“KAHWIN?” Jatuh rahang Darin bila Datin Marlia tiba-tiba memberitahunya Puan Sri Naema berkenan mahu menyatukannya dengan Zareed.
Datin Marlia mengangguk. “Darin tak suka Zareed ke? Mama tengok, kau orang berdua sepadan sangat.”
Darin terdiam. Nafas dihela perlahan. Otaknya cuba menghadam apa yang sedang Datin Marlia sampaikan itu.
Andai saja Datin Marlia tahu Zareed itu bekas kekasihnya. Entah apa agaknya reaksi wanita itu.
“Darin? Darin dengar tak mama cakap ni?”
Darin mengangguk perlahan. “Mama, kahwin ni bukan hal yang main-main.”
Datin Marlia menghela nafas perlahan. “Ya, mama tahulah. Tapi sampai bila Darin nak terus membujang? Nak jadi andartu ke? Kawan-kawan sebaya Darin semuanya dah kahwin. Anak pun dah dua tiga orang. Tapi Darin? Masih nak membujang lagi?”
“Buat apa kita nak bandingkan kehidupan kita dengan orang lain? Semua orang ada jalan masing-masing.”
“Darin, mama ni cuma nak tengok Darin happy je. Selama ni mama tak pernah nampak Darin bercinta. Darin tak teringin ke nak ada pasangan macam orang lain?”
Darin terdiam. Mahu. Dia juga mahu bahagia seperti pasangan yang lain. Bercinta, berkahwin, punya anak. Semua itu impian Darin. Tapi impiannya itu terkubur sebaik saja Zareed melangkah pergi daripada kehidupannya.
“Darin, dah tiba masa untuk Darin fikirkan masa depan Darin. Sebelum mama dengan papa tutup mata buat selamanya, kalau boleh kami nak tengok Darin kahwin. Sekurang-kurangnya kami tahu ada yang boleh jaga Darin kalau kami tak ada.”
“Mama...” Hati Darin mula terusik mendengar kata-kata Datin Marlia.
“Apa kata Darin cuba dulu berkawan dengan Zareed. Kenal-kenal dulu. Kalau Darin tak berkenan, tak perlu teruskan,” pujuk Datin Marlia.
Masalahnya sekarang ini Zareed itu bekas kekasihnya. Nak suruh kenal-kenal? Mereka dah lama berkenalan.
“Darin cuba dulu ya?” Datin Marlia masih tak mengalah memujuk anak tunggalnya itu. Sebelum ini tak adalah dia beria sangat nak paksa Darin berkenalan dengan mana-mana lelaki. Tapi dia berkenan dengan Zareed. Lagi-lagi Zareed itu anak kepada sahabat baiknya sendiri. Dia percaya Zareed boleh menjadi suami yang baik untuk Darin.
Darin tak tahu nak cakap apa lagi. Jauh di sudut hatinya dia masih mengharapkan cinta Zareed. Tapi bagaimana pula dengan lelaki itu? Jelas-jelas Zareed sudah membencinya. Mahukah lelaki itu berkahwin dengannya?
JARUM jam sudah menunjukkan tepat pukul lima petang. Darin mula mengemas meja kerjanya. Waktu kerjanya sudah tamat.
Deringan telefon bimbitnya menghentikan pergerakan Darin. Tanpa melihat nama pemanggil, dia terus menjawab panggilan itu.
“Hello...”
“Darin Arleena.”
Darin kejung saat suara garau itu menampar gegendang telinganya. Hampir terlepas telefon bimbit di tangannya. Dadanya terasa sesak.
Dia kenal suara itu.
Tapi... Tapi macam mana lelaki itu boleh menghubunginya?
“Reed...” Tak terkeluar suara Darin saat ini.
“You masih cam suara I?” soal Zareed di hujung talian.
Jeda. Darin mengetap kuat bibirnya menahan rasa. Kalaulah Zareed tahu tak pernah sedetik pun dia lupakan lelaki itu. Semua tentang Zareed masih kekal di ingatannya.
“I nak jumpa you malam nanti. Sekejap lagi I send location.”
“Untuk apa?” Darin beranikan diri bertanya walaupun dia sudah dapat meneka kenapa Zareed tiba-tiba mengajaknya berjumpa.
“I rasa you tahu kenapa I nak jumpa you.”
Darin diam lagi. Entah kenapa suaranya seakan tersekat di kerongkong saat ini.
“Jumpa malam nanti.”
Tut! Zareed terus tamatkan panggilan.
Darin menghela nafas perlahan. Telefon bimbit digenggam kuat. Debar jantung memukul dada. Dia takut nak berhadapan dengan Zareed malam ini.
Mungkin hatinya masih belum bersedia untuk mendengar penolakan Zareed. Sudah tentu Zareed tidak setuju dengan cadangan orang tua mereka. Lelaki itu begitu bencikannya. Nak pandang wajah Darin pun Zareed sudah tidak sudi lagi, apatah lagi untuk berkahwin dengan Darin.
Memikirkan hakikat itu buatkan hati Darin jadi sebak yang teramat. Mencintai Zareed itu adalah satu hal yang sangat menyakitkan. Tapi sesakit apa pun yang Darin rasakan, hatinya tetap saja memilih Zareed. Nama lelaki itu masih terlakar kemas di hatinya.
Entah mengapa dia masih menaruh harapan sedangkan Zareed sudah mencampaknya jauh daripada kehidupan lelaki itu.
Otak sudah menerima hakikat yang kisah antara mereka sudah ternoktah lama tapi hatinya tidak...
SEPERTI yang dijanjikan, malam itu Darin datang ke lokasi seperti yang diberitahu oleh Zareed. Di sebuah restoran makanan western.
Darin menarik nafas dalam-dalam sebelum dia melangkah masuk ke dalam restoran itu. Matanya meliar mencari kelibat Zareed. Tapi lelaki itu tiada.
Puas Darin melihat satu per satu wajah yang ada di dalam restoran itu. Zareed memang tiada. Nak kata Darin salah tempat, inilah lokasi restoran yang Zareed hantar padanya.
Atau Zareed tak datang malam ini?
Sementara menunggu Zareed membalas pesanannya, Darin mengambil tempat di meja yang kosong. Tak lama kemudian datang pelayan mengambil pesanannya.
Sepuluh minit... Dua puluh minit... Hampir tiga puluh minit berlalu tapi kelibat Zareed masih tak singgah di mata. Pesanan Darin juga masih belum dibalas.
Darin teragak-agak mahu menelefon Zareed tapi disebabkan hampir empat puluh lima minit dia menunggu lelaki itu, Darin putuskan untuk menelefon Zareed terus.
Deringan hampir putus barulah panggilan dijawab.
“Takut I tak datang?”
Darin terus panggung kepalanya saat suara garau itu kedengaran sangat dekat dengannya. Rupa-rupanya Zareed sudah berdiri di hadapan mejanya.
Zareed menarik kerusi di berhadapan dengan Darin. Duduk dilabuhkan di situ.
“You lambat,” ujar Darin. Geram juga dibuatnya bila terpaksa menunggu lama. Ah, mesti Zareed sengaja nak buat dia tertunggu-tunggu. Kalau tahu jadi begini, baik dia datang lewat! Tak perlu dia tergesa-gesa datang ke sini tadi.
Hujung bibir Zareed ternaik sedikit. “Tak boleh tunggu I sekejap?” soal lelaki itu selamba.
Darin mengetap bibirnya. Setakat sejam apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan lima tahun yang dihabiskan dengan menunggu lelaki itu kembali ke dalam hidupnya. Dia bukannya tak boleh nak menunggu cuma dia dapat rasakan Zareed memang sengaja datang lambat malam ini kerana mahu mengenakannya.
“I rasa you tahu kenapa I nak jumpa you malam ni.”
“You boleh beritahu family you yang you tak nak kahwin dengan I. I tak akan paksa you untuk terima I sebagai isteri you,” balas Darin. Walaupun perit untuk menelan kenyataan yang satu itu tapi dia tiada pilihan lain. Darin tiada kuasa untuk memaksa Zareed menerimanya jika lelaki itu sudah tiada hati padanya lagi.
Zareed terdiam kemudian dia ketawa sinis. Kepala digeleng perlahan.
“Kalau bukan I, ada ke lelaki lain yang sudi terima you jadi isteri dia orang?”
Zap! Hati Darin tersiat mendengar kata-kata Zareed. Sakitnya tak terkata. Kenapa Zareed kejam sangat? Ini bukan Zareed yang dia kenal lima tahun lepas! Lelaki itu sudah jauh berubah.
“Kalau you benci I sekali pun, jangan pandang hina pada I. I masih ada harga diri,” ujar Darin tegas. Nada suaranya kedengaran bergetar menahan rasa sakit yang menjalar di segenap hati.
Zareed membetulkan duduknya. Dia sendiri tidak tahu mengapa mulutnya lancang sangat berkata begitu pada Darin.
“Kalau you tak nak kahwin dengan I, beritahu family you. It has nothing to do with me.” Darin sudah berkira-kira mahu bangun dan beredar meninggalkan restoran. Tiada guna lagi dia berada di sini. Tak sampai sepuluh minit Zareed datang, lelaki itu sudah berjaya merobek-robek hatinya dengan kata-kata yang sangat menyakitkan.
“Atau you sebenarnya yang tak nak kahwin dengan I sebab you dah ada lelaki lain?”
Darin terkedu. Tas tangan yang sudah dicapai diletakkan kembali ke atas meja.
“You know what Darin, I almost wish we never met,” ujar Zareed lagi. Dia merenung dalam-dalam wajah Darin.
“Reed... Please stop it. Kalau you benci I, jangan jumpa I lagi. Berhenti ungkit tentang masa lalu.”
Darin menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. “Anggap saja antara kita tak pernah ada apa-apa yang berlaku.”
Entah mengapa hati Zareed rasa sakit mendengar sebaris ayat itu. Apa maksud Darin? Lepas apa yang Darin buat padanya, Darin ingat dia boleh lupakan begitu saja?
Takkan dia seorang saja yang terseksa sedangkan Darin hidup tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“I tak nak habiskan sisa hidup I dengan you. Tapi I tak ada pilihan lain. I tak nak kecewakan mummy I.”
Ujaran Zareed buatkan dunia Darin terhenti seketika. Dia bungkam. Apa maksud Zareed?
Eleh, dia yang nak kahwin dengan Darin. Dia guna nama mummy dia pula ><
Share this novel
zareed &zarin.. mahu tapi malu,