LAGU bertajuk ‘Hey Ladies’ dendangan Rossa berkumandang pada telefon bimbit kesayanganku. Pantas sahaja aku mencapainya. Oh, Taufiq rupanya yang menelefon. Aku terus menekan punat hijau tanda aku menerima panggilan tersebut.
“Assalamualaikum. Helo, kawan,” ucapku sebagai tanda permulaan dalam perbualan kami.
“Waalaikumussalam. Helo, sayang,” kedengaran suara Taufiq menjawab salam, tetapi hujung ucapan dia itu membuatkan aku rasa tidak senang.
“Apa sayang-sayang? Aku lempang kang terus melayang-layang,” balas aku dengan sengaja.
“Sampai hati kau nak lempang aku, kan?” Sedih sahaja suaranya itu. Ini mesti ada apa-apa yang tidak kena.
“Kau ni… aku main-main pun kau nak touching. Tak rocklah! Macam mana dengan usaha mengurat wanita idaman kau tu? Berjaya tak idea aku tu?” Tanyaku dengan perasaan kurang sabar.
“Tak berjaya lagilah, Leena. Mungkin dia tak nampak kesungguhan aku,” sekali lagi Taufiq berkata dalam nada yang sayu. Alahaiii…. dengan aku-aku sekali sayu dan layu dengar suara dia yang macam itu.
“Sabarlah Taufiq, ni semua dugaan. Selalunya kita akan lebih menghargai sesuatu yang susah untuk kita dapat. Aku berdoa supaya dia akan nampak kesungguhan dan keikhlasan kau. Sebelum aku terlupa… aku nak tanya, dia terima ke tak pakej bunga, teddy bear, coklat dan kad ucapan tu?” Itulah soalan yang sebenarnya mahu aku tanyakan sewaktu mula-mula menjawab panggilan Taufiq.
“Aku tak beranilah nak bagi kat dia, Leena. Aku takut kalau dia tolak.” Jawabnya.
“Adeh laaa haiii!” Aku mengeluh sebaik sahaja mendengar jawapan Taufiq itu.
“Penat-penat aku fikir idea tu, tapi kau boleh tak bagi kat dia pula. Apalah…” Aku membebel kepadanya.
“Aku rasa macam nak bagi dia baju pulalah,” suara Taufiq, menyebabkan mataku membulat.
“Heh, kau jangan nak buat lawak. Bunga dengan teddy bear tu pun kau tak berani nak bagi, macam mana kau nak bagi baju pulak? Kau nak pos hadiah tu ke? Haha!” Sakatku.
Macam-macamlah si Taufiq ni.
“Leena, kali ni aku betul-betul serius. Aku nak bagi dia baju, lepas tu aku nak suruh dia pakai baju tu masa makan malam. Masa tu nanti aku akan buat surprise untuk dia. Dan aku harap dia akan nampak kesungguhan dan keikhlasan aku,” rancang Taufiq penuh semangat.
“Wah, bestnya. Surprise macam mana tu? Boleh aku tau?” Boleh tahan juga rancangan Taufiq ni. Aku pula yang teruja nak tahu lebih-lebih.
“Haaa… yang tu adalah rahsia antara aku dan si dia hehe,” ujar Taufiq. Aku mencebik walaupun dia tidak dapat melihat reaksi aku itu.
“Rahsia konon. Yalah… aku ni bukannya siapa-siapa, kan? Aku cuma pembantu tak bertauliah aje. Nanti bila kau dah dapat dia, mesti kau akan lupakan aku. Orang dah ada girlfriend, buat apa nak kawan dengan orang macam aku lagi,” kataku jujur.
Share this novel