“Aku tak main-main, aku serius ni! Leena, aku cintakan kau,” ucap Taufiq di hujung talian.
Kata-kata yang dilafaz Taufiq itu menerbitkan rasa marah di dalam hati aku. Memang nak kena agakya si Taufiq ni. Janganlah kau main-mainkan hati aku, Taufiq. Kalau aku betul-betul terjatuh cinta dengan kau nanti macam mana?
“Taufiq!!” Aku menyebut namanya sebagai tanda amaran.
“Hahaha…. kau tau aje kalau aku tengah bergurau ya,” balas Taufiq kemudian.
“Macamlah aku tak kenal dengan kau tu. Kita kan dah lama berkawan,” ujarku pantas.
Aku dan Taufiq memang sudah berkawan sejak dari sekolah lagi. Kini kami sama-sama sudah masuk ke alam pekerjaan. Aku masih ingat kepada kata-kata Taufiq suatu ketika dahulu.
Katanya, setelah mempunyai pekerjaan nanti, dia mahu serius mencari teman wanita untuk dijadikan isteri. Hah, sekarang ini dia sudah pun mempunyai pekerjaan yang bagus di sebuah syarikat swasta. Dan dia selalu menjadikan aku sebagai tempat untuk berlatih memikat perempuan. Aku pula tiada masalah, sudi sahaja membantunya. Cuma aku akan marah apabila dia buat macam tadi. Tup… tup… kata dia cintakan aku. Kalau nak berlatih pun bagi tahulah awal-awal. Aku stapler mulut tu karang, baru dia tahu.
“Aku sedihlah, Leena. Aku tak berjaya pikat perempuan yang aku suka tu. Kalau macam ni, macam mana aku nak kahwin?” Luah Taufiq.
Adehh… tersiksa pula telinga aku ini mendengar kata-kata Taufiq yang ala-ala kecewa bagai nak rak. Macamlah aku ada jawapan kepada persoalan yang serupa itu? Aku sendiri tak tahu nak bagi jawapan apa. Blur kejap aku jadinya.
“Janganlah putus asa. Cubalah lagi, perempuan tak suka pada lelaki yang cepat menyerah kalah tau. Taufiq, aku ada satu soalan nak ditanyakan kepada kau,” ucapku.
“Jangan tanya siapa perempuan yang aku tengah pikat tu,” balas Taufiq. Aku mengeluh spontan.
“Eh, macam mana kau boleh tahu yang aku nak tanya soalan tu?” Laju aku menyoalnya.
“Jawapan aku sama macam jawapan kau tadi. Sebab aku pun dah lama kenal dengan kau, dan ini bukanlah kali pertama kau nak tanya soalan tu,” jawapan Taufiq itu membuatkan aku tergelak.
Taufiq… Taufiq… suatu hari nanti aku akan tahu juga. Apalah yang istimewa sangat pada perempuan itu sampai Taufiq merahsiakan identitinya?
“Kau ada cadangan lain tak, macam mana aku nak pikat si dia ni?” Permintaan Taufiq itu membuatkan otakku semakin ligat berfikir.
“Haa… kau pernah bagi dia hadiah tak?” Tanyaku.
“Tak pernah!” Jawabnya pantas.
“Hisyy, apalah kau ni. Kata aje nak memikat, tapi tak pernah bagi apa-apa penghargaan. Bukan semua perempuan boleh cair dengan kata-kata tau,” kataku kemudian. Wah, gaya aku bercakap ni sudah macam ada pengalaman sendiri sahaja kan? Sebenarnya tiada pun.
Macam mana aku nak ada pengalaman kalau aku sendiri pun tak pernah jatuh cinta? Ramai kawan-kawan yang beranggapan bahawa aku ini terlalu memilih pasangan. Zaman sekarang ni, budak-budak sekolah pun dah pandai nak bercintan-cintun. Kalau aku, tak beranilah nak main-main dengan cinta monyet ni. Kena pelangkung pula dengan ayah aku nanti. Tapi itu dululah, waktu aku masih bersekolah. Sekarang ini aku memang dah tak layaklah nak bercinta monyet. Almaklumlah, umur aku sudah melepasi had.
Share this novel