DUA minggu sudah berlalu. Aku masih belum memberikan jawapan kepada Taufiq. Sepanjang tempoh ini kami langsung tidak berhubung melalui telefon. Aku yang minta begitu supaya aku boleh berfikir dengan tenang. Tidak dinafikan, pada saat ini aku memang terlalu rindukan suara Taufiq kerana sudah biasa mendengarnya pada setiap malam. Itukah tanda cinta aku padanya? Dan hingga saat ini, aku masih tidak sanggup untuk membayangkan kembali pandangan matanya pada malam di Restoran Cinta itu. Pandangan itu pasti akan mengundang debaran walaupun ia hanya hadir di dalam bayangan fikiran aku sahaja. Hah… kini aku pasti. Aku memang cintakan kau juga, Taufiq.
Aku terus mencapai telefon bimbit.
“Assalamualaikum, Taufiq. 1,2 dan 3 okay…saya terima cinta awak.” – aku.
Aku malu untuk bercakap di telefon. Jadi eloklah kalau aku menghantar pesanan ringkas sahaja. Beberapa saat kemudian, terdapat mesej baru yang masuk ke dalam telefon bimbit.
“Terima kasih, sayang! Okay go yabedabedu!! Tak lama lagi aku kahwin oiii!” – Taufiq.
Aku tersenyum lebar. Berbunga-bunga hati aku ini tatkala membaca perkataan ‘sayang’ itu.
“Terima kasih, sayang…” Aku membalasnya dengan kata-kata walaupun dia tidak dapat mendengar suaraku. Suatu hari nanti, aku pasti akan mengucapkannya jua di hadapan Taufiq. Pada saat ini, cukuplah dia tahu bahawa aku sudah menerima cintanya.
Share this novel