BAB 11

Horror & Thriller Completed 3610

“Aku gali separuh, kau gali separuh,” kata Zadi tidak lama kemudian. Peluh merembes keluar dari leher, muka dan badannya. Nafasnya tercungap-cungap. Tangannya menghulurkan penyodok tanah kepada Adib dan terus keluar dari lubang seakan telaga sedalam betis itu.

“Macam dah cukup dalam. Nak gali lagi ke?” kata Adib. Memang lubang itu sudah dikira dalam, tapi yang lebih penting lagi dia berasa begitu malas untuk menggalinya. Terpaksa memegang penyodok dan bermandi peluh. Tapi nampakya dia tiada pilihan.

“Ala… kau gali la sikit lagi, tok bomoh tu cakap lagi dalam lagi bagus,” Adib mendengus. Tangannya mencucuh rokok sambil duduk di atas kerusi yang akan ditanam bagi merehatkan diri. Nafasnya ditarik panjang dan dihela bersama asap rokok yang berkepul-kepul.

Adib menyambung operasi menggali. Hatinya menyumpah-nyumpah. Kalau aku tahu sebegini siksa untuk melenyapkan kerusi itu, sepatutnya aku bakar sahaja.

Fikirnya dalam hati. Tapi tangan dan kakinya tetap bekerja merejam dan mengorek tanah bagi mendalamkan lubang yang dimulai oleh Zadi.

Tidak lama kemudian, dia pun memberhentikan proses menggali. Peluh yang merembes di dahi dikesat dengan lengan bajunya. Dia sekarang berada di dalam lubang yang dalamnya hingga ke peha.

Dia menghela nafas. Sudah siap. Fikirnya. Zadi mesti diberitahu. Dia sudah tidak larat untuk meneruskannya lagi. Dia mahu menanam kerusi itu dengan secepat mungkin dan cepat-cepat balik.

Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kelibat Zadi tidak kelihatan. Dia cuba membuka mulutnya untuk memanggil Zadi apabila tanpa disedarinya, sebuah objek tajam menghentak belakang kepalanya.

“Aduh!” jeritnya. Kesakitan yang ditanggung bukan main hebat lagi. Otaknya berpinar-pinar.

Pandangannya berbalam-balam. Terhangguk-hangguk kepalanya menahan sakit. Darah pekat meleleh keluar dari rekahan di belakang kepalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience