DARIN mengetap kuat bibirnya. Entah kenapa mereka asyik bertembung. Melihat gadis yang berada di dalam dukungan Zareed sudah cukup buat hati Darin bagai dirobek-robek.
Sudah tentu gadis itu istimewa bagi Zareed. Darin masih ingat gadis itulah yang dia lihat bersama dengan Zareed malam itu.
“Darin, jom.” Iman datang menghampirinya.
Darin tersentak. Dia mengangguk lalu terus beredar daripada situ bersama dengan Iman. Melalui hujung matanya, dia dapat melihat jelingan tajam Zareed padanya.
“Siapa tu?” soal Misha. Dia yakin Zareed tentu kenal gadis itu. Sekarang baru dia ingat, gadis itulah yang dia jumpa pada malam majlis hari jadi Zareen.
Zareed hanya diam. Dia terus membuka langkah tanpa sepatah kata.
ZAREED melabuhkan duduknya di ruang menunggu. Wajah diraup perlahan. Terbayang-bayang di ruang mata pertemuannya dengan Darin sebentar tadi.
Apa Darin buat di hospital? Ah, ini kan hospital keluarga dia. Dia boleh datang bila-bila masa saja.
Tapi apa pula hubungan Darin dengan lelaki tadi? Zareed tak senang duduk memikirkannya. Entah mengapa hatinya jadi tak senang melihat Darin bersama dengan lelaki itu.
Adakah lelaki itu kekasih Darin? Memikirkan hakikat itu buatkan Zareed semakin tidak senang duduk. Jika benar lelaki itu adalah kekasih Darin, ini tidak adil buatnya.
Ya, tak adil. Bagaimana Darin boleh baik-baik saja selepas apa yang gadis itu sudah lakukan padanya? Bagaimana Darin senang-senang saja mencari penggantinya sedangkan dia di sini masih berusaha untuk menyembuhkan sakit yang telah Darin berikan padanya?
Lima tahun memang satu tempoh yang lama tapi sehingga ke hari ini Zareed tak mampu untuk mencari pengganti Darin. Jangankan cari pengganti, nak melupakan Darin sepenuhnya pun dia masih belum mampu.
Keluhan kasar terlepas daripada bibir. Zareed bangun daripada duduknya. Dia terus berlalu keluar daripada bangunan hospital itu. Pandai-pandailah Misha balik sendiri nanti. Lagipun kecederaan di kakinya bukan teruk mana.
ALISNYA berkerut memandang Darin. Sedari tadi gadis itu termenung sambil mengacau-ngacau air di dalam gelas menggunakan straw.
“Darin.”
Diam.
“Darin.” Kali ini Iman memanggilnya dengan lebih kuat.
Darin tersentak daripada lamunannya. Dia terus pandang muka Iman. "Ya? Abang cakap apa tadi?"
Iman menggeleng perlahan. “Abang tak ada cakap apa-apa pun.”
“Oh...” Darin termalu sendiri. Dia menyedut sedikit air di dalam gelas.
“Darin okey?” soal Iman risau. Rasa macam ada yang tak kena dengan gadis itu. Tak pernah-pernah dia tengok Darin mengelamun.
“Darin okey,” balas Darin. Duduk dibetulkan. Matanya meliar memerhati pelanggan yang ada di dalam restoran itu.
“Siapa lelaki tadi tu?”
Soalan Iman buatkan tubuh Darin mengeras. Sudah tentu lelaki yang dimaksudkan Iman ialah Zareed.
“Lelaki yang mana?” soal Darin kembali. Saja berpura-pura tidak mengerti.
“Lelaki yang dekat hospital tadi tu. Darin kenal dia?”
Darin jeda seketika. Lambat-lambat dia mengangguk.
“Dia... Dia lelaki yang Darin pernah ceritakan pada abang sebelum ni.”
Kali ini Iman yang terdiam. Jadi lelaki itu masih wujud? Darin sudah berjumpa kembali dengan lelaki itu? Selama ini dia tertanya-tanya siapakah lelaki yang begitu beruntung itu kerana dapat memenangi hati Darin. Tapi sayang, lelaki itu tidak pandai menghargai. Cinta yang Darin hulurkan, dia sia-siakannya!
“Ini bukan pertemuan pertama kami.”
“Maksud Darin? Darin pernah jumpa dia sebelum ni?”
Darin mengangguk. “Darin baru tahu mummy dia kawan baik mama.”
Kali ini Iman yang terdiam. Siapa sangka lelaki yang selama ini Darin ceritakan adalah anak kepada kawan baik Datin Marlia sendiri. Kecil betul dunia ni.
“Selama ni Darin tak tahu?” soal Iman.
Darin menggeleng perlahan. Rasanya kalau malam itu dia tidak mengikut Datin Marlia ke majlis ulang tahun kelahiran Zareen, sampai ke hari ini dia tak tahu Zareed itu rupanya anak kepada kenalan mamanya sendiri.
“Dia masih bencikan Darin,” ujar Darin perlahan. Suaranya kedengaran sayu seperti sedang menahan sesak di dada.
“Darin...” Iman hilang diksi. Lihat daripada cara Darin menatap Zareed tadi, Iman yakin gadis itu masih mengharapkan cinta lelaki itu.
Iman lihat semuanya. Dia lihat betapa hancurnya Darin tika itu. Selepas Darin menamatkan pengajiannya di UK, gadis itu terus kembali ke Malaysia.
Waktu itu Iman kerap datang ke rumah keluarga Darin. Lagipun Dato' Nordin dan Datin Marlia sudah menganggapnya seperti anak sendiri dan waktu itulah dia berkenalan dengan Darin. Hubungan mereka mula menjadi rapat sampailah sekarang.
Darin luahkan semuanya pada dia. Baru Iman tahu mengapa selama ini Darin banyak diam dan lebih suka menyendiri. Hati gadis itu hancur lumat dikerjakan Zareed.
“Dah lah, Darin tak nak cakap pasal hal ni lagi.” Darin tersenyum kecil menutup rasa di hati.
Iman mengangguk kecil. Dia menghormati permintaan Darin.
“Lepas ni kita pergi tengok wayang nak tak?” ajak Iman. Dia cuba menceriakan suasana. Tidak mahu Darin terus larut dalam kesedihan.
Darin hanya mengangguk setuju. Dia cuba membuang jauh-jauh bayangan Zareed daripada fikirannya. Tiada guna lagi dia terus mengingati lelaki itu.
PEN yang berada di tangannya diketuk-ketuk perlahan di atas meja. Fikirannya jauh melayang teringatkan gadis itu.
Entah kenapa sejak pertemuannya dengan Darin di hospital tempoh hari, dia asyik teringatkan gadis itu. Macam-macam cara dia cuba lakukan supaya dia tidak fikirkan Darin tapi tetap saja wajah gadis itu singgah di mindanya.
“Bos!” Pintu biliknya dibuka kasar daripada luar.
Zareed tersentak. Hampir tercampak pen yang berada di tangannya gara-gara terkejut. Tak guna punya Karim!
“Kau tak reti ketuk pintu dulu ke Karim?" sergah Zareed geram.
Karim hanya tersengih-sengih memandang bosnya itu. Alah... Macamlah tak biasa kena marah dengan Zareed.
“Sorry bos.”
Zareed mendengus geram. “Nasib baik aku ni tak ada sakit jantung. Kalau tak...”
“Kalau tak, bos dah kembali ke rahmatullah,” pintas Karim.
Mencerlung mata Zareed memandang setiausahanya itu. “Kau...” Jari telunjuknya dihalakan tepat ke wajah Karim.
Karim macam biasalah, tersengih-sengih dia pandang Zareed. Tak rasa bersalah langsung.
“Gurau je lah bos.”
“Banyaklah kau punya gurau. Kau memang suka kalau aku mati cepat kan?”
Karim tergelak. Entah kenapa sensitif sangat majikannya itu hari ini.
“Bos ni tengah datang bulan ke?” Tanpa rasa bersalah Karim bertanya. Memang cari nahas namanya.
“Sekali lagi kau buka mulut, aku sumbat kertas kerja ni dalam mulut kau.”
“Janganlah macam tu bos. Saya gurau je.”
Zareed menghela nafas berat. Penat juga nak melayan karenah si Karim ni. Tapi disebabkan dia selesa bekerja dengan Karim, dia layankan je lah. Diam tak diam sudah tiga tahun juga Karim menjadi pembantu peribadinya.
“Bos okey ke? Nampak macam ada masalah je,” soal Karim prihatin.
Zareed mengeluh perlahan. "Karim, kalau kau jumpa semula ex girlfriend kau, apa yang kau buat?"
Karim garu kepalanya yang tidak gatal. Jadi hal inilah yang buatkan lelaki itu mengelamun sepanjang hari.
“Saya ni mana pernah bercinta bos. Jangan kata ex girlfriend, girlfriend pun tak pernah ada.”
Zareed ketap bibir. Silaplah dia pergi tanya soalan tu dekat Karim. Biar betul si Karim ni tak pernah bercinta sepanjang hidup dia?
Ah Zareed, jangan nak cakap orang sangatlah. Kau pun baru sekali je ada hubungan yang betul-betul serius.
Selepas kecewa dikhianati Darin, Zareed sudah tidak mempercayai cinta lagi. Ya, dia memang ada menjalinkan hubungan dengan beberapa orang gadis selepas itu tapi dia tidak pernah serius dengan hubungan itu seperti mana seriusnya hubungan dia dan Darin dahulu.
Termasuklah hubungannya dengan Misha. Dia hanya suka-suka. Tak ada niat mahu melangkah lebih jauh bersama gadis itu.
“Bos masih sayang ya dekat ex girlfriend bos tu?” tebak Karim sambil tersengih-sengih menayang barisan giginya itu.
Zareed terdiam seketika. Sayang? Adakah dia masih sayang pada Darin? Tak! Perasaan itu sudah lama mati!
Tanpa menunggu lama, Zareed terus mencapai telefon bimbitnya. Dia mendail nombor Puan Sri Naema. Tak sampai beberapa detik, panggilannya sudah dijawab.
“Ya Reed, ada apa?” soal wanita itu di hujung talian.
“Mummy nak Reed kahwin kan?”
Karim tergamam. Biar betul bos aku ni? Dia nak kahwin dah ke?
Share this novel