BAB 3

Romance Completed 16375

Ketika itu, Raudhah ternampak seorang lelaki yang sedang duduk di meja hujung kedai makan itu, melambai ke arahnya. Lelaki yang memakai kemeja berwarna biru cerah itu bukan setakat melambai, tapi juga mengisyaratkan supaya Raudhah datang ke mejanya. Melihatkan lelaki itu hanya berseorangan, Raudhah akhirnya menapak juga ke arah meja lelaki itu.

“Seorang je?” tanya Raudhah. Dia meletakkan plastik berisi nasi campur itu di atas meja.

“Seorang je la. Sejak bila awak pernah nampak saya makan berdua bertiga kat sini? Eh, duduk la dulu.” Lelaki itu menunjuk kerusi di depannya dengan tangan kiri. Tangan kanannya pula masih di pinggan – mencubit isi ikan kembung goreng.

Raudhah masih berdiri di depan meja itu. Dia bukan tak nak duduk, tapi dia sedang mencongak masa yang akan dia luangkan jika dia bersembang dengan lelaki ini. Dia, kalau berjumpa dengan Han (oh, lupa nak beritahu yang nama lelaki ini ialah Han), mesti akan bersembang berjam-jam lamanya.

Dahlah dia cuma ada empat puluh lima minit lagi sebelum waktu makan tengah hari habis. Sempatkah dia berborak panjang dengan Han?

“Duduk la. Kenapa tak duduk?” tanya Han. Dia pelik bila melihat Raudhah masih berdiri di depan meja itu.

“Saya tak boleh lama ni. Sebab saya belikan nasi untuk officemate saya sekali,” kata Raudhah. Dia tolong membelikan nasi campur untuk Iman sekali sebab kawan sekerjanya itu perlu bersiap sedia untuk mesyuarat pukul 2.00 petang nanti.

“Duduk la kejap. Teman saya makan pun jadi la. Awak tak kesian ke tengok saya makan seorang-seorang macam ni?” Han memandang Raudhah dengan muka yang sengaja disedihkan.

Raudhah mencebik main-main. Dia menarik kerusi di depan Han itu dan menunjukkan lima jari tangan kanannya kepada Han. “Lima minit je.”

Han tersengih. “Lima minit pun, lima minit la.”

Raudhah duduk di depan Han. Dia perhatikan saja lelaki itu yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut. Siapa sangka perkenalan yang terjadi di kedai makan ini juga boleh berlanjutan selama dua tahun? Ya, dia dengan Han dah berkawan selama dua tahun. Dia kenal Han pun sebab lelaki ini selalu makan di kedai makan ini. Dan detik perkenalan mereka bermula apabila Han terpaksa menumpang mejanya untuk makan sebab meja yang lainnya semua dah penuh. Dan perkenalan itu bertukar menjadi hubungan kawan sampai sekarang.

Dia gelarkan hubungan mereka berdua ini sebagai ‘kawan kedai makan’.
Kenapa?

Sebab dia hanya akan berjumpa dengan Han di kedai makan ini saja. Dia tak pernah nampak Han di tempat lain – stesen minyak, kedai menjual suratkhabar, Secret Recipes di hujung lot bangunan ini, malah di komples membeli-belah pun tak pernah. Seolah-olah lelaki itu bukanlah orang kawasan sini. Mungkin Han cuma menjadikan kedai makan ini sebagai tempat makan rasminya, walaupun pejabat lelaki itu agak jauh juga dari kedai makan ini.

“Lama tak nampak awak makan kat sini? Outstation ke?” tanya Raudhah. Dia cuma bersandar sambil memerhatikan Han yang sedang menuang sedikit air suam ke dalam pinggan, tanda lelaki itu dah habis makan. Lagi beberapa minit, bolehlah Raudhah balik ke pejabat semula.

“Mana ada outstation. Saya selalu je datang sini. Awak tak perasan kot.”

“Iya la kot. Saya pun dah jarang datang sini. Selalu beli kat kafe office je,” jawab Raudhah. “Ni awak keluar break pukul berapa ni? Awal awak sampai sini?” Raudhah sempat melihat jam di dinding kedai makan itu. Baru pukul 12.15 tengah hari. Han dah habis makan dah pun. Maksudnya, lelaki itu keluar awal dari pejabatlah, kan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience