Bab 1

Romance Series 108418

SELEPAS memarkir keretanya, Darin berjalan kaki menuju ke butik. Bibirnya terkumat-kamit merungut kerana terpaksa berjalan agak jauh. Nak buat macam mana, parking berhampiran kawasan butik semuanya sudah penuh.

Kalau tak disebabkan Datin Marlia yang minta dia datang ke sini, jangan haraplah dia nak datang. Darin bukannya suka pergi ke tempat-tempat yang sesak begini.

Datin Marlia memintanya untuk mengambil baju tempahannya di butik. Sebagai anak yang menurut perintah, di sinilah Darin tengah hari ini.

Melangkah saja masuk ke dalam butik, Darin disambut mesra oleh pekerja butik itu. Rasanya pekerja butik itu pun dah kenal dia. Datin Marlia selalu heret Darin ke sini setiap kali dia mahu menempah pakaian.

“Apa khabar Cik Darin?” sapa pekerja butik itu mesra. Senyuman tak lekang daripada bibirnya.

“Baik. Err... Saya nak ambil baju atas nama Datin Marlia.”

“Cik Darin duduk dulu ya. Saya pergi ambilkan baju tempahan Datin Marlia.”

Darin mengangguk. Sementara menunggu pekerja butik itu mengambil pakaian Datin Marlia, dia melabuhkan duduknya di ruang menunggu yang disediakan.

Matanya meliar memerhati baju-baju yang tergantung di butik itu. Cantik... Secantik harganya juga!

Sorotan mata Darin terhenti pada sehelai gaun pengantin berwarna putih. Gaun pengantin itu menarik perhatiannya. Walaupun nampak ringkas saja rekaannya, tapi kelihatan elegan.

Hujung bibirnya ternaik sedikit. Agaknya dapat ke dia merasa pakai gaun pengantin itu? Entahlah. Buat masa sekarang, tak terlintas lagi dalam fikiran Darin untuk mendirikan rumah tangga. Calon pun tak ada masalahnya.

Bukannya tak ada lelaki yang berkenan dengannya tapi Darin yang awal-awal lagi sudah menolak. Pintu hatinya masih tertutup. Dan Darin belum bersedia untuk bercinta dengan mana-mana lelaki.

Datin Marlia dah mula bising. Sudahlah Darin itu satu-satunya anak yang dia ada. Darin pun bukannya muda lagi. Tahun ni dah masuk 28 tahun. Kawan-kawan sebayanya dah ramai yang berkahwin. Ada yang dah anak dah pun.

“Cik Darin?”

Darin tersentak daripada lamunannya. “Dah ready ke baju tu?” soalnya.

“Dah Cik Darin. Cik Darin boleh buat pembayaran di kaunter.”

Darin mengangguk. Dia capai tas tangannya dan seraya bangun daripada sofa. Langkah dibawa menuju ke kaunter pembayaran.

“Cik Darin berminat ke dengan gaun pengantin tadi tu?” soal pekerja butik yang bernama Aleeya itu. Sedari tadi dia perhatikan Darin. Dia nampak mata Darin tak lepas daripada memandang gaun pengantin itu.

Darin tersenyum kelat. Erk! Obvious sangat ke dia tenung gaun pengantin tu tadi sampai pekerja butik itu perasaan?

Darin menggeleng perlahan. “Tapi gaun tu cantik.”

“Kalau Cik Darin berminat, kami boleh simpankan untuk Cik Darin. Cik Darin boleh booking dulu.”

“Eh, takpa. Saya tak nak.”

Aleeya tersenyum simpul. “Gaun tu cuma ada satu je tau Cik Darin. Limited edition. Sekarang mungkin Cik Darin rasa Cik Darin tak perlukan gaun tu. Tapi masa akan datang kita tak tahu kan...”

Darin terdiam. Pandai betul pekerja butik ni nak naikkan sales dia. Beria-ia pujuk Darin untuk beli gaun itu.

“Takpalah. Mungkin gaun tu... ada pemilik yang lain nanti.” Darin mengerling sekilas ke arah gaun pengantin itu.

“Berapa ya total semuanya?” soal Darin mengubah topik. Tak mahu panjangkan lagi soal gaun pengantin itu. Bukannya dia nak kahwin dalam masa terdekat pun. Jadi tak ada gunanya pun kalau dia beli gaun pengantin itu.

“Semuanya 5 ribu ringgit.”

Nak tercekik Darin dibuatnya bila dengar harga yang disebut pekerja butik itu. Tapi itulah harga standard baju-baju di butik ini. Lagipun pelanggan butik ini terdiri daripada golongan VIP. Jadi tidak hairanlah jika mereka meletakkan harga yang tinggi. Target pembeli mereka lebih kepada golongan VIP dan VVIP saja.

Tas tangan dibuka. Darin keluarkan kad kredit lalu dihulurkan kepada pekerja itu.

“Terima kasih.” Daneen terus melangkah keluar meninggalkan butik selepas selesai membuat pembayaran.

Nafas dihela berat. Terpaksa menapak jauh menuju ke keretanya. Sudahlah cuaca panas terik.

Kaki langsung dihayun laju menuju ke keretanya. Tak tahan panas oi!

Selepas meletakkan baju milik Datin Marlia di tempat duduk belakang kereta, Darin masuk pula ke tempat duduk pemandu. Baru dia nak menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba matanya terpandangkan seorang wanita yang hampir rebah. Tapi wanita itu sempat berpaut di sebuah kereta yang terparkir di hadapan kereta Darin.

Tak sampai hati melihat wanita itu, Darin cepat-cepat turun daripada kereta lalu mendapatkan wanita itu.

“Aunty, aunty okey ke?” soalnya prihatin.

Dahi wanita itu berkerut seperti sedang menahan kesakitan. Pelipis dahinya dipicit.

“Aunty rasa macam nak pitam,” balas wanita itu.

Mata Darin melingas memerhati sekeliling. “Aunty datang seorang je ke?” soalnya lagi.

Wanita itu mengangguk.

“Saya bawa aunty ke klinik ya?” tawar Darin.

“Terima kasih,” ucap wanita itu.

Darin mengangguk seraya memapah wanita itu menuju ke keretanya. Mujurlah dia tiada urusan penting lagi selepas ini. Lagipun dia tak sampai hati nak biarkan wanita yang lebih kurang sebaya mamanya itu begitu saja.

SELEPAS membawa wanita itu ke klinik, Darin menawarkan diri untuk menghantar wanita itu pulang ke rumah terus. Lagipun takkan dia nak biarkan wanita itu pulang bersendirian.

“Maafkan aunty sebab dah susahkan Darin ya,” ujar Puan Sri Naema. Keadaannya kini sudah lebih baik berbanding tadi. Kata doktor dia hampir pitam tadi gara-gara tekanan darahnya rendah.

Darin yang sedang memandu itu menjeling sekilas ke arah wanita itu. Dia tersenyum nipis.

“Taklah. Aunty tak susahkan Darin pun.”

“Kalau Darin tak tolong aunty, tak tahulah apa yang jadi dekat aunty.”

“Kalau bukan Darin, mesti ada yang akan tolong aunty juga.”

Puan Sri Naema tersenyum kecil. Dia bersyukur dipertemukan dengan gadis itu. Kalau Darin tidak membantunya tadi, entah apa agaknya yang jadi padanya.

Kebiasaannya dia akan keluar bersama dengan pemandu peribadinya. Tapi minggu ini pemandu peribadinya mengikut suaminya bekerja di luar negeri. Sebab itulah dia keluar dengan menaiki teksi saja tadi.

DARIN terpegun seketika melihat kediaman Puan Sri Naema. Kawasan rumah banglo tiga tingkat itu sangat luas dan cantik. Pasti wanita itu bukan calang-calang orang.

“Darin, jomlah singgah minum dulu,” pelawa Puan Sri Naema.

“Err... Takpalah aunty,” tolak Darin.

“Jomlah. Sebagai tanda terima kasih aunty pada Darin. Lagipun aunty tak puas lagi nal borak dengan Darin.”

Darin serba salah. Tak sampai hati pula nak menolak. Takpalah. Singgah je lah sekejap.

“Okeylah. Darin singgah sekejap.”

Tersenyum Puan Sri Naema mendengar jawapan Darin. Sungguh dia berkenan betul dengan gadis itu. Sudahlah cantik, baik pula tu. Yang paling penting sekali, Darin masih belum berkahwin. Dia mula berangan-angan jika gadis itu menjadi menantunya, alangkah bertuahnya.

SAAT melangkah masuk ke dalam rumah agam itu, mata Darin terpaku melihat hiasan dalaman rumah wanita itu yang berkonsepkan gaya klasik daripada Eropah. Terlihat sangat mewah. Perabot yang digunakan pun bukan biasa-biasa. Rasanya semua diimport khas daripada luas negara.

“Cantiknya rumah aunty,” puji Darin.

“Tak adalah Darin. Biasa-biasa je.”

Apa aunty cakap? Biasa-biasa? Ini luar biasa namanya!

“Darin duduklah dulu. Aunty minta pembantu rumah aunty buatkan air sekejap.”

Darin menurut. Dia melabuhkan duduknya di atas sofa yang terletak bahagian tengah ruang tamu itu. Sambil itu matanya melingas memerhati bingkai gambar yang tersusun di salah satu rak yang terletak di sudut hujung ruang tamu itu.

Matanya terhenti pada bingkai gambar Puan Sri Naema sekeluarga. Wanita itu ada memberitahunya yang dia mempunyai tiga orang anak. Anak yang sulungnya sudah berkahwin.

Cantiknya... Puji Darin dalam hati saat melihat gambar anak-anak Puan Sri Naema. Wajah mereka saling tak tumpah seperti wanita itu.

Namun riak wajah Darin langsung berubah saat sorotan matanya terhenti pada gambar seorang lelaki yang turut berada di dalam gambar keluarga Puan Sri Naema.

Wajah lelaki itu mengingatkannya pada seseorang. Tak mungkin dia...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience