BAB 9

Fantasy Completed 6268

Sliding door aku buka dan aku berdiri di balkoni. Mataku melingas kiri dan kanan. Cari Lub. Dia tu bukan boleh pakai sangat. Kadang-kadang duduk di atas bumbung garaj. Tak pun dekat atas pokok atau melekap pada dinding di tepi balkoni. Saja nak mengusik aku. Kononnya nak buat aku terkejut.

Suara Kak Yayi menjerit terjah gegendang telingaku. Selang beberapa saat, aku dengar suara dia ketawa. Kena usik dengan Abang Zaim agaknya. Laki bini ni kalau balik rumah mesti buat bising. Sabar aje lah.

Aku ambil bantal-bantal dan letakkan di atas bangku panjang. Bangku tersebut aku tarik mendekati pagar balkoni supaya terkena simbahan cahaya matahari. Dah lama tak jemur bantal. Lub asyik bising cakap bantal aku busuk walhal mana busuk pun. Ingat aku ni jenis buat peta Malaysia dekat bantal ke?

“Sibuk nampak.”

Tuala kecil di tangan kiri aku terjatuh ke lantai. Aku berpaling. Tengok Lub. Dia ketawa dan aku bulatkan mata.

“Boleh tak jangan kejutkan orang?” Suaraku naik seoktaf.

Dia hanya geleng kepala sebelum jelirkan lidah. Seronok agaknya boleh buat aku terkejut. Nasib baik aku ni jenis manusia yang tak ada sakit jantung. Kalau tak, dah lama pergi batu dua.

“Kenapa lambat?” tanyaku tanpa memandangnya.

“Tadi aku sembang dengan kawan aku.”

Terus aku tengok dia atas bawah. Demam ke apa si Lub ni? Sejak bila dia pandai guna perkataan kawan?

“Kenapa kau tengok aku macam tu? Aku jumpa orang dari planet aku. Dia datang sini kejap tapi dah balik dah,” terangnya dengan nada mendatar. Muka dia langsung tak beriak. Macam tunggul pun ada tapi ni tunggul versi boleh bercakap dan mengutuk aku.

Jari-jemarinya disulamkan sesama sendiri sebelum dibawa ke belakang kepala. Aku teruskan kerja. Aku yakin dia memandangku walaupun tidak berkata apa-apa. Sejak dulu lagi Lub memang macam ni. Aku dah kenal dia selama dua tahun tapi banyak benda yang aku tak tahu pasal dia.Tanya sikit, mesti kena marah.

“Say, Lub. Kenapa Lub datang sini?”

Dia merengus kasar. “I don’t really have any particular reason. Kami memang mengembara untuk habiskan sisa hidup. Kau ni asyik nak tanya macam-macam,” marahnya.

Erk. Kena marah.

“Lub bila nak balik sana?” tanyaku berhati-hati. Tak nak dia terasa.

Lub hanya membisu. Aku berjalan masuk ke dalam bilik dan labuhkan punggung di birai katil. Tengok dia yang duduk di depan sliding door dengan kening kanan yang terjongket naik. Menagih jawapan darinya. Di saat pandangan kami berlaga, Lub larikan palingkan muka. Buat muka sombong. Matanya jatuh pada kaki langit. Dah dua tahun dia ada dekat sini.Takkan tak terdetik langsung di hati dia nak balik ke tempat asalnya tapi… kalau dia balik, aku akan hilang kawan.

Poja, stop being selfish!

“None of your business,” balasnya kasar.

Aku senyap. Setiap kali cakap pasal ni, mesti Lub dan akhirnya, aku terpaksa ambil inisiatif tukar topik.

Kali ini Lub duduk di atas bantal yang aku letakkan di atas bangku panjang tadi. Mencerlang mataku memandangnya. “Lub, jangan duduk dekat situ. Saya tengah jemur bantal-bantal tu.” Tapi dia hanya pekakkan telinga dan buat bodoh.

Terus aku meluru ke arahnya dan tendang dia sampai terjatuh. Lelaki itu urut pinggangnya dan aku buat tak tahu.

“Sakitlah,” marahnya.

“Ingatkan makhluk macam Lub tak rasa sakit,” perliku. Geram betul dengan mamat ni tapi aku tak boleh buat lebih-lebih. Tak pasal-pasal dia baca spell bagi keluar api. Tak ke naya kalau dia buat macam tu?

Dia cebik bibir. Buat muka menyampah sebelum berlari sepantas kilat dan duduk di atas katil yang aku baru kemas. Tengok. Kerja nak sakitkan hati aku. Tak nampak ke yang aku baru kemas katil tu?

Grr…

“Lub,” seruku.

“Yes,” balasnya sebelum bangun dan duduk bersila. Tangannya menongkat dagu dan matanya melekat pada wajahku.

“Thanks for saving me from Zia.”

Dah dua tahun Zia tak kacau aku. Terus hilang selepas Lub selamatkan aku dulu time Zia nak cekik aku. Aku tak tahu apa yang Lub buat dengan Zia sampai dia boleh hilang macam tu saja.

Lub sentuh dahi dan mengeluh. Dia kembali baring di atas katil. “Look, Poja. Waktu kau menjerit minta tolong, tak ada sesiapa pun kat situ.”

Tawaku pecah. “Lub, you can’t see her.” Mungkin tak ada sesiapa boleh nampak Zia melainkan aku.

Sekali lagi Lub bangun. Mencerun matanya memandangku dan aku tundukkan wajah. Tak sanggup nak bertentang mata dengannya. Sudahlah angin Lub hari ni tak elok semacam.Tak pasal-pasal aje aku kena sembur nanti. Dalam tempoh dua tahun ni, boleh kira dengan jari berapa kali dia tak marah-marah.

“Poja, aku boleh nampak benda selain daripada manusia dan tak ada makhluk nama Zia. Dia tu imaginasi kau.”

Kepala kugeleng.

“Tipu,” balasku tak percaya.

“Poja, aku tak pernah tipu kau.”

Kedua-dua belah tanganku menekup telinga rapat. Dalam sekelip mata, dia berada di hadapanku. “I’m not crazy, Lub,” kataku perit. Senyuman manis terukir di bibirnya. Dia geleng kepala.

“You’re not crazy. Kau nampak dia sebab kau rasa kau yang bunuh dia dan dia akan ganggu hidup kau. Dia hilang sebab kau percaya aku yang hilangkan dia. Sama macam orang yang berjaya. Orang yang berjaya tu berjaya sebab dia yakin dan percaya dia boleh berjaya.

Apa yang kita percaya tu penting, Poja. Dah. Jangan buat perangai macam ni. Aku tak suka.”

Dan kedua-dua belah tanganku jatuh ke sisi.

“Good girl,” bisiknya lembut.

PINGGAN aku dah kosong. Sebutir nasi pun tak tinggal. Abang Zaim sibuk suap Kak Yayi makan. Selagi diorang tak balik, selagi tu lah aku kena sabar tengok karenah pasangan ni. Sweet terlebih. Asyik berkepit dua puluh empat jam. Nak kata pengantin baru, dah enam bulan kahwin. Pengantin basi aje ni.

“Tadi Poja cakap dengan siapa?” aju Kak Yayi. Mukanya serius.

Gelas di tangan hampir terlepas ke bawah. Aku cuba kawal riak wajahku daripada berubah. Mampus…

“Cakap dengan siapa apa?” Aku buat muka tak bersalah.

“Kak Yayi dengar Poja duk gelak-gelak dekat dalam bilik tadi. Lepas tu, akak dengar Poja duk cakap-cakap. Cakap dengan siapa memangnya?”

“Kak Yayi silap dengar tu,” dalihku.

Tak ada siapa boleh tahu kehadiran Lub.

Tapi Kak Yayi macam tak percaya dengan kata-kataku. Bukan baru hari ni dia kenal aku. Takkanlah dia tak boleh hidu semua penipuan aku. Wajahnya langsung aku tak pandang. Tak berani nak bertentang mata dengannya.

“Betul ke?” tanyanya menginginkan kepastian.

Laju saja aku mengangguk.

Lub dah banyak kali pesan supaya rahsiakan kehadirannya. Dia cakap manusia tak perlu tahu pasal dia. Kalau mamat tu tahu pasal ni, mesti dia mengamuk. Panas baran dia tu tahap giga mengalahkan manusia biasa. Tak pasal-pasal barang-barang di dalam bilik aku kena baling.

“Yayi, jangan kacau Poja,” tegur Pak Long.

Kak Yayi juihkan bibir. “Mana ada kacau. Tanya aje.”

Nasib baik Pak Long tolong aku kali. Pheww…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience