BAB 12

Romance Completed 16375

Kaget.

Itulah yang dirasakan oleh Raudhah sekarang ini. Entah kenapa sejak dia keluar dari pejabat tadi, dia rasa dirinya diperhatikan oleh seseorang. Ini bukan mainan perasaannya, dia tahu itu. Sebab sejak dia keluar dari pejabat tadi, dia dah nampak ada seorang lelaki berbaju hitam terus masuk ke dalam sebuah kereta Vios berwarna kelabu dan menghidupkan enjin kereta.

Kereta itu lain. Berbeza dengan kereta yang pernah mengekorinya sebelum ini, iaitu Gen2 hitam.

Berapa ramai sebenarnya orang mengekorinya ini? Raudhah mula berasa cuak. Dengan hati yang berdebar-debar, Raudhah melangkah ke arah keretanya yang diletakkan di basement. Dia tak tahu apa yang patut dia lakukan sekarang ini.

Beritahu abah? Mustahil. Abah berada di Mekah sekarang ini.
Beritahu Ajil? Dia tak nak adiknya itu risau.

Beritahu Ezwan? Dia kalau boleh tak nak…

Zapp!

Tiba-tiba Raudhah terasa tubuhnya ditarik oleh seseorang. Dan pada masa yang sama, mulutnya ditekup oleh tangan seseorang itu. Dalam masa yang sangat singkat, Raudhah dah tersandar ke tiang basement, dengan lelaki itu berdiri rapat di depannya, sambil tangan lelaki itu masih menekup mulutnya. Dek sebab dia terkejut dengan keadaan yang tiba-tiba itu, dia tak dapat nak memberi apa-apa reaksi pun.

Mindanya… kosong.

Dengan kedudukannya yang agak rapat dengan lelaki, dia cuba untuk melihat wajah lelaki itu. Tapi disebabkan mereka berdiri terlalu rapat, dia cuma dapat melihat bahu lelaki itu saja. Tak lama selepas itu, lelaki itu mendekatkan lagi jarak mereka secara tiba-tiba, membuatkan mukanya bersentuh dengan bahu lelaki itu.

Tak guna!

Bagaikan baru tersedar, Raudhah terus meronta-ronta untuk dilepaskan. Dia cuba menepis tangan lelaki yang menekup mulutnya itu. Dia tak faham apa sebenarnya motif lelaki ini. Suka hati saja memegang anak perempuan orang macam ini. Memang tak guna!

“Jangan bergerak, Raudhah. Awak dalam bahaya sekarang ni. Dengar cakap saya.” Suara itu memberi amaran.

Raudhah meronta lagi. Sekali lagi dia cuba menepis tangan lelaki itu.

“Raudhah!” Lelaki itu bersuara tegas dengan nada yang berbisik. Dengan cekap, dia menekan bahu Raudhah ke tiang basement itu, sambil sebelah tangan lagi menekup mulut Raudhah, dan bertentang mata dengan Raudhah.

Han???

“Awak dalam bahaya, Raudhah. Trust me.” Bisik Han sambil memandang tepat ke dalam mata Raudhah.
Tak lama selepas itu, sebuah kereta meluncur laju di laluan basement itu. Han cepat-cepat merapatkan semula badannya dengan Raudhah, seolah-olah mahu melindungi gadis itu daripada dilihat oleh pemandu kereta itu. Bunyi kereta itu sendiri sangat menakutkan. Kereta itu dipandu dengan sangat laju sampaikan berdecit bunyi tayar ke lantai apabila brek ditekan.

Raudhah pula, dia masih tak tahu apa motif sebenar Han. Dia terus menolak Han jauh-jauh sampaikan terlepas terus pegangan tangan Han pada bahu dan mulutnya. Sampai hati Han memegangnya sampai macam ini sekali. Tak guna!

“Awak tak guna, Han!” Mahu saja ditumbuk-tumbuk muka lelaki itu.
“Raudhah, awak salah faham ni. Kereta tu…”

“Salah faham apa? Awak tahu tak apa yang awak dah buat?”

“Dengar sini, Raudhah.” Nada suara Han masih tegas. “Awak naik kereta saya. Saya hantar awak balik rumah terus. Ezwan dengan Ajil ada kat rumah abah awak.”

Raudhah keliru. Dia tak faham sepatah pun apa yang dicakapkan oleh Han itu. Han kenal Ezwan? Han kenal Ajil? Han kenal abah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience