BAB 11

Romance Completed 16375

Raudhah memandang abah yang tengah sibuk memerhatikan seisi ruang tamu itu. Ruang tamu rumah abah kosong sebab awal-awal lagi abah dah memindahkan sofa dan meja kopi di ruang bawah tangga. Lantai ruang tamu itu ditutupi dengan karpet bagi memberi ruang untuk jemaah menunaikan solat sekejap lagi. Sekarang ini jam dah menunjukkan pukul 7.45 malam. Sekejap lagi ramailah tetamu abah yang akan datang.

Raudhah masih lagi memandang abah. Entah kenapa, dia berasa sebak tiba-tiba apabila melihat wajah abah. Lama juga dia tak berjumpa dengan abah, sejak hari raya tahun lepas. Dan bila dah berbulan-bulan dia tak berjumpa dengan abah, barulah dia perasan wajah abah semakin berubah. Semakin dimamah usia.

“Kakak?” Abah memanggilnya.

Raudhah tersentak. Abah masih berdiri di tempat yang sama sambil memandang Raudhah. Abah nampaknya pelik dengan Raudhah yang cuma berdiri tegak di situ sambil termenung.

“Kenapa?” tanya abah lagi dengan nada prihatin. Kali ini abah melangkah ke arahnya.

Raudhah masih tak melepaskan matanya dari wajah abah. Bila abah semakin hampir dengannya, serta merta dia rasa macam mahu menangis. Tiba-tiba dia rasa menyesal sebab selalu abaikan abah selama ini.

“Kenapa ni, kakak? Kakak tak sihat ke?” tanya abah lagi. Mesti abah menyedari perubahan wajah Raudhah itu.

“Abah, kakak nak mintak maaf.” Itu yang keluar dari mulut Raudhah. Selama bertahun-tahun dia menyimpan ayat itu dalam hatinya, barulah hari ini dia mengungkapkan kata-kata maaf itu. Selama ini dia terlalu ego, dia terlalu keras hati. Dan hari ini, dia rasa bebanan perasaannya selama ini menjadi ringan bila dia meminta maaf kepada abah.

Abah kelihatan terkejut sikit bila Raudhah meminta maaf tiba-tiba. Tapi tak lama selepas itu, abah mengukir senyum. Raudhah boleh nampak mata abah juga bergenang dengan air mata. “Kakak tak pernah buat salah dengan abah, kakak. Abah yang kena minta maaf dengan kakak.”

“Tak, abah. Kakak yang salah. Kakak tak pernah jaga hati abah. Kakak tak pernah jenguk abah.” Raudhah dah menangis di depan abah. Nasib baik sekarang ini masih tak ada seorang tetamu pun yang sampai. Makcik Dina, Ezwan, dengan Ajil pun entah ke mana. Cuma dia dan abah saja di ruang tamu itu. Pekerja-pekerja abah yang lain semuanya berada di ruang belakang.

“Abah tak ambil hati pun, kakak. Abah faham kakak marah dengan abah.” Abah mengusap bahu Raudhah. Abah seperti mahu memeluk Raudhah untuk menenangkan gadis itu. Tapi abah teragak-agak, mungkin takut Raudhah tak selesa dengan keadaan itu.

“Kakak mintak maaf betul-betul ni, abah. Abah maafkan kakak tak?” tanya Raudhah lagi. Matanya dah kabur dengan air mata.

“Abah selalu maafkan kakak. Abah maafkan kakak.” Kata abah dengan suara yang serak. Abah mendekatinya dan memeluk Raudhah. Raudhah tahu abah menangis sebab dia boleh rasa tudungnya basah dengan air mata abah. Terus Raudhah memeluk abah erat-erat. Dah lama dia tak berada dalam pelukan abah padahal dialah anak kesayangan abah dulu.

“Kakak rindukan abah.”

“Abah pun rindukan kakak juga.” Abah mengusap belakang kepalanya. Itulah caranya abah menenangkan dia setiap kali dia mengadu tentang apa-apa saja pada abah. Dia memang sangat rapat dengan abah dulu. Cuma sejak dia tahu yang abah curang dengan arwah ibu, terus dia menjauhkan diri daripada abah. Betapa hatinya terasa ‘sakit’ bila terpaksa menjauhkan diri daripada orang yang paling rapat dengannya selama ini.

Itu cerita dulu. Sekarang dia nak membuka cerita baru dengan abah. Dia tak nak berdendam dengan abah lagi.

“Sini, Ajil.” Abah tiba-tiba memanggil Ajil.

Raudhah mengangkat muka. Barulah dia perasan yang dari tadi Ajil cuma memerhatikan saja ‘drama’ dia dengan abah tadi. Entah sejak bila Ajil ada di ruang tamu ini. Ajil terus mendekati dia dan abah. Spontan saja adiknya itu memeluk dia dan abah, menjadikan mereka bertiga berpelukan di ruang tamu itu.

“I’m proud of you, kakak.” Kata Ajil sambil mengusap kepala Raudhah. Barulah sekarang dia rasa dihargai oleh keluarganya. Kalau dari dulu lagi dia merendahkan egonya dan meminta maaf pada abah, mungkin hubungannya dengan abah dah lama pulih.

“Ezwan.” Abah tergelak sikit.

Raudhah mengangkat muka sekali lagi. Dia ternampak Ezwan juga tengah berdiri tak jauh dari mereka bertiga. Ezwan tersenyum saja melihat dia, Ajil, dan abah berpelukan di tengah-tengah ruang tamu itu.

“Tak boleh nak peluk, Abang Wan. Ni kakak orang. Kalau Abang Wan nak peluk jugak, meh peluk orang.” Gurau Ajil.

Raudhah, Ajil, abah, dan Ezwan sama-sama ketawa. Hati Raudhah betul-betul berasa tenang. Semoga usahanya untuk membaiki hubungannya dengan keluarga baru abah ini juga dipermudahkan. Amin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience