Aku menghentikan langkahku apabila Taufiq berhenti betul-betul di hadapan sebuah meja yang sudah dihias cantik. Bunga, teddy bear, coklat dan kad ucapan yang Taufiq beli bersamaku dahulu juga ada di atas meja itu.
“Selamat datang, cik Leena,” suara itu mengejutkan aku yang sedang leka memerhatikan semua yang ada di atas meja. Barulah aku perasan akan kehadiran seorang wanita yang sudah sedia duduk di situ. Inikah si dia yang dikatakan oleh Taufiq? Hmm… cantik juga, sesuailah dengan Taufiq yang kacak itu.
“Terima kasih,” balas aku sekadar untuk beramah mesra.
Ada satu lagi persoalan, meja di hadapan aku ini hanya ada dua buah kerusi. Sebuah kerusi sudah diduduki oleh si dia, hanya tinggal sebuah sahaja kerusi yang tinggal. Dan sudah pastilah Taufiq yang akan mendudukinya. Habis tu, macam mana dengan aku?? Aku hadir di sini dengan pakaian yang cantik begini, berfungsi sebagai apa? Hanya terpacak sambil melihat Taufik dan si dia itu beramah mesrakah? Oh, no!!! Taufiq memang melampau jika memperlakukan begitu.
Aku lihat si dia mengambil bunga berserta teddy bear di atas meja. Adeh… janganlah kau nak bermesra-mesra dengan si Taufiq ini di hadapan aku pula. Aku tidak mahu menjadi saksi cinta kau orang. Sakit hati aku ni tahu tak? Mengapa aku harus sakit hati? Entahlah, dah malas nak fikir.
“Tahniah,” ucap si dia sambil bangun dan mengunjukkan bunga tersebut kepada Taufiq.
Haa… kan aku dah kata, mesti dia nak bagi pada Taufiq. Ucapan tahniah itu mesti tanda dia menerima cinta Taufiq kepadanya. Tapi… sepatutnya Taufiq yang harus memberikan bunga itu kepada si dia. Kenapa sekarang sudah terbalik? Makin pening aku jadinya. Aku lihat Taufiq menerima bunga itu dengan senyuman yang melebar.
“Duhai Syazleena Binti Khairuddin, sudikah kau menerima cinta aku?” Tiba-tiba Taufiq mengunjukkan bunga tersebut kepadaku sambil diiringi ucapan yang boleh sahaja membuatkan aku pengsan. Namun aku cuba gagahkan diri. Aku tidak bermimpikah??
Share this novel