DARIPADA kejauhan Zareed dapat lihat seorang gadis tersenyum kepadanya sambil melambaikan tangan. Bibirnya ikut sama tersenyum. Teragak-agak dia ingin melambai kembali.
“Flower...” gumamnya perlahan.
Tapi semakin lama gadis itu semakin hilang daripada pandangan matanya.
“Flower! Flower tunggu!” Dia langsung berlari ke arah gadis itu.
Belum sempat Zareed menghampiri gadis itu, gadis itu sudah hilang daripada pandangan matanya.
“Flower...” Langkah kakinya mati di situ. Dia tak mampu buat apa-apa. Dadanya terasa ketat. Rasa sakit menjalar ke segenap hati.
“Flower!” Zareed terjaga daripada tidurnya. Nafasnya tercungap-cungap. Peluh merenik di dahi.
Perlahan-lahan Zareed bangun daripada pembaringannya. Mimpi itu datang lagi. Entah mengapa sejak dua menjak ini dia kerap mengalami mimpi yang sama.
Gadis itu...
Dan setiap kali dia bermimpi tentang gadis itu, setiap kali itu juga hatinya bagai dirobek-robek. Sakitnya tak mampu dia jelaskan dengan kata-kata.
Nafas dihela berat. Wajahnya diraup kasar. Sudah lima tahun berlalu dan sehingga hari ini dia masih belum mampu melupakan memori lama itu.
Memori yang dia benci! Kalau boleh Zareed tidak mahu mengingati lagi hal yang menyakitkan itu.
DARIN tergesa-gesa turun ke tingkat bawah. Dia sudah terlewat untuk ke tempat kerja.
“Darin, makanlah breakfast dulu,” ujar Datin Marlia saat melihat kelibat anaknya itu.
“Dah tak sempat mama,” balasnya sambil berlalu ke arah pintu utama rumah agam mereka.
Stiletto berwarna putih yang tersusun di rak kasut dicapainya sebelum disarungkan ke kaki.
“Sebab tu lah mama nak Darin kerja dengan papa je. Kan lagi senang.”
Darin menghela nafas perlahan. Haa dah mula dah...
“Mama, kalau kerja dengan papa pun Darin makan gaji juga. Sama je.”
“Tapi kalau lambat pergi kerja, tak ada siapa yang nak marah Darin,” bidas Datin Marlia.
Darin mencebik. “Nak buat macam mana, Darin yang silap sebab bangun lewat.”
“Okeylah mama, Darin pergi dulu. Bye!” Selepas menyalami tangan Datin Marlia, Darin langsung berlalu pergi.
Datin Marlia hanya mampu geleng kepala melihat kedegilan anak tunggalnya itu. Darin itu seorang yang berpendirian tegas. Tak suka diatur hidupnya. Jadi Datin Marlia tak mampu buat apa-apa lagi.
Suaminya, Dato’ Nordin mempunyai sebuah hospital sendiri. Puas mereka memujuk Darin bekerja dengan syarikat keluarga saja tetapi Darin tetap berkeras untuk menjadi seorang arkitek.
Dan sekarang sudah hampir tiga tahun Darin bekerja sebagai arkitek di syarikat Syed & CO. Architecture. Dia lebih selesa begini. Berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan ibu bapanya.
HABIS waktu kerja, Darin tidak terus memandu pulang ke rumah. Kereta dipandu menuju ke Majestic Medical Centre.
Selepas memarkir keretanya, Darin melangkah masuk ke dalam bangunan hospital itu. Staf di hospital langsung menegurnya saat melihat kelibat Darin.
Hampir semua staf di hospital itu mengenali Darin. Siapa je yang tak kenal dengan anak tunggal Dato’ Nordin itu. Lagipun Darin kerap juga berkunjung ke sini.
“Doktor Iman!” panggilnya saat melihat figura lelaki itu. Bibirnya menguntum senyum. Inilah alasannya mengapa dia datang ke sini.
Langkah lelaki berkot putih itu terhenti saat namanya diseru.
“Darin?” Langkah diatur mendekati gadis itu.
“Hai abang!” sapa Darin ceria.
“Darin baru balik kerja ke?” soal Iman.
Darin mengangguk.
“Happy birthday abang.” Beg kertas yang dibawa bersamanya tadi langsung dihulur pada Iman.
Bibir Iman menguntum senyum. Setiap tahun, Darin tak pernah lupa. Selama tiga tahun dia mengenali gadis itu, sekali pun Darin tidak pernah lupa untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.
“Abang lupa lagi ke tahun ni?” soal Darin. Dah faham sangat dengan Iman. Tarikh hari jadi sendiri pun tak ingat! Sibuk sangat kerja agaknya.
Iman ketawa seraya menggeleng perlahan. “Tahun ni abang tak lupa. Abang memang tengah tunggu ucapan daripada Darin.”
“Eleh, ya lah tu.” Darin mencebikkan bibirnya.
“Terima kasih Darin sebab tak pernah lupa. Setiap tahun, Darin jadi yang pertama. Abang harap tahun-tahun akan datang pun, Darin tetap akan jadi orang yang pertama.” Ada makna yang tersirat di sebalik kata-katanya itu.
“Selagi Darin tak nyanyuk, Darin tak akan pernah lupa.”
Iman ketawa mendengarnya. Ke situ pula perginya. Wajah manis Darin ditatap dalam-dalam. Berbunga hatinya setiap kali berada dekat dengan gadis itu. Tapi sayang sampai sekarang dia belum berani meluahkan rasa hatinya pada Darin. Dia takut andai Darin menolak huluran cintanya.
“Darin tahu tak, staf dekat hospital ni ingat abang ni boyfriend Darin. Ya lah, Darin selalu datang sini bawa makanan untuk abang. Susah-susah je.”
Darin ketawa kecil. Memang ramai menyangka mereka berdua mempunyai hubungan istimewa. Darin kerap datang ke hospital untuk bertemu dengan Iman. Kadang-kadang bila Iman cuti, mereka berdua akan keluar bersama.
“Lepas tu abang jawab apa?” soal Darin ingin tahu.
Iman senyum. “Adalah.” Saja dia nak mengusik gadis itu.
Darin mencebikkan bibirnya. Malas nak layan!
“Okeylah abang, Darin dapat singgah sekejap je ni. Nak kena balik awal hari ni. Malam ni mama dengan papa ajak ikut diorang pergi majlis kawan mama.”
Iman mengangguk. Tak dapat jumpa lama-lama, dapat jumpa sekejap pun dah cukup mengubati rindu di hati.
“Thank you Darin untuk hadiah ni. Nanti bila abang cuti, kita keluar sama-sama.”
“Take care. Jangan lupa makan. Bye!” Usai itu Darin terus berlalu meninggalkan hospital. Dia perlu cepat tiba di rumah. Kalau lambat bersiap nanti, merah telinganya kena bebel dengan Datin Marlia.
Ikutkan hatinya dia tidak mahu mengikut ibu bapanya itu pergi ke majlis kawan mereka. Darin bukannya suka pergi ke tempat-tempat begitu. Tapi setelah didesak berkali-kali, terpaksalah Darin menurut.
“REED tak ajak Misha datang ke malam ni?”
Soalan yang meluncur keluar daripada bibir Puan Sri Naema itu buatkan Zareed mengeluh perlahan. Sudah berkali-kali dia beritahu mummynya itu yang dia dan Misha sudah tiada apa-apa hubungan lagi.
“Kami dah tak ada apa-apa mummy.”
Puan Sri Naema mencebikkan bibirnya. “Apa salahnya kalau ajak Misha pun. Mummy dah lama tak jumpa dia.”
“Kami dah tak contact lagi.” Zareed memberi alasan. Padahal hari-hari Misha menghubunginya tapi dia yang malas nak layan.
“Peliklah mummy dengan Reed ni. Susah sangat nak bercinta. Dulu elok-elok bercinta dengan Misha, Reed putus. Kalau susah sangat nak cari jodoh, biar mummy yang carikan je lah.”
Zareed menghela nafas berat. Hmm... Mula dah. Bukannya dia susah nak bercinta tapi dia sudah tidak mempercayai cinta lagi. Zareed sudah serik untuk bercinta.
“Mummy nak pergi dekat tetamu dulu. Reed pun pergilah bertegur sapa dengan diorang. Mana tahu ada yang berkenan nak buat Reed jadi menantu.” Puan Sri Naema langsung berlalu pergi.
Malam ini mereka mengadakan majlis sambutan ulang tahun anak bongsu mereka, Zareen. Majlis ini diadakan sebuah hotel lima bintang atas permintaan Zareen sendiri.
Selain ahli keluarga, mereka turut menjemput rakan kongsi perniagaan mereka.
Zareed hanya duduk di tepi sambil memerhati tetamu yang hadir. Beginilah dia setiap kali ada majlis-majlis seperti ini. Dia lebih suka duduk memencilkan diri daripada bergaul dengan mereka.
SEHELAI dress labuh berwarna hitam menjadi pilihan Darin. Dalam banyak-banyak baju yang ada di dalam almarinya, baju ini menarik perhatiannya untuk dipakai malam ini.
Wajahnya disolek tipis. Rambutnya yang panjang separas bahu dibiarkan lepas. Minyak wangi kegemarannya disemburkan sedikit pada tubuhnya. Siap!
Tak boleh lama-lama. Mama dan papanya sudah menunggu di bawah. Sebelum turun ke tingkat bawah, Darin sempat mencapai tas tangannya dan hadiah yang ingin dibawa.
Mama cakap malam ni nak pergi ke majlis ulang tahun anak bongsu kawan mama. Dah besar-besar pun nak buat majlis hari jadi lagi ke? Orang kaya kan, apa nak diherankan. Buat majlis tiap-tiap bulan pun tiada masalah.
TEPAT pukul 8.30 malam, mereka bertiga tiba di lokasi majlis. Darin meminta Dato’ Nordin dan Datin Marlia masuk ke dalam terlebih dahulu. Dia mahu ke tandas sebentar.
“Mar!” Puan Sri Naema tersenyum ceria saat melihat kawan baiknya itu. Sudah lama mereka tidak berjumpa.
Rasanya kali terakhir mereka jumpa lima belas tahun lepas. Selepas itu mereka terputus hubungan. Baru-baru ini mereka berhubung kembali. Itupun lepas dia berjaya menjumpai akaun Fac Datin Marlia.
Mereka berdua saling berpelukan. Melepaskan rindu.
“Kak Naema sihat?” soal Datin Marlia. Rasa macam tak percaya dapat berjumpa semula dengan kawan baiknya itu.
“Alhamdulillah sihat. Mar datang berdua je ke dengan suami? Tak bawa anak Mar?” soal Puan Sri Naema.
Dato’ Nordin pula rancak berbual dengan Tan Sri Basir. Orang bisnes kalau dah berjumpa, beginilah. Sekejap je dah boleh jadi kawan.
“Ada. Dia ke tandas tadi. Mana anak-anak Kak Naema? Mesti semua dah besar-besar kan.”
Puan Sri Naema melilau mencari kelibat anak-anaknya. Kebetulan ketika itu dia nampak Zareed, terus dia panggil anak lelakinya itu.
“Reed!” Tangan dilambai ke arah Zareed.
Tanpa menunggu lama, Zareed terus datang menghampiri Puan Sri Naema.
“Ini anak kedua akak, Zareed. Zareed, ni kawan mummy, aunty Marlia.” Puan Sri Naema memperkenalkan mereka berdua.
Zareed senyum. Dia bersalaman dengan Dato’ Nordin. Wajah pasangan itu kelihatan familiar di matanya. Rasa macam pernah lihat sebelum ini.
“Darin!” panggil Datin Marlia saat terpandangkan kelibat Darin yang baru tiba.
Serentak dengan itu Zareed dan Puan Sri Naema memandang ke arah yang sama.
Riak wajah mereka langsung berubah saat melihat Darin.
Saat itu juga sorotan mata Darin dan Zareed saling bertaut. Waktu seakan terhenti seketika.
Kali ini Zareed tak bermimpi lagi. Gadis itu benar-benar muncul di hadapan matanya.
Haa jumpa dah!
Share this novel