BAB 12

Horror & Thriller Completed 3610

Perasaannya bercampur aduk. Takut, keliru, marah. Namun dia masih lagi mencari-cari rakannya Zadi walaupun bingung dengan apa yang berlaku.

Dengan badan yang terketar-ketar dan suara yang tersekat-sekat, dia sekali lagi meneran dengan sedaya upaya memanggil rakannya. Segala kudratnya dikeluarkan. Urat lehernya timbul. Perutnya mengeras. Tetapi yang keluar hanyalah bisikan halus separuh merengek separuh merayu.

“Zadi…”

“Aku di sini.” Kedengaran satu suara di belakangnya. Itu suara Zadi. Dia kenal benar dengan suara itu. Dia menoleh ke belakang. Dengan mata yang separuh terpejam di bawah sinaran bulan, dia dapat melihat rakannya itu sedang tersenyum sambil menghayunkan penyodok tanah tepat ke dahinya. Pandangannya gelap.

Tiada apa yang dapat dilihat. Hanya cecair pekat yang memancut deras dari dahinya yang dapat dirasakannya. Dia terus tersungkur menyembah bumi. Tiada lagi jeritan yang keluar dari mulutnya. Tiada lagi pergerakan. Malah tiada lagi nafas yang keluar dari hidungnya.

“Maaf, Dib, tetapi kau tak pernah layak memiliki kerusi ini dan kau tak layak menghapuskannya.” Zadi akhirnya bersuara setelah diyakini Adib sudah tidak bernyawa lagi.

“Kerusi ini sepatutnya digunakan untuk sesuatu yang menguntungkan, bukannya untuk menonton televisyen bodoh seperti kau.”

Zadi menolak-nolak mayat Adib dengan kakinya ke dalam lubang. Lubang yang sempit itu hanya muat-muat untuk menempatkan mayat yang merengkok. Zadi terpaksa membetulkan mayat rakannya Adib beberapa kali. Badannya dibongkokkan, kepalanya dirapatkan ke lutut.

Berderap bunyi leher mayat tersebut apabila cuba dibengkokkan oleh Zadi. Apabila sudah merasa kedudukannya sesuai. Zadi mula menimbus lubang tersebut semula. Hatinya puas, mulutnya mengukir senyuman.

Dalam perjalanan pulang, sekali lagi Zadi menoleh ke tempat duduk belakang keretanya. Kerusi yang sepatutnya ditanam malam ini terbaring kaku menjanjikan seribu satu harapan padanya.

Dalam kepekatan malam itu sambil memandu kereta ditemani cahaya bulan penuh, kepalanya ligat berfikir akan novel yang akan ditulisnya. Novel seram tentang sebuah kerusi yang akan memberikan kuasa mistik kepada sesiapa yang duduk di atasnya.

Dia tahu, novel yang bakal ditulisnya itu sudah tentu tidak menarik, tidak seronok dibaca dan sampah. Tetapi dia juga tahu, novel tersebut bakal menjadi bestseller kerana pertamanya, dia akan menulis sambil duduk di kerusi itu dan keduanya, orang melayu memang suka cerita yang tahyul, karut dan sampah.

Zadi hanya tersenyum sendiri. Pedal minyaknya ditekan. Keretanya laju membelah kedinginan malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience