Ustaz Muhydin mengerling jam tangannya. Waktu sudah menginjak jam dua pagi. Ustaz Muhydin meminta tok imam menguruskan jenazah Safiya. Jenazah Safiya akan di hantar ke sebuah tanah perkuburan di Selangor selepas dikafankan dan disembahyangkan. Zakry pula dipindahkan ke rumah penghulu sehingga anaknya mendapat kembali tenaga sebelum pulang ke rumah.
Marimar menangis berjam-jam sedari yang adiknya telah pergi selama-lamanya dan tanpa ibu bapa di dunia, Marimar hilang tempat bermanja. Marimar menyesal. Sepatutnya dia tidak keluar dari bulatan itu dan menyerahkan segalanya kepada ustaz Muhydin. Tapi siapa yang mampu menghalang seorang kakak dari menyelamatkan adiknya yang sedang sengsara.
Marimar mengerling Zakry yang terbaring di ruang tamu. Lelaki itu dari tadi memandang Marimar yang bersila di muka pintu. Dia merenung tanpa mengerlipkan mata. Mulutnya bergerak-gerak. Seakan sedang mengatakan sesuatu tetapi Marimar tidak memahaminya. Marimar melawan pandang pada Zakry. Lelaki itu tersenyum. Tak semena-mena Marimar rasa meremang.
Marimar menjeling. Terbuku rasa marahnya pada Zakry. Kalau tiada undang-undang bagi jenayah membunuh, sudah lama Marimar mencekiknya hingga mati.
Ustaz Muhydin duduk di sebelah Marimar sekaligus melindungi pandangan masing-masing.
“Malam ini berlalu seperti yang tidak dirancang. Tapi ini semua kuasa Allah. DIA yang menentukan segala-galanya. Saya minta kamu bersabar dengan ujian ini.”
Marimar merenung jenazah adiknya yang sedia dimandikan oleh penduduk kampung. “Apa salah saya, ustaz? Kenapa saya terpaksa melalui semua ini? Kenapa takdir saya begini?”
Ustaz Muhydin menundukkan muka. Dia malu dengan perbuatan anaknya. Tapi apa yang boleh ustaz Muhydin lakukan. “Maafkanlah Zakry …” Itu saja yang mampu Ustaz Muhydin katakan.
Share this novel