Malam ini berbeza dari malam sebelumnya. Kelihatan kilat terukir di dada langit yang gelap gelita. Angin berderu-deru melanggar permukaan fizikal di bumi. Dahan dari pepohon berlanggaran seperti berbisik. Terdengar bunyi daun-daun kering dikeliling kawasan berhampiran berderap-derap seperti dipijak sesuatu. Marimar memejamkan mata dan menggigil ketakutan. Syyyyhhhh…. ssyyyyhhhh…. bunyi itu melemahkan anggota badannya.
Dirinya bercampur aduk dengan pelbagai rasa. Takut, gelisah dan keliru menguasai dirinya. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh berada di pinggir hutan dikala waktu malam hari. Sedar dari pengsan, dia sudah terbaring di tengah-tengah kawasan lapang. Seingat dia, bilik tidur adalah lokasi terakhir sebelum dia terdapar di situ. Kepenatannya seperti orang yang berlari sepanjang masa. Adakah dia ke mari tanpa dia sedari?
Marimar terasa hembusan nafas di telinganya. Hembusan itu bagaikan suara orang bersiul. Kemudian dihujungnya terdengar suara mengekek seperti mengetawakan dirinya. Marimar hampir terbuang air di situ. Ketakutannya makin terserlah bila terdengar bunyi cengkerik menyanyi bersahut-sahutan berselang seli dengan suara bersenandung secara tiba-tiba. Ikutkan hati dia mahu merangkak sampai ke rumah sesiapa tetapi dia sungguh tak berdaya. Dia kelaparan dan keletihan. Mengesot pun dia tak mampu.
“Ya Allah…” Dia hanya mampu berdoa dalam hati. Berharap malam ini akan berakhir dengan cepat.
Dari jauh ternampak api dari jamung. Kelihatan sekumpulan penduduk kampung menghampiri Marimar. Mereka berlari-lari anak menuju arahnya. Marimar melambai tangan.
Lelaki berusia dalam lingkungan akhir 20-an berlari mendekati. “Ustaz, perempuan ni hidup lagi.”
“Alhamdullilah…” Lelaki tua mengucap kesyukuran.
Marimar dihampiri. Melihat wajah Marimar yang lesu dan pucat menimbulkan rasa kasihan. Kulit dibahagian pipi nampak kemerahan akibat melecet. Mungkin Marimar asyik menyeka air matanya. Bibirnya kering dan mengelupas. Jelas Marimar kesejukkan dan lemah.
Share this novel