WAJAH gadis yang memakai persalinan putih itu ditatap sayu. Jika tidak memikirkan hubungan baiknya dengan keluarga Darin, Iman tak akan di sini hari ini.
Mana mungkin dia sanggup datang ke majlis pernikahan orang yang dia sayang. Tapi memikirkan kebaikan keluarga Darin padanya, Iman paksakan juga diri hadir hari ini.
“Tahniah Darin,” ucap Iman. Matanya tak lepas daripada memandang Darin. Cantik sungguh gadis itu hari ini. Andai saja pengantin lelakinya adalah Iman... Tentu dia orang yang paling bahagia saat ini.
Darin senyum. Akhirnya dapat juga dia bertemu dengan Iman. Entah kenapa susah sangat nak berjumpa dengan lelaki itu sebelum ni.
“Terima kasih abang. Terima kasih juga sebab datang hari ni,” balas Darin. Sebenarnya dia juga mengharapkan Iman akan datang hari ini. Lelaki yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri itu perlu ada bersama di hari bahagianya.
“Darin cantik sangat hari ni.”
Darin ketawa. “Hari ni je ke Darin cantik? Sebelum-sebelum ni tak cantik?” selorohnya.
Iman turut ketawa sama. “Hari-hari Darin cantik. Cuma hari ni extra sikit sebab seri pengantin baru.”
“Darin, jadi isteri yang baik ya. Abang doakan semoga rumah tangga Darin kekal sehingga ke syurga.”
Darin senyum sambil mengangguk perlahan. Dia sendiri tak pasti bagaimana rumah tangganya bersama dengan Zareed nanti. Buat masa sekarang dia malas nak fikirkan tentang hal itu. Darin hanya mengikut takdir yang sudah disusun atur untuknya.
Jika ini yang terbaik...
MATA melingas mencari figura lelaki itu. Sebentar sahaja lagi mereka akan dinikahkan di sebuah hotel lima bintang. Majlis resepsinya pula akan diadakan malam nanti. Untuk majlis pernikahan, mereka buat secara tertutup dan hanya dihadiri oleh saudara terdekat sahaja.
“Cari apa?”
Langkah Darin terhenti. Dia menoleh ke arah pemilik suara itu.
Zareed.
“I cari you,” balas Darin.
“Kenapa?” Zareed jungkit keningnya memandang Darin.
“Reed, you betul-betul nak teruskan perkahwinan ni ke? You masih ada masa untuk batalkan kalau you tak nak teruskan.”
Zareed ketawa sinis. Kepalanya digeleng-geleng perlahan.
“I atau you yang nak batalkan perkahwinan ni?” soal Zareed kembali.
Zareed nampak semuanya tadi. Dia nampak Darin bergelak sakan dengan lelaki yang bersama dengan Darin di hospital tempoh hari. Entah apa agaknya hubungan Darin dengan lelaki itu.
“Reed... I tak nak you menyesal...”
“I dah lama dah pun menyesal. I menyesal kenal dengan you,” pintas Zareed.
“Tapi kalau I menyesal pun, I tak akan dapat ubah apa-apa. Jadi, teruskan je lah walaupun I dah tak ada perasaan langsung pada you.”
Mendengar itu, tubir mata Darin terasa hangat. Bibir diketap kuat. Sedaya-upaya ditahan agar air mata yang sudah bertakung di tubir mata tidak jatuh.
“Reed...”
“I tak nak you letakkan apa-apa harapan pada perkahwinan ni. Sampai masa, I sendiri yang akan lepaskan you.”
Darin hilang diksi. Sudahnya dia hanya mampu diam. Tak mampu lagi nak berbalas kata dengan Zareed.
Senyuman sinis dilayang
“Lah, kat sini rupanya bakal pengantin ni. Cepatlah masuk. Semua orang dah tunggu tu.” Zaleen, kakak Zareed datang menghampiri mereka berdua.
Darin senyum pada wanita itu sebelum melangkah pergi daripada situ. Nasib baiklah Zaleen datang memanggil mereka. Jika tidak entah apa lagi kata-kata yang menyakitkan hati Darin bakal keluar daripada bibir Zareed.
“Borak apa tadi?” soal Zaleen pada adiknya itu.
Zareed hanya angkat bahu.
“Dah nak kahwin, jangan buat perangai. Dah hafal belum nama bakal isteri Reed? Jangan sampai kena lafaz akad berkali-kali pula kejap lagi.”
Zareed mencebikkan bibirnya. Sejak lima tahun lepas dia dah hafal nama penuh Darin. Dan sampai ke hari ini dia masih ingat sebaris nama itu.
“Dah, jomlah.” Zaleen tarik tangan Zareed masuk ke ballroom hotel. Majlis akad nikah bakal berlangsung sebentar saja lagi.
DENGAN sekali lafaz, Darin sah menjadi isteri kepada Zareed. Malam ini akan berlangsungnya majlis resepsi mereka bagi kedua-dua belah pihak.
Pada awalnya keluarga mereka mahu mengadakan dua majlis resepsi. Satu di pihak lelaki dan satu lagi di pihak perempuan. Tetapi Darin dan Zareed memutuskan untuk mengadakan satu majlis resepsi sahaja bagi kedua-dua belah pihak.
Darin sudah siap menyarung gaun pengantin. Wajahnya disolek cantik oleh seorang jurumekap terkenal tanah air. Darin tak perlu solekan yang tebal. Sedikit sentuhan jurumekap sudah cukup menaikkan seri wajahnya.
Zareed melangkah masuk ke dalam bilik hotel. Bilik di mana Darin bersiap tadi. Melangkah saja ke dalam bilik itu, pandangannya terhala ke arah Darin yang sedang duduk di birai katil. Isterinya itu sendirian di bilik. Jurumekap tadi baru saja keluar meninggalkan bilik.
Zareed menutup rapat pintu bilik. Tanpa sepatah kata, selangkah demi selangkah dia menghampiri Darin. Matanya masih tak lepas daripada memandang Darin.
Cantik. Wajah Darin yang sudah sedia cantik itu semakin bertambah-tambah cantik selepas disolek.
“Reed...” seru Darin perlahan. Darin balas kembali tatapan mata Zareed.
Renungan itu. Zareed benci renungan mata itu! Penuh dengan kepura-puraan.
“You nak makan dulu sebelum majlis mula?” tawar Darin. Dia bangun daripada duduknya.
Zareed diam. Soalan Darin dibiarkan sepi.
Melihat Zareed diam, Darin terus bergerak ke dapur kecil yang ada di dalam bilik hotel itu. Tadi dia sempat memesan makanan. Tahu sekejap lagi mereka akan sibuk melayan tetamu dan tidak sempat untuk makan. Jadi lebih baik isi perut dulu.
“Makanlah dulu,” pelawa Darin. Pinggan yang berisi nasi goreng pataya dibawa ke meja makan.
Zareed bergerak ke arah meja makan. “Apa yang you cuba buat?”
Gerakan tangan Darin terhenti. Dia panggung kepala memandang Zareed. Dahinya berkerut sedikit. “Apa I buat? Hidangkan makan untuk you,” balasnya tenang.
Zareed berdecit perlahan. “Cuba nak ambil semula hati I?”
“You fikir macam tu ke?” soal Darin kembali.
“Dengar sini baik-baik Darin, kalau you fikir you boleh ambil hati I semula, you silap. I tak akan jatuh lagi pada penipuan you.”
Darin menghela nafas perlahan. “I tak buat apa-apa pun. I cuma ajak you makan. Kalau you tak nak berlapar sekejap lagi, makanlah. Suit yourself Encik Zareed.” Darin sudah letih.
Entah kenapa Zareed tak sudah-sudah nak cari masalah dengannya. Betul lah orang kata, bila hati sudah benci semua benda nampak tak kena di matanya.
“Once a cheater, always a cheater.”
Darin terdiam. Dia tersenyum kelat menutupi rasa hatinya. Entah berapa kali hatinya ditikam tanpa belas oleh lelaki di hadapannya itu.
“Kesilapan yang paling besar I pernah buat dalam hidup I ialah bila I buka ruang hati I untuk perempuan macam you,” ujar Zareed lagi bersama tatapan tajamnya.
Dulu tatapan itu penuh dengan rasa cinta tapi kini hanya terbias dengan rasa benci yang menggunung.
“Kalau I boleh ulang masa...”
“Tapi you tak boleh Darin Arleena,” pintas Zareed sebelum sempat Darin menghabiskan ayatnya.
“Ya, I tak boleh,” jawab Darin perlahan. Suaranya antara dengar dan tidak saja.
“Disebabkan masa tak boleh diulang lagi, I nak you rasa semua penderitaan yang you bagi pada I. I nak you rasakan semua kesakitan yang I rasakan selama ni.”
“Biar kita sama-sama rasa sakit,” sambungnya lagi.
Mata Darin terpejam seketika. Tidakkah Zareed tahu yang selama ini dia juga menderita sama?
Mungkin bukan hari ini. Mungkin nanti.
Mungkin suatu hari nanti Zareed akan mengerti. Zareed akan tahu betapa hancur hatinya selepas Zareed melangkah pergi daripada kehidupannya.
Dan semoga hari itu akan tiba...
Finally dah kahwin...
Share this novel