Marimar menyeka air matanya namun tiada berhenti ia mengalir.
MENJELANG fajar, sebuah teksi memasuki perkarangan rumah penghulu. Ustaz Muhydin membuka pintu teksi untuk Marimar. Dia akan pulang dulu dan menyediakan sedikit persiapan di rumahnya. Saudara mara yang lain juga mahu melihat arwah sebelum dikebumikan.
“Teruskanlah hidup dan lupakan apa yang dah terjadi.”
Marimar tidak berkata apa-apa. Dia nampak sunggul dan tidak bermaya.
“Janganlah bimbang. Mahluk jahat tu sudah pergi. Dan saya jamin, Zakry tak akan mencari kamu lagi. Jaga diri…”
Teksi susur keluar dari jalan Kampung Tujuh Tanah. Pandangan ustaz Muhydin mengiringi pemergian Marimar. Ustaz Muhydin menghela nafas kelegaan. Semuanya telah selesai.
Angin bertiup keras secara tiba-tiba hingga meremangkan tengkuknya. Ustaz Muhydin tertoleh ke kiri dan ke kanan. Tidak semena-mena dia rasa tidak sedap hati. Dia kembali memandang teksi yang dinaiki Marimar yang makin hilang dari pandangan. Dia berharap semuanya benar-benar berakhir. Janganlah Zakry menyeru dan berdampingan dengan belaanya lagi.
Pemandu teksi memandang cermin pandang belakang. Gadis yang kelihatan murung tadi tersengih-sengih seorang diri. Pemandu teksi itu segera mengalih pandang. Seram!
“Siapa kata aku dah pergi? Siapa kata?” Marimar Nasuha ketawa. Belaan Zakry banyak. Satu pergi, diganti yang lain. “Marimar akan kekal menjadi peneman lambaian bulan. Hamba Zakry bin Muhydin. Bila kami bertemu semula, tiada sesiapa dapat pisahkan.” Marimar merenung luka kering di lengannya. Darahnya telah menitis ke bumi bila Safiya tergores pisau lipat ke tangannya. Setitis sudah memadai untuk melengkapkan syarat pemilikkan Marimar untuk Zakry selama-lamanya. Selama-lamanya!
Share this novel