Lidahku kelu dan mataku sudah terkebil-kebil.
“Kaulah si dia itu sebenarnya, Leena. Memang selama ni aku pengecut. Aku tak berani luahkan perasaan aku. Aku bersungguh-sungguh dan ikhlas dengan kau. Sudikah kau menerima cinta aku?” Soal Taufiq buat kali kedua.
“Dia ni…. bukan si dia?” Aku menyoal kembali tanpa menjawab soalannya. Aku memandang wanita yang aku sangka si dia itu.
“Saya cuma pekerja di restoran ini saja, cik Leena. Maaf sekiranya saya mengganggu. Encik Taufiq, saya sudah menjalankan tugas. Saya undur diri dahulu, ya. Semoga kalian gembira berkunjung di restoran ini. Terima kasih,” ucap wanita itu, dia terus berlalu setelah melihat Taufiq mengangguk.
“Taufiq, apa semua ni? Aku kawan kau, kan?” Aku masih cuba menolak hakikat.
“Tak, Leena. Kaulah si dia yang aku cintakan itu,” tegas Taufiq bersungguh-sungguh.
“Hissyy… aku bermimpi ni,” kataku seraya mencubit sebelah pipiku. Adehh… sakitt!
“Kau tak bermimpi, sayang,” ucap Taufiq tanpa rasa segan.
“Janganlah main-main, Taufiq. Kau tahu kan yang aku tak suka kau berlatih mengurat tapi tak nak bagi tahu aku awal-awal,” aku cuba memberi amaran kepada Taufiq.
“Kali ni sumpah, aku tak berlatih. Aku dah lama sukakan kau, Leena,” luah Taufiq.
Aku tidak mampu untuk menafikan segala kata-katanya lagi. Sudikah aku menerima cintanya? Aku tahu dia ikhlas, dan aku juga tahu dia memang bersungguh-sungguh. Tapi mana boleh secara tiba-tiba sahaja aku mahu menerima cinta dia.
“Maaf kalau aku macam mendesak kau. Jangan risau, kau tak perlu bagi jawapan tu sekarang kalau kau belum ada jawapannya. Tapi aku nak tambah satu lagi soalan. Dan kau kena bagi jawapannya sekarang juga. Sudikah kau makan malam malam dengan aku?”
Soalannya yang baru itu membuatkan aku tersenyum. Opss!! Senyuman aku itu… tanda apakah? Dengan malu-malu kucing aku duduk di kerusi yang baru ditarik oleh Taufiq. Hati aku berdebar-debar tatkala dia sudah duduk di hadapan aku. Aku cuba memandangnya. Tapi… ah, mengapa tiba-tiba sahaja aku tidak berani memandang tepat ke arah matanya?
Share this novel