Ustaz Muhydin mengangguk kepala. “Adik kamu harus diubati sebelum dia menjadi gila.” Ustaz Muhydin bingkas bangun. “Sepanjang tempoh mengubat Zakry dan Safiya, saya minta kamu banyakkan membaca seberapa banyak ayat-ayat pelindung diri. Jangan memutuskan zikir dari bibir kamu. Ingat, apa yang kamu dengar… apa yang kamu lihat… jangan peduli.” Ustaz Muhydin meneruskan langkah arah sekumpulan lelaki berbaju putih. Mereka mula membaca surah.
Marimar memandang langit yang tidak berbintang. Bulan mengambang sedang menyorok dibalik awam hitam. Lolongan anjing mula bergema beriringan dengan suara mengalunkan butiran memuji Allah. Fikiran Marimar bagaikan terbeku seketika. Sesuatu yang asing sedang berlaku di depan mata. Tidak pernah dia mengalami perkara yang menyeramkan begini.
Bau belerang menyerbu di rongga penafasan. Jari Marimar mula memicit-micit hidung. Marimar menoleh ke kanan dan ke kiri untuk mencari sumber ia datang hinggalah titik pandang mati pada Safiya. Marimar terkejut. Kedua tangan Safiya ke kiri dan kanan bagaikan menari tarian Jawa. Lalu Safiya bingkas bangun dan mula berlenggok pinggul diiringi gerakkan kaki dan tangan serentak. Sesekali dia akan berhenti untuk satu gaya dan menari lagi.
Marimar terus merenung Safiya yang sedang menari. Dia begitu terpesona dengan tarian yang ditunjukkan. Selendang kuning diraja yang menutupi wajahnya beralun lembut bila ditiup angin. Lemah gemalai…
Marimar terdengar suara. Ya, suara merdua. Makin lama makin kuat. Dia bagaikan berkhayal dengan keindahan lirik dan alunan melodinya. Gamelan yang mengiringi menambah keasyikkan. Marimar tersenyum dan badannya bergoyang lembut kerana menghayati irama. Muncul kegembiraan diruang matanya.
“Marimar!” Serentak Marimar tersedar. Nafasnya sangat kencang. Muka ustaz Muhydin dipandang. “Jangan tergoda! Sedarlah! Ingat pesanan saya!” Sempat ustaz Muhydin mengingatkan Marimar.
Marimar mula membaca beberapa potong ayat dan berzikir. Mulutnya tak lepas dari memuji Allah. Kepada Allah dia meminta kekuatan dan kepada Allah dia meminta perlindungan. Safiya makin rancak menari. Dia menyeret kakinya yang tidak dilindungi kasut atau selipar melajukan langkah. Dia terkangkang sambil melentikkan jari kaki. Pergerakkan tangan lebih laju dari peraturan tarian biasa. Safiya nampak mahir menari. Dia berpusing-pusing di keliling Marimar sambil menggoyangkan kepala. Terlonjak perasaan takut bila terlihat darah yang terserap di kain kuning. Buih-buih putih jatuh atas rumput dan mengeluarkan bau hanyir dan berasap.
Share this novel