“Ok! Mantap! Gaun ni memang sesuai untuk kau,” suara Taufik itu menyebabkan keningku berkerut seribu. Aku memandang gaun panjang berwarna merah jambu yang sudah tersarung elok di badanku.
“Gaun ni sesuai untuk aku? Bukan sesuai untuk si dia ke” Aku bertanya kembali.
“Eh, aku kata gaun ni sesuai untuk si dialah tadi,” balas Taufik kepadaku.
Semakin jelas kerutan pada keningku. Rasanya belum lama aku mengorek telinga aku ini. Takkanlah aku tersalah dengar pula!
“Cik, cik dengar tak apa yang lelaki ni cakapkan tadi?” Aku bertanya kepada salah seorang petugas yang berada paling dekat dengan kami.
“Maaf, cik. Saya tengah susun baju ni tadi. Saya tak perasan apa yang dia katakan,” jawab petugas tersebut. Aku semakin berasa tidak puas hati, namun aku tetap menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya.
“Taufiq, aku dengar sendiri kau kata baju ni sesuai untuk aku tadi. Aku belum pekak lagi tau,” aku bertegas dengan kata-kataku.
“Ya ke?” Soal Taufiq sambil menggaru kepala. Wajahnya kelihatan sedikit cuak.
“Dahlah, aku nak buka gaun ni,” putusku lalu terus melangkah menuju ke bilik persalinan di butik tersebut.
“Eh.. eh.. kejap, Leena!” Arahan Taufiq itu menyebabkan langkahku terhenti dengan serta-merta.
Aku lihat Taufiq melangkah ke kaunter pembayaran dan kemudian dia terus menarik hujung lengan gaun yang aku pakai. Aku sempat menepis tangannya sebelum mengikutnya dari belakang.
“Kita nak ke mana ni, Taufiq? Dah malam, aku nak baliklah,” aku bersuara.
“Ok, dah sampai. Jom masuk!” Ajak Taufiq.
Buntang mataku melihat nama restoran yang terpampang di hadapanku. ‘Restoran Cinta’? Ada juga rupanya orang yang menamakan restoran dengan nama itu. Pasti mereka yang bercinta akan suka berkunjung ke restoran ini. Tapi… kenapa Taufiq juga mengajak aku ke sini? Kami bukannya pasangan bercinta. Aku memandang Taufiq dengan riak wajah yang pelik.
“Kenapa kau ajak aku ke sini?” Aku tidak dapat menahan persoalan itu lagi.
“Aku nak memperkenalkan kau dengan si dia,” jawab Taufiq tanpa ragu-ragu.
“Haisy! Tak payahlah. Aku tak ada kena mengena dengan kau oranglah. Baju yang aku pakai ni, kau kata nak bagi kat dia. Macam mana kau nak bagi kalau aku yang pakai sekarang ni?” Itu satu lagi persoalan yang tiba-tiba menerjah ke dalam kotak fikiranku.
“Sabar ya, Leena. Sekarang ni, kau ikut aku masuk dalam dulu. Dan kau akan tahu semuanya. Aku janji,” ajak Taufiq sekali lagi.
“Ok,” ucapku sepatah.
Tanpa membuang masa aku terus mengekori Taufiq masuk ke dalam Restoran Cinta. Wahh… cantiknya hiasan dalaman restoran ini. Suasananya pula sungguh romantik. Tiba-tiba aku terasa seperti sedang bercinta pula dengan Taufiq kerana kami sama-sama memasukinya. Ceh, berhentilah daripada berangan wahai hati.
Share this novel