Ya… memang itu yang aku rasakan pada saat ini. Aku bakal kehilangannya. Jika dia tidak mahu meninggalkan aku sekalipun, aku tetap akan menjauhinya kerana tidak mungkin aku akan berkawan rapat dengan seorang lelaki yang sudah berpunya. Hampir setiap malam Taufiq menelefon aku. Jika akulah yang menjadi teman wanitanya, sudah tentu aku akan cemburu. Sebab itulah aku tidak mahu Taufiq terus menghubungi aku andainya dia berjaya menawan hati wanita idamannya itu.
“Tak mungkin aku akan lupakan kau, Leena. Kau dah jadi sebahagian daripada hidup aku,” tegas Taufiq, bersungguh-sungguh bunyinya.
“Kau kena lupakan aku, Taufiq. Aku tak mahu ada orang lain yang cemburu bila tahu kita rapat. Entah-entah dia dah tau yang kita ni rapat, sebab tu dia tak mahu terima bila kau cuba pikat dia,” tekaku. Tiba-tiba sahaja perkara itu terlintas di dalam fikiran aku.
Ya, mungkin aku yang telah menjadi penghalang. Dan mungkin sahaja perempuan itu telah terlihat kemesraan aku ketika keluar bersama Taufiq tempoh hari.
“Kau jangan merepeklah, Leena. Kau bukan penyebab kenapa dia tak mahu terima cinta aku. Aku yakin seratus peratus.” Taufiq cuba menafikan kata-kataku.
“Taufiq, aku dah ngantuk ni. Aku tidur dululah, ya. Assalamualaikum,” ucapku pantas.
Aku sudah memutuskan talian sebelum sempat dia menjawab salam yang aku berikan. Kenapa aku jadi begini? Tiba-tiba sahaja aku berubah sikap. Maafkan aku, Taufiq. Aku tidak tahu apakah perasaan yang sedang aku alami. Aku rasa kosong. Tiada mood untuk berbual-bual.
Telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej masuk. Laju aku membukanya.
“Leena, ahad ni temankan aku beli baju untuk si dia boleh?” – Taufiq.
Si dia? Ahh… mengapa tiba-tiba aku berasan bosan dengan perkataan ‘si dia’ itu? Entah sejak bila Taufiq membahasakan diri wanita idamannya itu dengan panggilan ‘si dia’. Apa yang aku perasan, selama ini Taufiq cuma membahasakan diri wanita itu dengan panggilan ‘perempuan itu’ sahaja. Mungkin aku yang tidak perasan akan panggilan nama ‘si dia’ itu.
“Ok!” – aku.
Hisyy, wahai jari, kenapa kau menggatal taip perkataan ‘Ok’ itu?
Share this novel