BAB 3

Romance Completed 20115

Cukuplah Mahirah berada di dalam fikiran aku sahaja kerana kenangan ketika bersamanya tidak mungkin luput melainkan jika aku tiba-tiba kehilangan ingatan.

Astaghfirullahal-Azim, Nuri Haziq cepat-cepat mengingati Allah s.w.t. Dia harus bersyukur kerana telah dikurniakan daya ingatan oleh Allah s.w.t. Amat tidak wajarnya rasanya jika dia berkata begitu.

Nuri Haziq berlutut di atas pasir pantai. Kemudian dia menunduk dan dia mula mengorek pasir pantai. Setelah berpuas hati dengan kedalaman lubang yang dikoreknya, dia cepat-cepat memasukkan cincin. Dan sebelum ombak kecil kembali menghempas kawasan itu, dia cepat-cepat menimbus kembali lubang tersebut.

Disebabkan Nuri Haziq tidak sampai hati untuk melempar cincin tersebut ke dalam laut, jadi eloklah jika dia menanamnya di pinggir pantai itu. Setelah itu Nuri Haziq cepat-cepat meninggalkan pantai, meninggalkan simbol kenangannya. Dia tidak mahu lagi berlama-lama di situ. Selamat tinggal wahai simbol kenanganku, Nuri Haziq sempat berbisik di dalam hati.

Elok sahaja Nuri Haziq pergi dari pantai tersebut, datang pula seorang gadis dan dengan riang gembiranya gadis itu terus duduk menjulur kaki di atas pasir bersebelahan lubang cincin yang telah ditimbus oleh Nuri Haziq.

Gadis itu memejamkan matanya, merasai betapa nikmatnya hembusan angin pantai yang menyapa wajahnya sambil membiarkan ombak kecil menghempas tubuhnya sehingga ke paras pinggang. Percikan ombak yang terkena pada wajahnya juga dibiarkan. Oh… tenangnya perasaan ini, detik gadis itu di dalam hati dengan senyuman yang semakin lebar terukir di bibirnya.

Setelah beberapa ketika, gadis itu kembali membuka mata. Keningnya berkerut apabila tiba-tiba sahaja tangannya yang menongkat pasir pantai itu menyentuh sesuatu yang membonjol. Serta-merta gadis itu mengalihkan pandangan. Mata gadis itu mengecil sebaik sahaja terlihat pasir yang seperti baru dikorek dan baru ditimbus kembali itu.

Jika sudah lama pastilah bonjolan itu sudah hilang kerana diratakan oleh ombak yang saban waktu menghempas pantai. Apakah yang ada di sebalik bonjolan pasir ini? Fikir gadis itu. Tiba-tiba timbul keinginan di dalam hati gadis itu untuk mengorek pasir tersebut. Spontan dia terus mula mengoreknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience