“PERNAH.”
“Tak pernah.”
“Pernah ke tak pernah ni?” soal Puan Sri Naema hairan. Jawapan mereka tak sama. Seorang jawab pernah. Seorang lagi jawab tak pernah. Mana satu ni?
Darin angkat wajah memandang Zareed. Hanya ALLAH yang tahu apa yang dia rasakan ketika ini.
Tak pernah? Zareed cakap mereka tak pernah berjumpa langsung? Lalu bagaimana dengan kisah cinta mereka yang pernah tercipta?
“Reed tak pernah jumpa Darin,” balas Zareed.
“Darin pernah terserempak dengan Reed ke?” soal Datin Marlia pula.
“Rasa macam pernah.” Darin tersenyum kelat menutupi rasa hatinya. Kalau dah Zareed jawab begitu, takkan dia nak beria-ia cakap mereka pernah kenal pula.
“Ya lah, mungkin pernah terserempak. Lagipun dah lima tahun kan. Manalah nak ingat,” ujar Puan Sri Naema.
Tak. Darin tak pernah lupa langsung. Darin masih ingat semuanya.
“Rasanya makanan dah siap hidang tu. Jomlah kita makan,” ajak Datin Marlia.
Datin Marlia dan Puan Sri Naema bangun terlebih dahulu dan meninggalkan ruang tamu. Darin turut bangun tapi baru dia nak melangkah pergi, suara Zareed membuatkan langkahnya terhenti.
“Masih berani mengaku yang kita pernah berjumpa lepas apa yang you dah buat?” Sinis ayatnya kedengaran.
Darin mengetap kuat bibirnya. Dia memusingkan tubuhnya menghadap Zareed.
“Sekurang-kurangnya I jujur.”
Zareed ketawa sinis. “Jujur? Baru sekarang nak jujur?”
“Reed, jangan mula. I tak nak bergaduh dengan you.”
“Tapi you yang mulakan semuanya,” bidas Zareed kembali.
“I pun tak pernah minta kita dipertemukan kembali. Lebih baik kita tak jumpa langsung.”
Zap! Tersentap hati Zareed mendengar balasan Darin. Dia bangun daripada sofa. Selangkah demi selangkah dia menghampiri Darin. Sehinggalah jarak mereka benar-benar dekat saat ini.
Dia merenung dalam-dalam mata berwarna hazel itu. Dulu, mata ini mampu meluruhkan hatinya. Tapi sekarang setiap kali menatap sepasang mata ini hatinya jadi panas.
Tak sanggup ditatap begitu, Darin angkat kaki mahu beredar tapi Zareed lebih pantas menarik pergelangan tangannya membuatkan tubuhnya terdorong ke dada lelaki itu.
“Reed...” Dada Darin rasa nak pecah sekarang ni. Jarak mereka begitu dekat sehingga dia dapat merasai hembusan nafas lelaki itu. Dia cuba melarikan diri tetapi pegangan Zareed begitu kuat.
Zareed terdiam. Tubuhnya terasa melemah apabila suara gadis itu menampar gegendang telinganya. Suara itu... Menenangkan hatinya. Dia rindu ingin mendengar suara itu memanggil namanya.
“Darin! Reed! Mari makan.” Suara Datin Marlia kedengaran.
Darin terus merentap tangannya yang dipegang Zareed lalu cepat-cepat beredar daripada situ.
Zareed menghela nafas berat. Wajahnya diraup perlahan. Detak jantungnya berdegup kencang.
Darin... Kenapa kau muncul semula? Kenapa kau muncul semula bila aku dah mula selesa hidup tanpa kau? Kenapa? Kenapa kau buat jantung aku berdegup kencang lagi?
“DARIN tu... Cantik kan?” Puan Sri Naema menjeling sekilas ke arah Zareed yang sedang memandu itu.
“Hmm... Biasa je,” balas Zareed bersahaja. Ya ke biasa? Kalau biasa takkanlah dia jatuh cinta dekat Darin dulu. Jatuh cinta pandang pertama pula tu.
“Mummy berkenan betul dengan Darin tu. Baik budaknya. Reed rasa dia dah berpunya ke belum?”
Zareed angkat bahu. Sebenarnya dia juga tertanya-tanya. Adakah Darin sudah menemui penggantinya? Ah, dah lima tahun berlalu Zareed. Sudah tentulah sudah ada yang menggantikan tempatnya dahulu.
Lagipun gadis macam Darin, tak susah untuk mencari lelaki lain. Entah-entah sudah ramai yang menjadi mangsa Darin.
“Kalau Darin jadi tu jadi menantu mummy mesti seronok kan?” Puan Sri Naema saja mahu melihat reaksi Zareed.
Zareed hanya tertawa. Tawa yang dibuat-buat. Tak tahu nak respons apa.
“Sudahlah tu mummy... Semua perempuan yang mummy kenal mummy harap jadi menantu mummy.”
Puan Sri Naema mencebikkan bibirnya. Eleh, nak perli kita pula.
“Reed lah, siapa suruh tak kahwin-kahwin lagi?”
Zareed menghela nafas perlahan. “Belum ada jodoh.”
“Belum ada jodoh ke, Reed yang tolak jodoh?” bidas Puan Sri Naema kembali.
Kali ini Zareed hanya diam. Kalau dia lawan lagi nanti dia juga yang kena. Jadi ada baiknya dia diam saja.
DARIN langsung masuk ke dalam bilik selepas Puan Sri Naema dan Zareed pulang. Pintu biliknya ditutup rapat kemudian dia bersandar di dinding pintu.
Dadanya dipegang. Jantungnya rasa macam nak melompat keluar. Ah, Zareed benar-benar buat dia gila!
Masih terbayang-bayang renungan tajam lelaki itu tadi. Tapi dalam masa yang sama sebenarnya Darin senang kerana dapat bertemu dengan lelaki itu lagi.
“Masih berani mengaku yang kita pernah berjumpa lepas apa yang you dah buat?”
Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata sinis Zareed tadi. Hatinya jadi sayu mengenangkan hal itu. Sampai sekarang kebenaran masih belum terungkap dan dia terus dipersalahkan atas kesalahan yang dia sendiri tidak pernah lakukan.
Kalaulah Zareed tahu yang dia hanya mangsa, bagaimana agaknya reaksi lelaki itu?
Keluhan berat terlepas daripada bibir Darin. Mata dipejam sesaat. Cuba memadamkan segala memori yang menyakitkan itu. Setiap kali memori itu terlayar kembali di fikirannya, setiap kali itulah hatinya sakit bagai ditikam tanpa belas.
KERETA yang dipandu Zareed berhenti di hadapan rumah sewa Misha. Tadi dia dapat panggilan daripada gadis itu. Katanya dia terjatuh di bilik air dan kakinya terseliuh. Terpaksalah Zareed datang ke sini untuk membantunya.
Telefon bimbit yang diletakkan di tempat duduk penumpang dicapai. Dia mendail nombor telefon Misha. Tak sampai beberapa detik, panggilannya sudah dijawab.
“I dah sampai.”
“I tak boleh nak jalan Reed...”
Zareed menghela nafas kasar. Kalau dia tak fikirkan Misha tu anak yatim piatu, tak kuasa dia nak datang ke sini membantu gadis itu. Mengenangkan Misha tiada keluarga, mahu tak mahu terpaksalah dia datang membantu gadis itu.
“Tunggu sekejap.” Lambat-lambat Zareed turun daripada kereta.
Pagar rumah Misha dibuka sebelum dia melangkah masuk ke dalam. Sebaik pintu dibuka, dia melihat Misha sedang duduk di atas sofa.
“You cakap you tak boleh nak jalan. Macam mana you keluar daripada bilik air?” soal Zareed.
“I merangkak,” balas Misha sambil tayang muka kesian.
“Jom cepat,” gesa Zareed.
“You tak nak tolong I jalan ke?” soal Misha. Keras hati betul mamat seorang ni tau.
“You merangkaklah masuk kereta. Takkan I nak dukung you pula,” balas Zareed dengan muka selambanya.
“Reed!” Mencerlung mata Misha. Sampai hati! Ada ke patut Zareed nak dia merangkak masuk kereta. Tak masuk akal langsung!
“Sakit sangat ke kaki you tu?” soal Zareed.
Misha mengangguk. Tubir mata sudah bergenang. Taklah sakit manapun sebenarnya tapi disebabkan dia mahu menarik perhatian lelaki itu, terpaksalah dia berpura-pura.
“I bawa you pergi hospital terus,” putus Zareed. Dia terus mencempung tubuh Misha.
Misha telan liur. Pergi hospital? Agak-agaklah oi! Mahu doktor dan jururawat di sana ketawakan dia nanti.
ZAREED tak main-main bila dia kata dia mahu membawa Misha ke hospital. Dia betul-betul memandu keretanya menuju ke hospital berdekatan.
“Reed, janganlah. Bawa I pergi klinik je.” Misha sudah tidak senang duduk.
Zareed langsung tak mempedulikan gadis itu. Kereta yang dipandu sudah memasuki tempat parkir hospital.
Majestic Medical Centre.
Terpampang papan tanda besar nama hospital itu. Zareed baru teringat, kalau tak silap dia, inilah hospital milik keluarga Darin.
Sejujurnya dia tidak pernah tahu gadis itu lahir daripada keluarga bangsawan. Darin tidak pernah bercerita tentang keluarganya. Begitu juga dengannya. Dia juga tidak pernah memberitahu gadis itu yang ayahnya mempunyai syarikat sendiri.
Bila Zareed dah turun daripada kereta, Misha semakin tak senang duduk. Ah, Zareed memang betul-betul gila!
Zareed buka pintu tempat duduk sebelah pemandu. Tanpa sepatah kata, dia terus mencempung tubuh Misha.
“Reed...” rayunya dengan suara manja.
Zareed hanya buat tidak tahu. Sikit pun tak terkesan. Dia terus membawa Misha masuk ke dalam bangunan hospital. Nak main-main sangat dengan dia kan, haa rasakan!
Tapi langkah Zareed langsung terhenti saat melihat figura di hadapannya.
Darin.
Mereka saling beradu pandang tanpa sepatah bicara.
“Kenapa you stop Reed?” soal Misha hairan. Pandangan dialihkan pada gadis di hadapannya. Kejap, rasanya mereka macam pernah berjumpa sebelum ini.
Zareed diam. Soalan Misha sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dia masih lagi menatap wajah Darin.
“Darin.” Seorang lelaki datang menghampiri Darin.
Renungan Zareed semakin tajam. Siapakah lelaki itu? Apa hubungannya dengan Darin?
Happy reading!
Share this novel