BAB 7

Horror & Thriller Completed 3610

Ya, begitulah jadualnya setiap hari. Perkara lain tidak lagi dirasakan menyeronokkan. Malah tidak lagi dirasakan penting. Mungkin sebab itulah hubungan dengan tunangnya semakin renggang.

Dia tidak lagi suka diganggu apabila dia sedang menonton televisyen. Panggilan telefon tidak lagi berjawab. Ajakan tunangnya untuk keluar pada hujung minggu tidak lagi dihiraukan.

Tidak seronok. Tidak penting. Yang penting hanyalah kerusi dan televisyen kesayangannya. Masuk bulan ke tiga, tunangnya minta untuk di lepaskan. Dia rela. Malah dia gembira. Tiada lagi ajakan-ajakan dihujung minggu. Tiada lagi bunyi-bunyi telefon. Tiada lagi gangguan.

Dan dia boleh duduk di kerusi itu sambil menonton sepuas-puasnya. Tiada tayangan yang dirasakannya tidak menarik. Semuanya menarik. Filem hollywood, drama tamil, drama cina, soap opera, hindustan, mexico, melayu, cerita hantu, cerita sedih dan cerita apa pun, semuanya ditontonnya.

Malah rancangan berbentuk majalah yang tidak disukainya dahulu pun terasa begitu seronok untuk ditonton. Apatah lagi rancangan kanak-kanak. Terkekeh-kekeh dia ketawa seiring dengan aksi kanak-kanak dan puppet yang melompat-lompat di kaca tv.

Pendek kata, semua rancangan dia akan tonton termasuklah iklannya sekali.

Pada awalnya dia akan berhenti menonton menjelang tengah malam. Dia akan tidur di biliknya dan bekerja seperti biasa keesokannya. Kemudian tidak lama selepas itu, dia mula merasakan tarikan yang susah dimengertikan.

Susah untuknya berhenti menonton. Setiap rancangan dia rasakan begitu rugi untuk dilepaskan. Jadi dia akan menonton hingga ke dinihari. Kadang-kadang dia akan tertidur di kerusinya itu.

Kadang-kadang dia tidak tidur terus. Apabila dirasakan sudah terlalu lambat untuk ke tempat kerja, barulah dia akan terkocoh-kocoh untuk mandi sambil membayangkan rancangan-rancangan televisyen yang bakal ditontonnya apabila balik kerja petang nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience