajah Dayang makin berkurangan. Dia melintasi meja kerja lalu dibelek fail-fail biodata anak jagaannya satu per satu. Tubuhnya memaksa diri untuk duduk di kerusi. Fail yang masih baharu itu ialah milik Luth. Kerdipan kelopak mata mengizinkan butir mutiara jatuh berlinangan.
Fikirannya memang serabut. Hatinya pula terlalu risau andai kepercayaan Luth padanya telah musnah akibat perbuatan Kak Dayang.
"Ya Allah, pertemukanlah aku dengan Luth dan Mawar sekali lagi. Berikan aku peluang untuk menjaga mereka berdua seperti anak sendiri walaupun mereka bukan asalnya dari rahim aku," bisik ibu.
***
Mahfuz diam tidak berkutik di hadapan ayahnya. Titisan air wuduk belum kering lagi kerana dia baru saja keluar dari bilik air. Ayahnya sedang memeriksa beberapa bahagian penting bagi memastikan bahagian wuduk telah dikenakan air dengan sempurna yakni memadai. Wuduk sempurna pula akan menggugurkan dosa-dosa kecil seperti yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.
Bahagian pertama ialah pada sideburn. Tempat ini ramai kanak-kanak tertinggal tanpa sedar.
Ustaz Khairi menyentuh sisi rambut anak bongsunya. Kedua-dua sideburn kiri dan kanan telah basah. Kemudian, lelaki itu meminta Mahfuz menghulurkan lengan. Anggota wuduk yang kedua ialah lengan, perlu dibasuh hingga ke siku. Sunnahnya dibasuh tiga kali.
"Mahfuz, nanti bila ambil wuduk pastikan hingga ke siku. Ini siku adik tak kena air pun," Ustaz Khairi menegur kanak-kanak itu. Kesan tusukan branula di kekura tangan Mahfuz makin pudar lebamnya.
"Oh..." Mahfuz terkelip-kelip memeriksa siku sendiri. Benarlah dia ingin cepat tadi. Habis lupa apa yang telah diajarkan sang ayah. Boleh pula bahagian siku tertinggal.
Yang terakhir, periksalah bahagian buku lali anak. Tiga checkpoint penting dalam mendidik anak mengenai wuduk yang sempurna.
"Sekejap lagi kita belajar solat pula." Kopiah putih Mahfuz diambil Ustaz Khairi. Dia menepis habuk yang melekat di situ agar kemas sahaja pakaian anak lelakinya.
"Lepas tu boleh main?" potong Mahfuz.
"Main dengan walid? Kan biasanya petang khamis walid ada urusan-"
"Bukan," nafi Mahfuz cepat-cepat. "Dengan Arep." Apabila nama Arif disebutkan, automatik kening Mahfuz terangkat sekali. Dia mempunyai hajat untuk berjumpa dengan kawan baiknya setelah tidak ketemu beberapa hari kebelakangan ini. Tidaklah 'kawan baik' mana, tetapi itu sahaja kanak-kanak seusianya di sekitar taman perumahan itu.
Ustaz Khairi kembali memutar kotak memorinya. Dia berjalan seiring dengan Mahfuz untuk ke ruang tamu. Setelah diingat milik siapakah gerangan 'Arep', langkahnya terhenti di bentangan permaidani. "Tak payahlah. Mahfuz duduk dengan ibu."
Rambut Mahfuz diraup ke belakang. Kopiah tadi diletakkan elok pada kepala Mahfuz.
"Kenapa?" soal Mahfuz. Permintaannya sedang ditolak mentah-mentah. Wajah Ustaz Khairi yang amat dekat dengannya dipandang sayu.
"Sebab adik baru keluar hospital semalam. Tunggu lama sikit, baru main dengan dia. Ya?" terang Ustaz Khairi.
"Adik tak sakit pun," hairan Mahfuz. Dia melihat lengan sendiri. Elok sahaja dibasahi air wuduk.
"Adik sakit. Cuma adik yang tak tahu. Jadi kalau nak buat apa-apa, kena minta kebenaran walid dan ummi dulu."
"Baik, Walid."
"Jangan sedih. Nanti kan boleh main lagi? Arep je pun. Nanti ayah minta dia datang rumah kita." Ustaz Khairi tersenyum. Wajah kecewa Mahfuz itu diusik dengan cuitan di pipi. Setakat anak jiran selang beberapa buah rumah, bila-bila masa sahaja mereka boleh berjumpa. Yang penting sekarang ini ialah mengenai kesihatan Mahfuz.
"Betul ni?" Bersinar-sinar mata hazel Mahfuz.
"Walid tak pernah tipu adik, kan? Tipu tu berdosa. "
Terus Mahfuz tersenyum sendiri. Dia meringankan tubuh untuk duduk bersila di sebelah ayahnya. Meja kayu seakan rehal diberikan kepada Mahfuz sebelum sebuah buku nipis menjadi tatapan dua beranak itu. Sudut bacaan khas mempunyai almari buku setinggi siling. Pelbagai koleksi kitan ada di situ, malah jilidnya disusun kemas sekali bagi memudahkan orang yang mahu menelaah nanti.
" Adik tahu rukun solat ada berapa?"
" Tak," jujur Mahfuz. Tulisan arab di atas buku itu cuba difahami terlebih dahulu.
"Semalam ummi dah ajar tentang syarat sah solat, kan? Hari ni kita akan belajar tentang rukun solat pula." Sudah menjadi tugas Puan Munirah untuk mengajar Mahfuz semasa ketiadaan suaminya di rumah. Ustaz Khairi ada atau tiada di rumah, sama sahaja. Mahfuz akan mempelajari seringkas-ringkas ilmu setiap hari.
"Em, lain ke?"
"Rukun solat ialah sebahagian daripada solat. Tanpanya amalan solat tidak sah. Sebagai contoh, rukuk. Syarat sah solat pula ialah bukan sebahagian daripada solat. Namun, solat juga tidak akan sah tanpanya. Contohnya ialah wuduk. Jelas?"
"Tak." Berkerut-kerut dahi Mahfuz. Sel-sel otak tujuh tahun cuba untuk berhubung sesama sendiri.
"Tak apa, adik akan faham bila besar nanti. Walid cuba fahamkan apa yang adik mampu dulu."
Share this novel