Bab 5

Romance Series 108336

“MANA Darin?” soal Dato’ Nordin apabila kelibat anak tunggalnya itu tidak singgah di mata.

“Darin cakap dia tak nak breakfast,” balas Datin Marlia sambil menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggan suaminya.

Dahi Dato’ Nordin berkerut halus. Kebiasaannya hari minggu begini mereka tiga beranak akan bersarapan bersama-sama. Waktu inilah mereka dapat luangkan masa bersama. Selalunya masing-masing akan sibuk dengan urusan masing-masing.

“Abang perasan tak lepas balik daripada majlis hari jadi anak Kak Naema hari tu, Darin banyak diam je. Pelik betul. Macam ada yang tak kena,” luah Datin Marlia. Dia perasan sejak dua tiga hari ini Darin banyak menghabiskan masa berkurung di dalam bilik saja.

Dato’ Nordin diam seketika. Gayanya seperti sedang berfikir.

“Mar rasa kenapa?” soalnya.

Datin Marlia angkat bahu. “Abang bukannya tak kenal anak abang tu. Darin tu bukannya suka berkongsi dengan kita. Lebih banyak memendam sendiri je.”

Dato’ Nordin menghela nafas perlahan. Betul lah tu apa yang isterinya katakan. Darin memang jarang meluahkan isi hatinya pada mereka berdua.

“Nanti Mar cubalah slow talk dengan Darin. Manalah kalau dia tengah ada masalah.”

Datin Marlia mengangguk kecil. “Ya lah, nanti Mar cuba berbual dengan Darin.”

LANGKAH diatur masuk ke dalam sebuah kedai serbaneka. Cuaca panas begini, tekaknya teringin nak makan aiskrim. Dia menghampiri peti besar aiskrim. Pantas tangannya mencapai aiskrim cornetto berperisa coklat.

Usai itu dia melangkah pula ke rak yang menempatkan pelbagai jenis coklat. Sebungkus coklat Kit Kat berperisa green tea diambil. Selepas itu Darin terus bergerak ke kaunter pembayaran.

“Semuanya sepuluh ringgit,” ujar pekerja itu kepada seorang lelaki di kaunter.

Darin menanti di belakang lelaki itu. Dahinya berkerut halus. Tengok lelaki itu daripada belakang, mengingatkan dia pada seseorang. Figura lelaki itu sama seperti...

Zareed.

“Beg duit saya tertinggal.”

Mendengar suara lelaki itu buatkan Darin terdiam seketika. Sah! Lelaki di hadapannya itu ialah Zareed. Dia kenal sungguh dengan suara lelaki itu.

“Biar saya bayarkan dulu.” Darin terus hulur sekeping not RM50 pada pekerja di kaunter itu.

Zareed tersentak. Riak wajahnya langsung berubah saat melihat Darin.

“Tak payah. Saya letak semula barang-barang ni,” balas Zareed. Matanya masih tak lepas daripada memandang Darin. Entah macam mana boleh pula mereka bertembung di sini. Darin sibuk nak jadi hero pula tu!

Pekerja itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serba salah dibuatnya. Duit yang Darin hulurkan tadi sudah berada di tangannya. Wajah Zareed dan Darin dipandang silih berganti.

“I tak nak hutang apa-apa dengan you,” ujar Zareed tegas.

Darin mengetap bibirnya. Benci betul Zareed dekat dia. Padahal dia bukannya ada niat lain pun. Dia cuma mahu membantu lelaki itu. Sempat Darin menjeling barang yang dibeli oleh lelaki itu.

Ada empat kotak air berperisa laici dan empat plastik roti jagung. Darin tak rasa Zareed beli semua air dan roti itu untuknya. Lelaki itu bukannya gemar minum air manis.

“I tak akan tuntut apa-apa pun daripada you,” balas Darin kembali.

“Err... Nak bayar ke tak akak, abang?” soal pekerja itu. Kut ya pun nak berdrama janganlah dekat kedai serbaneka ni. Dia ada banyak kerja lagi nak buat daripada melayan drama swasta pasangan itu.

“Kira sekali dengan barang saya.” Darin meletakkan aiskrim dan coklat yang diambilnya di atas kaunter.

Pekerja itu terus memasukkan aiskrim dan coklat Darin ke dalam plastik. Duit baki Darin dipulangkan.

“Terima kasih,” ucap Darin. Usai itu dia terus berlalu keluar meninggalkan kedai serbaneka itu.

Zareed tiada pilihan. Darin dah bayarkan roti dan air kotak yang dibelinya. Nak tak nak, terpaksa dia terima juga. Nafas dihela berat. Langkah terus dibawa keluar daripada kedai.

Daripada dalam kereta, Darin perhatikan Zareed yang baru saja keluar daripada kedai serbaneka. Dia nampak lelaki itu menghampiri sekumpulan kanak-kanak yang sedang duduk tidak jauh daripada kedai serbaneka itu.

Roti dan air kotak yang dibelinya tadi diberikan pada mereka. Kan Darin dah agak! Zareed beli semua tu bukan untuknya.

Terpancar riak kegembiraan di wajah kanak-kanak itu. Begitu juga dengan Zareed. Kalau tadi mukanya ketat betul. Tapi sekarang Darin nampak lelaki itu tersenyum senang. Sesekali Zareed ketawa bersama kanak-kanak itu.

Hati Darin tersentuh melihat adegan itu. Dalam masa yang sama terubat rindu di hati mahu melihat Zareed tersenyum lagi. Walaupun lelaki itu bukan tersenyum padanya, sekurang-kurangnya Darin berpeluang untuk melihat senyuman itu lagi.

Tubir mata Darin bergenang. Mahu saja dia mendapatkan Zareed sekarang ini. Ada banyak benda yang dia ingin katakan pada lelaki itu. Sepanjang lima tahun, terlalu banyak yang dia pendam.

Tapi memikirkan kebencian Zareed terhadapnya, Darin membatalkan niatnya itu. Tiada guna lagi kehadirannya dalam kehidupan lelaki itu. Lagipun Zareed sudah menemui penggantinya. Dan dia masih di sini. Masih terus berharap pada cinta yang sudah rapuh ini.

HARI minggu adalah hari untuk Darin bermalas-malasan di dalam bilik saja. Beginilah kehidupannya, membosankan. Nak keluar, Darin tak cukup rajin. Kecuali jika ada urusan penting sahaja.

Lagipun dia tak mempunyai kawan. Sebab itulah dia lebih banyak habiskan masa dengan Iman saja. Iman satu-satunya kawan rapat yang dia ada.

“Darin!” Pintu biliknya diketuk daripada luar.

“Ya!” sahut Darin. Lambat-lambat dia turun daripada katil lalu bergerak ke muka pintu.

Sebaik pintu dibuka, terjengul wajah Datin Marlia di muka pintu.

“Darin, hari ni mama ada tetamu. Tolong mama masak,” pinta Datin Marlia.

Darin menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ini salah satu benda yang dia tak berapa nak suka. Bukannya tak suka jika tetamu datang ke rumah tapi Darin sejenis yang memang tak pandai nak bersosial.

Bila tetamu datang, nampaknya dia kena bersosial sama. Jangan haraplah Datin Marlia nak biarkan dia berkurung di dalam bilik saja.

“Siapa yang nak datang?” soal Darin.

“Aunty Naema.”

Dengar saja nama itu buatkan tubuh Darin mengeras seketika.

“Dia nak jumpa Darin juga. Banyak benda yang nak dibualkan.” Datin Marlia mengusap perlahan lengan anaknya itu.

Darin hanya tersenyum kelat. “Aunty Naema datang seorang je ke?”

“Family dia pun ada sekali.”

Darin ketap bibir. Keluarga wanita itu pun ada sekali? Maknanya Zareed pun ada sekalilah kan?

“Dah, cepat tolong mama. Macam-macam menu mama nak masak hari ni,” gesa Datin Marlia.

Lambat-lambat Darin meninggalkan biliknya dan mengikut Datin Marlia ke dapur. Baru je berangan nak habiskan masa cutinya dengan qada semula tidurnya.

ZAREED menghela nafas berat. Tak fasal-fasal hari ini dia perlu menemani Puan Sri Naema ke rumah kawannya pula. Awalnya dia memang tidak mahu ikut. Tapi kakak dan adiknya juga tidak dapat menemani mummynya itu. Nampaknya dia jugalah yang kena ikut.

“Reed kenal kan aunty Mar?” soal Puan Sri Naema.

“Yang mana satu?” soal Zareed yang sedang memandu itu. Kalau tengok rupa mungkin dia kenal. Tapi kalau sebut nama, Zareed memang tak ingat.

“Bukan ke Reed berbual dengan anak aunty Mar hari tu?”

Zareed terdiam seketika. Darin. Ya, sekarang baru dia ingat. Maknanya sekarang ni mereka dalam perjalanan nak ke rumah keluarga Darin lah kan?

“Darin?”

“Ya, Darin. Cantik kan Darin tu? Tak sangka rupanya dia anak kawan baik mummy. Dah lah cantik, baik pula tu. Sejuk je mata mummy tengok dia.”

Zareed ketap bibir. Kalaulah mummy tahu perangai sebenar Darin mungkin mummy tak akan puji Darin sampai macam ni sekali.

Huh, hipokrit! Kalau Darin boleh menipunya dulu, tak mustahil gadis itu boleh buat hal yang sama kepada orang di sekelilingnya.

TIBA di kediaman Datin Marlia, mereka disambut mesra oleh wanita itu. Mata Zareed melilau mencari kelibat anak tunggal wanita itu. Sedari tadi kelibat Darin tak singgah di mata. Adakah gadis itu takut untuk berhadapan dengannya lagi?

Sementara menunggu makanan dihidangkan, mereka berbual dahulu di ruang tamu. Zareed hanya duduk menjadi pendengar dua sahabat baik itu berbual mengenang kisah lama mereka. Dia masih tercari-cari Darin. Nak bertanya pada Datin Marlia, dia tiada keberanian. Nanti nampak sangat pula yang dia ni menyibuk.

“Darin mana?” Soalan yang sedari tadi Zareed ingin tanyakan akhirnya ditanya oleh Puan Sri Naema.

“Darin dekat dalam bilik. Tadi dia yang tolong Mar masak. Katanya nak tukar baju dulu,” balas Datin Marlia.

Akhirnya Zareed tahu kemana gadis itu pergi. Sangkanya Darin sengaja mengelak daripada bertemu dengannya.

“Mana anak-anak Kak Naema yang lain? Tak ikut sama ke?” soal Datin Marlia.

“Semuanya sibuk Mar. Nasib baiklah Reed ni nak ikut juga. Itupun lepas akak paksa.”

Zareed hanya ketawa kecil. Tak tahu nak bagi respons apa.

Sedang mereka rancak berbual, Darin turun daripada tingkat atas. Sorotan matanya langsung terhenti pada figura lelaki itu. Seperti telepati, Zareed juga memandang ke arahnya. Mata mereka saling beradu buat seketika.

“Assalammualaikum aunty.” Tanpa mempedulikan renungan tajam Zareed, Darin menyapa mesra Puan Sri Naema.

“Waalaikumsalam Darin.” Puan Sri Naema tersenyum senang saat wajah manis itu menyapa pandangan matanya. Sejuk hatinya melihat Darin.

Tangan wanita itu Darin salam hormat sebelum dia mengambil tempat di sebelah Datin Marlia. Kedudukannya ketika ini betul-betul berhadapan dengan Zareed. Dah memang tak boleh nak elak lagi. Ini aje tempat duduk yang kosong.

“Darin buat apa sekarang ni?” soal Puan Sri Naema. Giliran dia pula mahu temu ramah gadis itu.

“Darin dah kerja sekarang,” balas Darin ringkas. Sebenarnya dia tak selesa dengan tatapan tajam Zareed. Rasa macam nak tembus. Tak senang duduk dibuatnya.

“Anak Kak Naema yang mana belajar dekat UK dulu?” soal Datin Marlia.

“Zareed ni lah.” Puan Sri Naema menepuk perlahan lengan Zareed.

Darin sudah tunduk merenung lantai. Sungguh kalau dia boleh hilangkan diri sekarang ni, dah lama dia hilangkan diri.  Tak sanggup nak hadapi situasi sekarang ini.

“Universiti mana? Darin pun belajar dekat sana dulu,” soal Datin Marlia lagi.

Debar jantung memukul dada Darin. Dia semakin tak senang duduk.

“Manchester,” jawab Zareed. Matanya tak lepas daripada memandang Darin.

“Lah, samalah dengan Darin ni. Rasanya umur Reed dengan Darin tak jauh beza kan?”

“Reed dengan Darin tak pernah terserempak ke?” soal Puan Sri Naema pula. Tak sangka anak mereka berdua satu universiti rupanya. Kecil betul dunia ni.

“Pernah.”

“Tak pernah.”

Jawab Darin dan Zareed serentak. Jawapan mereka buatkan Puan Sri Naema dan Datin Marlia saling berpandangan sesama sendiri.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience