Chapter 3

Short Story Completed 12567

KERETA ATUK

Radhi duduk termenung di bawah pohon rendang di hadapan rumah arwah atuknya. Angin bertiup sesepoi bahasa. Matahari bersinar galak menambah haba. Sekalipun bumi semakin panas, Radhi masih tetap melepak di bawah pohon beralaskan tikar mengkuang dengan secawan kopi pekat.

Radhi tarik nafas. Hembus. Baru sahaja minggu lepas dia berjumpa dengan atuknya dan semalam, orang tua itu telah pergi menghadap Ilahi. Doktor kata arwah atuknya menghidap sakit jantung.

Haih, entahlah. Radhi tidak punya hak mahu mempersoal kematian. Itu semua kerja Tuhan. Hatinya kini sangat merindui arwah atuknya.

Sungguh, sejak kecil lagi Radhi merupakan cucu yang paling rapat dengan arwah atuknya. Hubungan mereka berdua terlalu erat mengalahkan anak dan bapa.

"Atuk takkan tinggalkan cucu atuk, atuk janji."

"Habistu kalau ajal atuk dah sampai?"

"Atuk akan kembali untuk cucu atuk. Atuk janji."

Lamunan Radhi hancur berkecai apabila angin bertiup kencang secara tiba-tiba. Radhi angkat cawan dan hantar letak di sinki dapur.

Radhi kemudiannya pergi ke garaj. Radhi melangkah masuk ke dalam garaj. Petik suis. Nyala.

Bau hamis dan hapak menusuk hidung. Radhi kemudiannya berjalan merapati kereta Proton Saga merah arwah atuknya. Radhi buka pintu penumpang.

"Ergh!" Ketat. Radhi tarik lagi kuat.

Pintu terbuka. Habuk berterbangan. Radhi gosok hidung. Dia kemudiannya masuk ke dalam perut kereta.

Radhi baring beralaskan lengan.

"Atuk, Radhi rindukan atuk." Gumam Radhi.

"Atuk akan kembali untuk cucu atuk. Atuk janji."

Beberapa minit kemudian, Radhi terlelap.

***

Buk!

Radhi terjaga daripada tidur. Matanya digosok perlahan. Radhi bangun daripada berbaring.

Radhi lontar pandangan ke luar tingkap. Hutan. Gelap. Radhi tersentak. Kini baru dia perasan. Dia kini bukan di dalam garaj.

Radhi pandang depan. Jantung mula mengepam laju. Peluh mula membasahi seluruh tubuh ramping Radhi. Bibirnya menggigil. Liurnya diteguk. Kelat.

Radhi lihat arwah atuknya sedang memandu kereta!!!

Arwah atuknya itu lengkap berkafan kusam. Bau tanah kuat. Radhi menggigil ketakutan. Kain kafan itu terkoyak di bahagian dada dan daripada situ Radhi dapat lihat tangan arwah atuknya sedang memegang stereng.

Radhi dapat rasakan tubuhnya semakin sejuk. Nafasnya semakin perlahan. Kereta tersebut dipandu perlahan oleh arwah atuknya!!

Radhi cucu atuk dah bangun?

Radhi hampir-hampir menjerit. Suara arwah atuknya itu garau. Kasar.

Radhi tidak jawab pertanyaan yang diberi. Dia pilih untuk kekal membisu.

Kenapa diam? Takut ke?

Radhi mula mengerekot. Kelopak matanya kini berkolam air mata. Hanya tunggu masa untuk dia menangis. Dia kini diulit ketakutan. Mustahil arwah atuknya boleh kembali hidup.

Malam ni, Radhi teman atuk yer? Atuk sunyi sorang-sorang. Atuk sayang Radhi.

Radhi lihat papan tanda.

Tanah Perkuburan Islam.

100 Meter.

Radhi tersentak. Seluruh badannya lemah.

Kan atuk dah janji, atuk akan kembali untuk cucu atuk.

Radhi menjerit semahu-mahunya. Air matanya deras mengalir.

Arwah atuknya berpaling.

Shhhh...

Mulut Radhi diterkup kasar. Radhi meronta-ronta sebelum akhirnya dia mati.

***

Don menangis. Mayat anaknya didukung keluar daripada kereta arwah ayahnya. Mayat Radhi yang kebiruan itu dibaringkan di atas lantai.

Don hairan. Semalam dilihatnya kereta itu tiada di dalam garaj. Fikirnya si Don kereta itu diambil oleh jiran sebelah rumahnya seperti yang diminta semalam. Don menyesal. Menyesal kerana tidak dicarinya Radhi. Don fikir Radhi pergi ke rumah kawan.

"Maa..af..kan a..ayah," Don mengusap pipi Radhi.

Don bangun mahu capai telefon rumah apabila secara tiba-tiba dia perasan sesuatu. Di atas kerusi pemandu dan di stereng kereta, ada cebisan tanah merah.

Don kembali semula melihat mayat anaknya. Ada bekas tapak tangan di mulut mayat anaknya.

"A...a...ay..ayah?" Don menggigil ketakutan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience