BAB 6

Romance Completed 20085

Sejak dari itu, secara tidak rasminya Azureen dan Faris menjadi pasangan bercinta. Sudah hampir dua bulan perhubungan mereka bermakna perkenalan mereka sudah mencecah lapan bulan. Tetapi apabila dilihat percintaan itu dalam erti kata yang sebenar dengan apa yang dilaluinya, Azureen merasakan mereka berdua tidak bercinta.

Dibandingkan dengan teman lelaki rakan-rakannya, Faris agak berbeza. Faris tidak pernah mengucapkan sayang padanya, jauh sekali hendak memanggilnya dengan panggilan-panggilan manja. Faris juga tidak pernah mempamerkan perasaannya, hubungan mereka masih seperti dulu cuma mereka bertambah rapat dan bertukar status daripada kawan kepada kekasih.

Azureen termenung di koridor arasnya memikirkan tentang masa hadapannya dan Faris. Dia tidak tahu adakah Faris serius dengan hubungan mereka atau pun tidak. Lebih kurang setahun lagi mereka akan tamat pengajian, dan dia terfikir adakah Faris mahu mengahwininya ataupun dia sekadar teman Faris di univerisiti kemudian dilupakan begitu sahaja?

Azureen mengeluh panjang. Sudah banyak kali dia cuba untuk mengeratkan hubungan mereka berdua, acap kali dia cuba mendekati hati lelaki itu, tetapi tidak berhasil. Tambahan pula Faris selalu sibuk dengan aktivitinya, ke sana ke mari tidak henti.

Azureen kesunyian tetapi dipendamkan sahaja perasaannya. Nasib baiklah rakan-rakan memahami situasinya, mereka semua banyak membantu menguatkan semangatnya. Rakan-rakan yang rapat dengan Faris juga selalu menasihatinya supaya bersabar lantaran kesibukan Faris yang tidak putus-putus.

"Reen, call." Diya tiba-tiba muncul di koridor menghulurkan telefon bimbitnya. Azureen melihat skrin telefon itu sekilas-Faris.

"Assalamualaikum,"

"Waalaikumussalam. Awak tengah buat apa Reen?" Soal Faris.

"Tak buat apa-apa. Saya lepak kat luar, handset kat dalam bilik tadi.." Jawab Azureen.

"Oh..saya nak ajak awak keluar ni. Saya nak beli barang sikit. Setengah jam lagi saya sampai. Awak bersiap okay? Bye." Talian diputuskan. Azureen mengeluh. Dia melangkah longlai ke bilik.

Selesai bersiap, Azureen turun ke bawah pada waktu yang dijanjikan. Faris sudah sedia ada menunggu di dalam kereta Perodua Kancil bewarna biru milik Rudi, kawannya. Azureen mempercepatkan aturan langkahnya. Dia menghadiahkan segaris senyuman kepada Faris sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kereta. Suasana sepi.

"Awak tak kisahkan saya ajak keluar ni? Saya nak cari barang sikit, esok saya start training hoki ." Faris berkata sambil bola matanya tidak lepas memandang jalan raya.

"Match nanti kat mana pulak?" Soal Azureen, mengikut sahaja rentak perbualan Faris.

"Kelantan." Balas Faris sepatah. Azureen cuma mengangguk.

Petang itu Azureen menemani Faris ke kedai peralatan sukan. Janggal pula rasanya kerana kebanyakan pelanggan di dalam kedai itu lelaki. Faris pula suka meninggalkannya sendirian, beralih dari satu sudut ke sudut yang lain tanpa mempedulikannya. Baik tak payah keluar macam ni!

Getus Azureen sendirian. Azureen mendekati Faris apabila ada dua orang lelaki senyum-senyum gatal padanya. Tetapi Faris seolah-olah tidak perasan dan tidak berperasaan tentang itu. Azureen kecewa.

Setelah selesai Faris membeli barang-barangnya, mereka berdua singgah di sebuah kedai makan. Selesai mengisi perut, Azureen meminta Faris supaya singgah di sebuah pasaraya untuk membeli sedikit keperluannya. Tidak lama selepas itu, mereka berdua pulang ke kampus.

Waktu sudah menjelang senja. Azureen mendaki lemah anak-anak tangga ke biliknya. Serasa sia-sia dia menemani Faris petang tadi. Tidak ada apa-apa yang diperolehnya melainkan penat. Usai solat Maghrib, Azureen terlena.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience