BAB 1

Romance Completed 16375

Pukul 9.53 malam.

Raudhah berdiri di tepi tingkap biliknya. Langsir berwarna oren lembut itu diselak sedikit, cukup-cukup untuk memastikan yang hanya sebelah matanya saja yang dapat mengintai melalui tingkap itu.

Dia perasan ada sebuah Proton Gen2 berwarna hitam sedang berhenti di simpang jalan rumahnya.
Sebenarnya, dia dah lama perasan tentang kereta itu – dah lima hari. Dan sepanjang lima hari ini, Raudhah rasa sangat tidak tenteram.

Kenapa?

Sebab dia tahu kereta itu sebenarnya sedang mengintip dia! Baru lima hari lepas Raudhah betul-betul perasan yang selama ini dia diekori. Dia tak berani untuk memberitahu kepada sesiapa – walaupun kepada Ajil, adiknya sendiri. Sampai sekarang, Ajil tak tahu apa-apa pun tentang perkara ini. Dia takut kalau dia beritahu pada Ajil, adiknya itu pula yang akan susah hati.

Yang menjadi persoalannya sekarang, apa sebenarnya motif orang yang mengekorinya itu?

“Abah dengan mama nak pergi umrah hujung bulan ni.” Ezwan memberitahu sambil berdiri di depan Raudhah.

Raudhah mendiamkan diri. Separuh hatinya berasa gembira dan bersyukur dengan berita itu tapi separuh lagi hatinya terasa… kosong. Dia mendiamkan diri sambil berpeluk tubuh di situ – di lobi aras bawah pejabatnya. Sebenarnya boleh saja dia dengan Ezwan duduk di sofa, tetapi masing-masing memilih untuk berdiri saja.

Okey. Mungkin ada orang yang pelik kenapa dia dengan Ezwan nampak dingin. Biar dia jelaskan.

Ezwan itu sebenarnya abang tirinya. Abah telah berkahwin dengan ibu kepada Ezwan iaitu Makcik Dina lima tahun yang lepas, semasa Raudhah berumur 20 tahun. Dia bukanlah nak menjadi seorang anak tiri yang tipikal – yang sangat membenci ibu tirinya, tapi keadaan yang memaksa dia menjadi keras hati begitu. Dia tak boleh terima yang abah sebenarnya dah lama berhubungan Makcik Dina, sejak arwah ibu masih hidup lagi! Tergamak betul abah menduakan ibu tanpa pengetahuan ibu!

Sebab itu apabila abah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Makcik Dina, Raudhah dah memasang dendam terhadap abah dan Makcik Dina. Abah berkahwin dengan Makcik Dina hanya sepuluh bulan selepas ibu pergi. Sepuluh bulan! Tidakkah itu satu masa yang sangat singkat? Raudhah bertambah sakit hati apabila Ajil selalu mengadu yang abah langsung tidak memberi perhatian terhadap adiknya itu selepas berkahwin. Sebab itu apabila Raudhah dah mula bekerja, dia mengajak Ajil tinggal sekali bersamanya.

Bila dikira-kira balik, hampir tiga tahun Raudhah ‘melarikan’ diri dari rumah abah. Dia jarang melawat abah dan keluarga barunya itu. Cuma Ajil saja yang rajin melawat abah. Adiknya itu bagus, langsung tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap abah ataupun Makcik Dina. Raudhah ini saja yang beremosi lebih. Maklumlah… dah namanya perempuan.

“Datang rumah minggu depan, hari Sabtu. Abah buat kenduri sikit.” Ezwan sambung lagi.
Raudhah sekadar mengangguk. Dia langsung tak bersuara. Dia memang jarang beramah mesra dengan abang tirinya ini.

Dia pun pelik kenapa Ezwan sanggup datang ke pejabatnya hanya semata-mata untuk memberitahu tentang berita ini. Bukannya Ezwan tak boleh memaklumkan pada Ajil. Hubungan Ajil dengan Ezwan lagi baik daripada hubungan Raudhah dengan abang tirinya itu.

“Ajak Ajil sekali. Kalau boleh, datang la awal sikit. Mana tahu boleh tolong apa-apa yang patut.”
Raudhah angguk lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience