BAB 3

Horror & Thriller Completed 3610

Tapi dia memang mempercayainya. Bukan kerana dia memang mempercayai cerita-cerita kedai kopi yang dibawa dari mulut ke mulut. Tidak. Bahkan dia memang tidak menyukai cerita-cerita yang berbaur urband legend baik cerita hantu mahupun cerita misteri.

Tapi kali ini lain. Dia sendiri yang mengalaminya. Pengalaman enam bulan bersama kerusi celaka itu cukup membuatkan dia merana. Kerana kerusi itulah dia lupakan segala-galanya. Lupa kawan, lupa saudara.

Bahkan perkahwinan dengan tunangnya yang sepatutnya berlangsung tiga bulan lepas juga diabaikannya. Kerusi itu memang membuatkan dia gila. Ingatannya kembali enam bulan lepas ketika dia cuba membeli kerusi Faridah Harum itu.

“Lu penulis ke?” tanya Ah Pek padanya ketika dia bersungguh-sungguh meminta supaya dijualkan kerusi itu.

“Tak lah Ah Pek. Aku memang suka kerusi ni. Itu sahaja.” jawab Adib.

“Oo gua ingatkan lu penulis. Sebab ramai penulis yang cari kerusi ini. Tapi gua tak juai kepada penulis. Nanti ada yang mati. Kalau lu bukan penulis, boleh la gua juai. Tapi mahai sikit lor.” terang Ah Pek tersebut sambil tersenyum senget.

Mungkin kerana suka dengan perkataan mahal yang dia yakin Adib tak kisah. Ya, memang Adib tak kisah walau berapa pun harganya. Ah, takkan sampai tiga empat ribu. Fikir Adib.

Tapi yang dia kisah sangat-sangat adalah penyataan ‘nanti ada yang mati’. Itu memang dia kisah. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk memiliki kerusi tersebut. Malah semakin membara.

“Kenapa takut ada orang mati pulak? Kerusi ni ada penunggu ke? Cekik orang ke?” Tanya Adib separuh bergurau. Namun dahinya tetap dikerutkan dan matanya tetap dijegil bagi meminta jawapan yang bukan separuh gurauan.

Maka bermulalah cerita Ah Pek itu kepadanya bagaimana kerusi itu mempunyai semangatnya yang tersendiri dan menimbulkan idea-idea yang menarik kepada Faridah Harum sehinggakan Faridah Harum berjaya menghasilkan beratus-ratus novel hantu yang bestseller dan sentiasa diulangcetak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience