BAB 4

Humor Completed 6996

SEPERTI yang sudah dijanjikan, pada keesokan harinya aku bertemu dengan Taufiq. Sebenarnya sudah beberapa bulan aku tidak berjumpa dengannya. Dan kini aku terkejut dengan wajah serta penampilannya. Dahulu tak macam ini pun. Kacak pula aku lihat wajahnya, kenapa sebelum ini aku tak pernah perasan? Pakaiannya pula… fuhh, macam orang nak pergi dating.

Tak perlulah aku ceritakan secara terperinci pakaian apakah yang dia pakai, ya. Bayangkan sahajalah bagaimana cara seorang lelaki berpakaian untuk menemui kekasih hatinya. Sudah tentulah smart kan? Satu lagi ni, minyak wanginya bau menusuk-nusuk ke lubang hidungku. Nasib baiklah wangi. Hmmm…. entah sejak bila dia menukar imej.

“Dasyat betul penampilan kau, Taufiq. Boleh cair perempuan tengok kau,” tegur aku sejujur hati.

“Nak berlatih jumpa si dialah. Kau cair tak? Kau kan perempuan juga,” tanyanya.

Wahh… soalan maut nampaknya tu. Tak mampu aku nak memikirkan jawapannya.

“Kau jangan cuba nak pusing-pusingkan watak. Aku tetap aku, dan perempuan tu tetap perempuan tu. Mana boleh kau samakan aku dengan dia. Kalau aku cair sekalipun, belum tentu dia akan cair. Dan kalau aku tak cair sekalipun, mungkin dia akan cair. Siapa tahu kan?” Aku rasa itulah jawapan yang paling tepat untuk berikan kepada Taufiq.

“Ok, satu jawapan yang boleh diterima,” balas Taufiq sambil terangguk-angguk.

“Kau nak beli hadiah apa ni?” Soalku kemudian, malas mahu bercakap tentang siapa cair dan siapa tak cair lagi.

“Cincin sesuai tak?” Taufiq bertanya kembali. Spontan keningku berkerut.

“Mana sesuai, cincin tu dah gaya macam orang nak pergi melamar. Kau baru nak pikat dia kan? Kalau kau bagi dia cincin, mahunya dia pengsan tak bangun-bangun sebab terkejut,” ucapku lengkap dengan gaya seperti orang mahu pengsan.

“Eh.. eh!” Taufiq panik melihat aku yang seperti mahu rebah. Aku cepat-cepat menegakkan badan kembali sebelum tangannya sempat menyentuh pinggangku. Bahayaaa!

“Aku berlakon ajelah. Kau ingat kau aje ke yang boleh berlakon?” Aku bersuara pantas. Terkekeh-kekeh aku melihat reaksinya.

“Kau ni, buat jantung aku macam nak gugur aje,” luah Taufiq dengan wajah yang masih kelihatan tegang.

“Sorryy,” ucapku dengan perasaan yang sedikit berasa bersalah.

“Ok. Kalau macam tu, cincin tak sesuailah, ya? Hmm… apa kata… kalau bagi kek sebagai tanda perkenalan. Ok tak?” Cadang Taufiq lagi.

“Ok jugak tu. Tapi… macam mana kalau dia tak terima? Lepas tu dia tekap kek tu kat muka kau hahaha!” Tak tahan aku mahu menahan ketawa apabila terbayangkan Taufiq yang sudah kacak bergaya itu ditekap dengan sebiji kek pada wajahnya. Malu… malu….!

“Betul juga tu. Tak boleh… tak boleh… habis tu nak bagi hadiah apa ni, Leena?” Taufiq meminta cadanganku pula.

“Aku rasa elok kalau kau bagi dia… hmmm… apa ya? Haa…. kau bagi dia bunga yang ada teddy bear melekat tu , coklat, dan kad ucapan,” usulku dengan senyum yang makin melebar.

“Teddy bear? Macam budak-budak aje,” bidas Taufiq.

“Eh, perempuan suka tau benda comel-comel macam tu. Sebab aku pun suka hehe nanti beli lebih ya, bagi aku satu hahaha!” Sengaja aku menyakat Taufiq.

“Ah, tak ada! Aku beli satu aje, khas untuk si dia,” tegas Taufiq.

“Eleh… orang tak hairan punlah. Orang boleh beli sendiri,” balasku, tiba-tiba sahaja aku membahasakan diri dengan nama ‘orang’.

Itu sebenarnya satu kelemahan yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Apabila aku dilanda perasaan malu, secara automatiknya aku akan membahasakan diri aku ‘orang’. Tapi takkanlah aku berasa malu apabila permintaan main-main aku itu tidak mahu dipenuhi oleh Taufiq? Bukannya aku serius meminta teddy bear pun. Tapii…. ah, malaslah nak fikir! Buat sakit otak aku saja.

“Haii… merajuk ke??” Duga Taufiq. Pantas sahaja aku menggeleng.

“Eh, tak adalah! Aku main-main aje tadi,” nafiku. Semoga sahaja Taufiq tidak berfikir yang aku betul-betul mahukan teddy bear itu. Sumpah, aku memang cuma main-main sahaja!

“Betul?” Tidak habis-habis lagi Taufiq cuba menduga aku.

“Betullah! Dah… dah… jom kita beli bunga yang ada teddy bear kat kedai depan tu,” putusku lalu terus berjalan mendahului Taufiq.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience