BAB 3

Family Completed 5234

Dengan bantuan Hassan, anak Mak Aini yang kebetulan ada dirumah sewaktu tibanya Effa, abah dibawa ke hospital. Di dalam kenderaan, muka abah semakin pucat. Darah abah banyak yang hilang. Kasihan abah.

Jarak rumah yang jauh dari hospital yang terletak di kota, menyebabkan abah semakin gelisah menahan sakit. Airmata Effa tumpah. Tidak sanggup dia melihat abah menderita menahan sakit luka di tangan dan tapak kakinya itu.

Sampai di Hospital Melaka selepas 45 minit perjalanan, abah dirawat di ICU. Tapak tangannya sahaja menerima 7 jahitan, kakinya pula 15 jahitan. Abah dimasukkan ke wad lantaran abah juga menghidapi penyakit diabetis yang agak kronik.

Ujar Dr. Amran, doktor yang merawat abah, abah harus dimasukkan ke wad kerana luka di kaki dan tangan abah harus di cuci setiap hari jika tidak, lambat pulih. Abah harus dijaga dengan rapi. Effa bingung. Bagaimana dia akan berulang-alik ke hospital? Dia tidak mempunyai sebarang kenderaan. Baik kereta mahupun motosikal.

Di kampung pula bas susah untuk didapati. Dua jam sekali pun payah. Kepalanya yang tidak gatal di garu-garu. Apalah nasib aku ni… bisik hati kecil Effa.

Mak Aini yang bagai mengetahui resah Effa menepuk lembut bahu Effa. Effa yang dari tadi melayan lamunannya tersentak. Di pandang ke wajah tua itu, dan dia mengukirkan senyum. Tidak begitu cantik senyumannya, namun manis.

“Effa jangan risaulah. Effa tunggu disini, Mak Aini nanti balik bawa perkakas abah semua dengan barang-barang Effa sekali. Dalam petang sikit mak Aini sampai semula,” ujar mak Aini baik.

Effa mengangguk lemah. Di hulurkan kunci rumah kepada Mak Aini. Kadangkala Effa terasa malu. Mak Aini dengan keluarganya tidak mempunyai sebarang ikatan, jauh sekali bersaudara. Namun orang tua itu cukup baik dengan Effa dan abah. Seringkali juga anak-anak Mak Aini dan Mak Aini sendiri melawat Effa dan abah di rumah kampung mereka yang terperuk jauh dari rumah-rumah orang kampung yang lain.

Bahunya digoncang sedikit kuat mematikan lamunannya sebentar tadi.

“Effa, penat Mak Aini panggil. Mak Aini balik dulu. Petang nanti kita jumpa,” Mak Aini menghulurkan tangannya dan disambut Effa. Tangan tua itu dicium ikhlas. Mak Aini memeluk kejap Effa. Dan Mak Aini berlalu pergi ditemani Hassan.

Effa menyambung kembali duduknya di sebelah katil abah. Di betulkan selimut abah. Kasihan abah. Terpaksa menerima 2 beg darah akibat kehilangan darah yang banyak tadi. Muka abah ditelitinya. Muka tua itulah yang telah banyak berjasa terhadap dirinya. Effa sedar dia hanyalah anak pungut yang dibela oleh jasad tua di hadapannya ini.

Effa sendiri tidak tahu siapakah ibu bapa kandungnya yang sebenar. Hanya yang diketahui dia dijumpai oleh abah dan ummi sewaktu mereka hendak pergi ke kebun di waktu pagi 23 tahun yang lalu. Di tepi pohon manggis berhampiran kebun abah itulah dia dijumpai.

Badannya bengkak-bengkak lantaran dihurung semut. Di waktu itu juga tali pusatnya masih belum tanggal. Dan jika tidak silap, arwah ummi ada mengatakan kemungkinan di waktu itu dia baru sahaja berusia 2 hari berdasarkan pada keadaannya ketika itu.

Nasib Effa baik. Ummi dan abah tidak sampai hati hendak menyerahkan dirinya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat lantas dia diambil oleh abah dan ummi secara sah sebagai anak angkat. Ummi dan abah sepanjang hidupnya tidak pernah membeza-bezakan dia dengan Kak Long, Kak Ngah dan Abang Lang nya. Malahan kisah hidupnya sebagai anak pungut juga tidak pernah di ungkit. Namun sebaliknya pula layanan yang diterima oleh dirinya daripada kakak-kakak dan abangnya itu. Effa sering disisihkan dan sering juga menjadi mangsa buli, dera dan ejekan kakak-kakak dan abangnya itu.

Namun, ummi dan abah sering memujuk Effa menyebabkan Effa tidak mahu mengecilkan hati dengan sikap kakak-kakak dan abangnya itu. Bagi dirinya hati tua abah dan ummilah yang harus didahului.

“Huk, huk, huk,” abah terbatuk-batuk. Effa mengurut-urut dada abah. Abah kembali semula ke dalam tidurnya. Effa tersenyum melihat wajah bersih abah. Effa meletakkan kepalanya di bahu abah. Dan dia lena hanyut bersama abah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience